A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Umum
  4. /
  5. Pemulihan Perubatan (Carakerja)
  6. /
  7. Tip Pengendalian Kerusi Roda

Tip Pengendalian Kerusi Roda

Kerusi roda boleh dikendalikan secara sendiri atau dengan bantuan orang lain. Secara amnya, jika sendirian, individu berkenaan perlu mengerakkan roda belakang kerusi roda itu dengan tangannya untuk bergerak. Jika ada pembantu, maka orang yang membantu akan mengendalikan kerusi roda berkenaan.

Jenis-Jenis Kerusi Roda

Terdapat pelbagai jenis kerusi roda. Kerusi roda asas mempunyai tempat duduk, tempat bersandar badan, tempat letak lengan, tempat letak kaki, dua (2) roda besar di belakang dan (2) dua roda kastor yang kecil di bahagian hadapan. Kedua-dua roda di belakang biasanya mempunyai handrim. (Rujuk Gambarajah di bawah: Kerusi Roda Asas).  Kebanyakan kerusi roda mempunyai dua (2) pemegang di bahagian atas belakang kerusi roda untuk membolehkan orang lain menolak bagi memberi bantuan jika diperlukan. Kerusi roda juga mempunyai pelbagai variasi reka bentuk tambahan bergantung kepada keperluan pengguna.  

 

Kerusi roda manual mempunyai dua reka bentuk utama iaitu boleh lipat (foldable) atau tidak boleh lipat (non-foldable). Kerusi-kerusi roda yang boleh lipat biasanya menjadi pilihan kerana ia menggunakan ruangan yang sedikit apabila hendak menyimpannya seperti didalam bonet kereta, dibelakang pintu dan sebagainya. Kerusi roda ini juga boleh dilaras dan boleh ditanggalkan bagi tujuan tertentu. Kebanyakan kerusi roda masa kini telah dipertingkatkan kualiti pembuatannya dari segi penggunaan bahan-bahan ringan, tahan karat dan tahan lasak. Terdapat juga kerusi roda jenis ini menawarkan pelbagai aksesori pilihan seperti tali pinggang keselamatan, ruang penyimpanan barang.

Kerusi roda berkuasa elektrik dilengkapi roda khas yang membantu pergerakan kerusi roda berkenaan. Ia boleh dipandu ke pelbagai arah yang dikehendaki dengan bantuan kawalan pada panel joystick. Kuasa elektrik dibekalkan oleh bateri yang boleh di cas semula dan dipasang pada kerusi roda.

Kerusi roda sukan adalah salah satu variasi kerusi roda yang selalu digunakan oleh orang kurang upaya untuk aktiviti sukan. Aktiviti berkenaan adalah seperti bola keranjang, tenis, lumba trak balapan dan juga aktiviti tarian yang memerlukan kelajuan dan ketangkasan. Kerusi roda jenis ini biasanya mempunyai sudut camber besar untuk meningkatkan kestabilan kerusi roda semasa melakukan aktiviti sukan. (Rujuk Gambarajah Sudut Chamber). Kerusi roda sukan diperbuat daripada bahan komposit ringan yang memudahkan ia dikendalikan semasa aktiviti sukan. Kerusi roda sukan secara khususnya digunakan untuk kegunaan sukan dan umumnya tidak sesuai digunakan setiap hari. Ia boleh dilipat atau dileraikan komponennya bagi tujuan kemudahan penyimpanan. 

Gambarajah Sudut Chamber

Contoh kerusi roda sukan untuk melakukan aktiviti lasak seperti bersukan. Amat mudah digunakan, agak ringan.

Mengenali Komponen Kerusi Roda

  

  1. Tempat duduk kerusi roda:

Tempat duduk ini direka agar pengguna kerusi roda dapat mengagihkan tekanan/bebanan berat badan bagi mengelakkan risiko luka tekanan (ulser)

2. Kusyen tempat duduk:

Ia diperbuat daripada bahan yang membenarkan penyebaran dan penyerapan tekanan diantara badan pengguna kerusi roda dengan permukaan tempat duduk.

3. Penyandar Badan:

Memberikan sokongan postur badan pengguna kerusi roda. Terdapat penyandar badan yang boleh laras dan menyediakan lebih banyak sokongan. Namun, penyandar badan yang tetap dapat memberikan sokongan yang terbaik, Berat dan ketinggian penyandar badan yang bersesuaian dengan pengguna adalah penting. Secara umum, yang lebih ringan adalah yang lebih baik.

4. Pemegang:

Bahagian atas belakang penyandar badan yang membolehkan bantuan menolak kerusi roda dari belakang.

5. Tempat letak lengan:

Tempat untuk berehat lengan semasa duduk didalam kerusi roda apabila pengguna tidak bergerak atau mengendalikan kerusi roda. Terdapat jenis oleh laras ketinggian dan boleh ditanggalkan

6. Tempat letak tapak kaki:

Terdapat jenis tetap, lipatan atau buka keluar. Tempat letak tapak kaki menyediakan permukaan sokongan kepada kaki pengguna kerusi roda. Terdapat juga jenis boleh ditanggalkan bagi memudahkan aktiviti pengguna kerusi roda.

7. Pengunci roda:

Bertindak sebagai brek untuk menstabilkan kerusi roda apabila hendak berpindah ke tempat duduk lain atau mahu kekal di tempat yang tertentu. Kunci brek roda adalah komponen yang membolehkan roda untuk dikunci bagi menghalang pergerakan yang tidak diingini.

8. Tayar:

Boleh dibahagikan kepada 3 kelas umum: pneumatik, semi-pneumatik, dan getah pepejal. Tayar pneumatik paling biasa digunakan tetapi memerlukan penyelenggaraan dan boleh bocor. Pneumatik dipenuhi dengan udara dan menyediakan perjalanan yang selesa. Tayar Semipneumatic dipenuhi dengan gel bukan udara untuk mengekalkan kesan anjal semasa bergerak. Tayar Getah pepejal/padu tiada penyelenggaraan dan kos rendah tetapi membuatkan perjalanan tidak selesa.

9. Rim kerusi roda:

Ia diperbuat daripada bahan ringan yang kuat seperti aluminium. Rim roda disambungkan kepada axel oleh jejari. Jejari rim adalah sistem suspensi yang mana tayar dan rim disambungkan kepada axel itu. Jejari diperbuat daripada bahan ringan yang kuat. Jejari juga bertanggungjawab untuk menyimpan roda dalam pusingan.

10. Pushrim:

Pushrim diperbuat daripada bahan ringan yang kuat seperti aluminium. Pushrim membantu pengguna kerusi roda menggerakkan kerusi roda dengan tangan untuk bergerak.

11. Roda kastor:

Terdapat pelbagai saiz roda kastor.  Pergerakan semakin mudah jika roda kastor semakin kecil kecil. Semakin besar roda kastor maka kestabilan semakin baik. Bahan tayar yang lebih kukuh membantu perjalanan yang semakin seimbang.  

Anti-tipper:

Satu bentuk penstabil kerusi roda yang menghalang kerusi dari terbalik ke belakang dalam keadaan tertentu. Boleh dilaras ketinggian. Semua Anti-Tippers mudah untuk dipasang dan tidak memerlukan sebarang pengubahsuaian.

Pengendalian Kerusi Roda

Para pengguna baru kerusi roda memang menghadapi sedikit kesukaran untuk menyesuaikan diri pada peringkat awal penggunaan. Sehubungan dengan itu, mereka harus membiasakan diri mereka untuk menggunakan kerusi roda. Dalam usaha tersebut, adalah penting mereka dapat membina kekuatan lengan dan keseimbangan badan bagi membantu dalam proses penyesuaian diri yang lebih baik. Dengan itu, mereka tidak perlu bergantung kepada orang lain untuk bergerak di dalam dan di luar rumah. Pembantu sememangnya diperlukan jika individu berkenaan tidak dapat menggerakkan diri mereka sendiri

  1. Persediaan tangan.

Pengguna kerusi roda harus memotong pendek kuku mereka bagi mengurangkan risiko kecederaan kuku semasa pengendalian kerusi roda. Mereka juga digalakkan agar memakai sarung tangan yang bersesuaian untuk melindungi tangan daripada kekotoran.  

2. Menggenggam push rim.

Cara menggenggam push rim

Kerusi roda manual mempunyai rim logam yang dipasang pada kedua-dua bahagian luar roda belakang dipanggil push rim. (Rujuk Gambarajah Cara Menggenggam Push Rim). Untuk menggerakkan kerusi roda, pengguna harus menggenggam push rim kehadapan atau kebelakang mengikut keperluan pengguna.

3. Bergerak ke hadapan.

Untuk bergerak ke hadapan, genggam dan tolak kedua-dua push rim mengikut putaran roda ke hadapan. Genggam dan tolak kedua-dua push rim mengikut putaran roda kehadapan berkali-kali sekiranya pengguna ingin terus bergerak ke hadapan.

4. Bergerak ke belakang.

Untuk bergerak ke belakang, genggam dan tolak kedua-dua push rim mengikut putaran roda ke belakang. Genggam dan tolak kedua-dua push rim mengikut putaran roda ke belakang berkali-kali sekiranya pengguna ingin terus bergerak ke belakang.

5. Membelok ke kanan.

Untuk bergerak ke kanan, genggam push rim kanan supaya ia tidak bergerak sambil menolak push rim kiri mengikut putaran roda ke hadapan secara perlahan-lahan. Dengan demikian, kerusi roda akan membelok ke kanan. Genggam dan tolak kedua-dua push rim mengikut putaran roda kehadapan berkali-kali sekiranya pengguna ingin terus bergerak ke hadapan.

6. Membelok ke kiri.

Untuk bergerak ke kiri, genggam push rim kiri supaya ia tidak bergerak sambil menolak push rim kanan mengikut putaran roda ke hadapan secara perlahan-lahan. Dengan demikian, kerusi roda akan membelok ke kiri. Genggam dan tolak kedua-dua push rim mengikut putaran roda kehadapan berkali-kali sekiranya pengguna ingin terus bergerak ke hadapan.

7. Memusingkan kerusi roda.

Tolak ke hadapan salah satu push rim  dan yang satu lagi ke belakang secara serentak. Dengan demikian, kerusi roda akan berpusing.

8. Memperlahankan atau memberhentikan pergerakan kerusi roda.

Genggam push rim dengan menggunakan tekanan geseran untuk memperlahankan putaran roda kerusi sehingga kerusi roda berhenti bergerak. Bagi gerakan tersebut, ibu jari dan kesemua jari tangan boleh digunakan. Pengguna kerusi roda harus berhati-hati kerana gerakan tekanan geseran ini boleh mencederakan jari tangan akibat daripada haba geseran.

9. Meletakkan kerusi roda dalam keadaan tidak bergerak.

Jika ingin meletakkan kerusi roda dalam keadaan tidak bergerak, pengguna perlu meletakkan brek pada kedua-dua roda.

10. Melalui bendul (bumps) dan curbs.

Jika boleh, pilih laluan yang tidak mempunyai bendul. Sekiranya terpaksa, pilih laluan yang mempunyai bendul rendah. Dalam keadaan itu, pengguna perlu mengangkat kedua-dua roda hadapan (castors) sambil mengerakkan push rim kehadapan secara perlahan-lahan. Selepas roda hadapan melepasi bendul, penguna perlu menggunakan kekuatan anggota atas untuk menolak push rim kehadapan bagi membolehkan kedua-dua roda belakang dapat melepasi bendul. Setelah kedua-dua roda belakang melepasi bendul, penguna boleh meneruskan perjalanan seperti biasa.

Jika melalui bendul tinggi, pengguna perlu meminta bantuan orang lain untuk menolak kehadapan secara perlahan-lahan kerusi roda sehingga  melepasi bendul. Setelah roda belakang melepasi bendul, penguna boleh meneruskan perjalanan seperti biasa tanpa bantuan.

Rujukan:

  1. Boninger ML, Baldwin M, Cooper RA, Koontz A. Manual wheelchair pushrim biomechanics and axle position. Arch Phys Med Rehabil. 2000: 81:608-613.
  2. Boninger ML, Cooper RA, Fay B, Koontz A, Musculoskeletal Pain and Overuse Injuries, in Spinal Cord Medicine: Principles and Practices, Demos Medical Publishing, NY, 2003.
  3. Bregman DJ, van Drongelen S, Veeger HE. 2009. Is effective force application in handrim wheelchair propulsion also efficient? Clinical Biomechanics (Bristol, Avon) 24:13-9.
  4. Cooper RA. 2009b. Wheeled mobility and manipulation technologies. The Bridge 39.
  5. Cooper RA, Olson J, Cooper RM, Manual Wheelchair Lingo, Paraplegia News, pp. 17-24, Vol. 63, No. 11, November 2009.
  6. Consortium for Spinal Cord Medicine, Preservation of Upper Limb Function Following Spinal Cord Injury: What You Should Know (Paralyzed Veterans of America, 2005).
  7. Cowan RE, Nash MS, Collinger JL, Koontz AM, Boninger ML. 2009. Impact of surface type, wheelchair weight, and axle position on wheelchair propulsion by novice older adults. Archives of Physical Medicine and Rehabilitation 90:1076-83.
  8. de Groot S, Veeger HE, Hollander AP, van der Woude LH. 2003. Adaptations in physiology and propulsion techniques during the initial phase of learning manual wheelchair propulsion. American Journal of Physical Medicine & Rehabilitation 82:504-10.
  9. Denison I, Shaw J, Zuyderhoff R. Wheelchair Selection Manual. BC Rehab, Vancouver, BC 1994.
  10. Gary Karp, Choosing A Wheelchair: A Guide for Optimal Independence (Cambridge, Mass: O’Reilly, 1998).
  11. http://calder.med.miami.edu/providers/PHYSICAL/wheelprop1.html
  12. http://en.wikipedia.org/wiki/Wheelchair
  13. http://www.3riers.com
  14. http://www.abledata.com 
  15. http://www.flexrim.com
  16. http://www.karmanhealthcare.com/propelling-wheelchair
  17. http://www.msktc.org/sci/factsheets/wheelchairs/The-Manual-Wheelchair#sthash.naQNyGHh.dpuf
  18. http://www.wikihow.com/Operate-a-Wheelchair-Safely-Outdoors
  19. http://www.wikihow.com/Use-a-Manual-Wheelchair
Semakan Akhir : 28 Ogos 2020
Penulis : Jasni Bin Abdullah
Akreditor : Premalatha A/P Sundram
Penyemak : Tan Foo Lan

Artikel Berkaitan

Sakit Tengkuk

Sakit tengkuk adalah perasaan sakit yang dialami pada mana-mana bahagian leher dan boleh melibatkan bahagian bahu, kepala dan muka.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 222,233,757

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-25 14:19:35
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia