Home > Remaja > Kesihatan Fizikal > Kekal Sihat > Bersukan Dengan Selamat > Tips Keselamatan: Seni Mempertahankan Diri

Tips Keselamatan: Seni Mempertahankan Diri

Terdapat pelbagai jenis seni pertahanan diri dan setiap satu mempunyai risiko tersendiri untuk menyebabkan kecederaan kepada pengamalnya. Dengan peredaran masa, beberapa langkah dan peraturan telah dimasukkan ke dalam sukan-sukan ini bagi memastikan keselamatan dan mengelak kecederaan kepada mereka yang menyertainya.

Setiap jenis seni pertahanan diri menggunakan pakaian seragam dan peralatan pelindung kecederaan yang berbeza. Antaranya ialah topeng muka bagi sukan lawan pedang, pelindung cawat, dan pad pelindung seperti dalam sukan taekwando.

Populariti sesuatu seni pertahanan diri adalah berbeza-beza mengikut negara. Sebagai contoh di negara ini seni pertahanan diri yang popular adalah seperti silat, taekwando, karate dan judo.

Secara amnya, sukan seni pertahanan diri adalah selamat. Namun oleh kerana terdapat pergerakan yang memerlukan ‘pertempuran’ antara pesertanya maka kecederaan boleh berlaku.

Antara faktor yang menyebabkan anda berisiko untuk cedera ketika menyertai sukan ini adalah:

  1. Jenis jurus yang disertai

    Karate dan tomoi adalah jurus yang mempunyai risiko kecederaan yang paling tinggi

  2. Salah teknik

    Pergerakan tubuh atau anggota badan yang salah boleh menyebabkan kecederaan

  3. Menggunakan kekerasan yang melampau

    Penggunaan jurus-jurus seperti tumbukan dan tendangan yang melampau kuat boleh menyebabkan kecederaan serius kepada pihak lawan

  4. Kurang pengalaman

    Mereka yang baru berjinak-jinak dengan sukan ini berisiko untuk cedera kerana belum biasa dengan corak perlawanan

    Jurus Tumbukan  www.expertboxing.com

  5. Latihan yang terlebih dan terlampau

    Terlampau banyak berlatih boleh menyebabkan kecederaan berulangkali (overuse)

Beberapa jenis kecederaan yang boleh berlaku ketika menyertai sukan pertahanan diri adalah:

  1. Lebam dan luka lecetan

    Ini adalah bentuk-bentuk kecederaan yang paling kerap dialami. Ia biasanya disebabkan oleh geseran ketika terjatuh ketika perlawawan, tendangan atau tumbukan yang tersasar ataupun jika pad pelindung tidak digunakan

  2. Seliuhan dan terkehel

    Sendi buku lali, lutut, siku dan lengan adalah antara anggota badan yang mudah terseliuh dan terkehel. Kecederaan pada sendi buku lali dan lutut boleh berlaku apabila seseorang terjatuh dalam posisi yang pelik. Manakala kecederaan siku dan pergelangan boleh berlaku akibat jatuh, menumbuk ataupun menghalang serangan.

    Koyak otot biasanya berlaku pada otot-otot di paha. Ianya boleh diakibatkan oleh regangan otot secara tiba-tiba dan terlampau terutamanya jika tendangan tersasar.

  3. Kecederaan pada jari jemari

    Ini biasanya berlaku akibat tumbukan dan tendangan samada ketika perlawanan atau latihan.

    Imej Kepatahan pada Jari dari orthoinfo.aaos.org

  4. Kecederaan kepala

    Gegaran otak boleh berlaku jika kepala seseorang itu terhentak, ditendang ataupun ditumbuk.

    Gegaran otak ialah keadaan yang mana fungsi otak terganggu buat seketika waktu akibat kecederaan. Ia biasanya bersifat sementara dan tidak mendatangkan kecacatan kekal.

    Gejala yang sering dialami adalah seperti sakit kepala, pening, loya, muntah, hilang fokus dan tumpuan serta kesukaran memori. Jurus yang memerlukan serangan yang mengakibatkan humbanan dan serangan kepada kepala adalah amat berisiko untuk menyebabkan gegaran otak.

    Kecederaan ringan kepada muka seperti lebam dan luka adalah kebiasaan dalam sukan ini. Beberapa bentuk kecederaan yang serius seperti kepatahan tulang hidung, retak tengkorak, kepatahan gigi dan kecederaan pada mata turut boleh berlaku.

  5. Kecederaan pada leher

    Cedera ringan seperti bengkak dan lebam adalah lazim. Namun sesetengah jurus yang mengunci atau melemaskan pihak lawan berpotensi menyebabkan lawan itu pengsan dan tidak sedarkan diri.

    Imej Teknik Mengunci Lawan www.wikihow.com

Tips keselamatan:

  1. Pemanasan badan, regangan dan sejukkan diri

    Gunalah teknik pemanasan badan yang betul sebelum bersukan dan lakukan aktiviti regangan kepada anggota badan terutamanya kaki dan tangan untuk menendang dan menumbuk.

    Selepas habis bersukan, ambillah langkah-langkah menyejukkan diri dan meregangkan anggota. Ini membantu tubuh anda berada dalam keadaan optimum untuk pulih dari kecederaan.

  2. Persediaan yang rapi dan cukup

    Sebelum menyertai mana-mana seni pertahanan diri, kaji dan latihlah teknik dan jurus-jurus yang diperlukan selain mematuhi peraturan yang telah ditetapkan. Ini memberi persediaan kepada anda untuk menyertai sukan ini.

    Dapatkan khidmat nasihat pakar dalam sukan berkenaan.

    Gunalah peralatan perlindungan diri yang ditetapkan dalam sukan berkenaan seperti topi keledar, pendakap gigi ataupun pad pelindung bagi mengurangkan risiko kecederaan.

    Mematuhi peraturan seni pertahanan diri.

    Gunakan sepenuhnya deria penglihatan anda. Ini mampu membantu anda mengelak atau menampan serangan.

    Amalkanlah semangat kesukanan dan bersukanlah dengan matlamat untuk seronok dan bukannya mencederakan pihak lawan!

Rujukan

  1. Thompson WR, Vinueza C. Physiologic profile of Tae kwon Do black belts. Sports Medicine and Training Rehabilitation. 199:3:4953.

  2. Clinical Sports Medicine, Peter Brukner and Karim Khan.

  3. www.healthychildren.org

Last Reviewed : 9 December 2014
Writer : Lt. Kol. Dr. Ridzuan b. Azmi
Translator : Lt. Kol. Dr. Ridzuan b. Azmi
Accreditor : Dr. Nik Rubiah bte. Nil Abdul Rashid