Home > Umum > Optometri > Tip-Tip Pemilihan Cermin Mata Untuk Kanak-Kanak

Tip-Tip Pemilihan Cermin Mata Untuk Kanak-Kanak

Pengenalan

Sebaik sahaja mendapati anak tersayang mempunyai masalah kabur penglihatan atau rabun dan perlu memakai cermin mata, tentu terbayang dalam fikiran ibu bapa, pelbagai jenis cermin mata yang berwarna-warni untuk anak-anak mereka. Pastinya apabila tiba di kedai cermin mata kelak, kanak–kanak berkenaan akan kegirangan memilih cermin mata mengikut citarasa masing–masing. Namun ibu bapa harus ingat bahawa, selain gaya, terdapat beberapa faktor lain yang harus dititikberatkan dalam kriteria pemilihan cermin mata anak-anak kita bagi memastikan keterampilan, keselesaan dan pemakaian yang berterusan. Faktor lain yang harus diambil kira ialah jenis bingkai dan jenis kanta yang akan digunakan.

Pemilihan Bingkai: Plastik Atau Metal?

Terdapat dua jenis bingkai cermin mata yang utama iaitu yang diperbuat daripada bahan plastik atau metal. Pemilihannya bergantung kepada selera dan keperluan masing–masing. Hal ini kerana bahan-bahan tersebut mempunyai kekurangan dan kelebihan masing–masing. Kelebihan bingkai plastik ialah ia tidak menyebabkan alergi kepada pemakainya, lebih fleksibel, ringan dan mempunyai pelbagai warna yang dapat memenuhi kehendak kanak-kanak (gambar 1). Walau bagaimanapun, kebanyakan bingkai plastik mudah patah dan pudar warna apabila terdedah di bawah cahaya matahari.

Sekarang sudah terdapat bingkai plastik dengan campuran bahan lain seperti silikon yang boleh menambah ketahanan dan fleksibiliti bingkai tersebut (gambar 2). Material jenis ultem juga antara pilihan yang yang baik kerana bingkai akan lebih fleksibel dan tahan lasak seperti dalam gambar 3. Pemilihan bingkai plastik yang tidak menggunakan skru juga adalah sangat sesuai untuk kanak-kanak (gambar 4).

Gambar 1: Pelbagai Pilihan Warna Bingkai Cermin Mata Kanak–Kanak.

 

Gambar 2: Bingkai Campuran Plastik Dan Silikon.

Gambar 3: Bingkai Campuran Plastik Dengan Ultem.

Gambar 4: Bingkai Cermin Mata Yang Tidak Menggunakan Skru

Terdapat beberapa jenis metal untuk bingkai cermin mata yang sesuai untuk kanak-kanak. Bingkai yang biasa digunakan adalah jenis aluminium, titanium dan keluli tahan karat (stainless steel). Bingkai cermin mata jenis aluminium biasanya berwarna perak kecoklatan dan hitam. Terdapat juga warna-warna lain bagi jenis tersebut. Bingkai jenis ini adalah lebih digemari kerana ia ringan dan jarang menyebabkan alergi pada kulit pemakai. Tambahan pula, bingkai jenis aluminium adalah tahan haba dan tidak mudah terkakis. Walau bagaimanapun, kekurangan bingkai jenis ini ialah ia tidak boleh dicampurkan dengan logam lain. Bingkai metal jenis titanium juga boleh dipertimbangkan untuk kanak-kanak kerana ia kuat, ringan dan tahan kakisan. Kebiasaannya bingkai jenis titanium mempunyai lebih banyak pilihan daripada segi bentuk dan warna. Kelebihan yang lain ialah titanium boleh dicampur dengan logam yang lain untuk membentuk titanium aloi dimana ianya lebih murah berbanding dengan titanium tulen (100%).

Satu lagi pilihan bingkai jenis metal adalah jenis keluli tahan karat (stainless steel). Ia terdiri daripada keluli dan kromium serta mungkin campuran elemen lain. Kebanyakan keluli tahan karat mengandungi 10%-30% kromium. Kelebihan keluli tahan karat ialah ia tahan kakisan dan haba, tidak menyebabkan alergi pada kulit dan kurang toksik kerana tidak mengandungi nikel. Walau bagaimanapun bingkai jenis ini lebih mahal berbanding bingkai metal jenis lain.

Aksesori Untuk Bingkai Cermin Mata

Beberapa aksesori boleh dipakai pada bingkai cermin mata kanak – kanak bagi menambah keselesaan selain mengelakkan cermin mata daripada terjatuh dan hilang. Tali getah dan kunci telinga (earlock) atau nama lain “stopper” antara yang paling sesuai digunakan bersama bingkai cermin mata kanak – kanak bagi tujuan tersebut. Sila rujuk kepada gambar 5, 6 dan 7.

Gambar 5: Tali Getah Dapat Mengelakkan Cermin Mata Daripada Mudah Jatuh Dan Hilang.

Gambar 6: Kunci Telinga (Earlock) Atau “Stopper” Yang Dipasangkan Pada Cermin Mata Kanak–Kanak Dapat Menambah Keselesaan Pada Bahagian Belakang Telinga.

Gambar 7: Kunci Telinga (Earlock) Atau “Stopper” Yang Pelbagai Warna

 Apakah Jenis Kanta Yang Sesuai Untuk Cermin mata Anak-Anak Kita?  

Kanta cermin mata biasanya diperbuat daripada beberapa jenis bahan seperti, kaca, plastik (CR39), polikarbonat dan trivex. Kanta yang diperbuat dari kaca adalah kurang sesuai untuk cermin mata kanak – kanak kerana ianya mudah pecah sehingga boleh menyebabkan kecederaan. Plastik (CR39), polikarbonat dan trivex ialah material kanta yang lebih tahan dan sesuai untuk cermin mata kanak–kanak. Walaupun ketiga – tiga jenis kanta ini kuat dan tahan lasak, setiap satunya mempunyai ciri – ciri yang tersendiri.

Kanta plastik (CR39) merupakan pilihan utama untuk cermin mata kanak-kanak kerana ia ringan, selesa dan sesuai untuk kanak-kanak yang lasak Malahan, kanta plastik tidak mudah pecah dan 100 kali lebih kuat berbanding kaca. Tambahan pula, kanta plastik boleh diwarnakan dengan lebih banyak pilihan warna berbanding kanta kaca. Walau bagaimanapun, kanta jenis plastik adalah lebih mudah calar berbanding kaca dan memerlukan lapisan tambahan sebagai pelindung.

Bagi kanta jenis polikarbonat, sifatnya sangat kuat, ringan dan nipis. Kanta jenis ini mempunyai perlindungan daripada sinaran ultra violet yang amat berbahaya. Namun begitu, kanta jenis ini masih memerlukan lapisan anti-calar. Manakala, harganya pula lebih mahal berbanding plastik (CR39) tetapi lebih murah berbanding trivex.

Kanta trivex merupakan kanta termo plastik yang lebih ringan dan nipis. Kanta jenis ini sangat tahan lasak dan lebih kuat berbanding kanta jenis kaca dan plastik ( CR 39 ). Bersifat seperti polikarbonat, kanta jenis ini juga mempunyai perlindungan dari sinaran ultra violet yang amat berbahaya. Kelebihan trivex berbanding kanta lain adalah imej yang dilihat akan kelihatan lebih jelas berbanding kanta lain. Namun begitu, kanta jenis ini masih memerlukan lapisan anti-calar dan kebanyakan kedai cermin mata meletakkan harga yang lebih tinggi untuk kanta jenis ini.

Cermin Mata Dengan Kuasa Yang Tinggi

Kuasa cermin mata akan mempengaruhi ketebalan kanta tersebut. Rabun dengan kuasa yang tinggi akan menyebabkan cermin mata itu menjadi sangat tebal. Hal ini boleh diatasi dengan memilih kanta dengan indeks refraksi yang lebih tinggi bagi mengurangkan ketebalan kanta cermin mata tersebut ( gambar 8 dan gambar 9 ).

Gambar 8: Kanta dengan indeks refraksi lebih tinggi adalah 50% – 55% lebih nipis (kanan) berbanding kanta dengan indeks refraksi lebih rendah (kiri).

Gambar 9: Gambar di atas menunjukkan, perbandingan ketebalan kanta dengan indeks refraksi yang berbeza. Semakin tinggi indeks refraksi kanta, semakin nipis kanta tersebut.

Pemilihan cermin mata untuk kanak-kanak haruslah dilakukan dengan bijaksana agar kanak-kanak tersebut merasa selesa dan suka untuk memakainya. Saiz dan pemilihan warna bingkai haruslah bersesuaian dengan raut wajah dan karekter kanak-kanak itu sendiri. Ibubapa haruslah pergi ke kedai cermin mata yang mempunyai Optometris untuk mendapat khidmat nasihat di dalam memilih cermin mata untuk anak mereka.

Rujukan

  1. http://www.eyedoctorguide.com/eye_glasses/glasses_frames_metal_plastic.html.
  2. ebay.com
  3. dhgate.com
  4. oranmoreopticians.ie
  5. net/1.74-high-index-glass-lens
  6. http://www.zeiss.com/vision-care/en_de/better-vision/understanding-vision/lenses-and-solutions/plastic-or-glass-lenses.html
  7. http://www.allaboutvision.com/lenses/polycarb.htm
  8. lentescromix.com.ar – laboratorio Optico Base 5
  9. gogglesnmore.com
  10. allaboutvision.com
  11. www.familyeyecarepc.com
  12. galavisioneyecentre.blogspot.my
Semakan Akhir : 20 Februari 2017
Penulis : Pn. Safiahalimah Binti Muhammad
Akreditor : En. Nazirin Bin Arsad

 

(Visited 294 times, 1 visits today)