A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Ubat & Anda
  4. /
  5. Ubat Umum
  6. /
  7. Tip Mengelakkan Kesilapan Pengubatan

Tip Mengelakkan Kesilapan Pengubatan

Pengenalan

Proses penggunaan ubat-ubatan melibatkan pelbagai peringkat dan anggota kesihatan. Setiap peringkat menuntut agar ubat yang betul diberikan pada dos, masa dan cara yang betul, kepada pesakit yang betul dengan disertai dengan maklumat yang betul. Namun begitu, kesilapan boleh berlaku disebabkan faktor kemanusiaan. Kebiasaannya, kesilapan yang berlaku hanya menyebabkan ketidakselesaan atau pembaziran wang dan tidak mengakibatkan kesan sampingan yang serius. Malangnya, sesetengah kesilapan boleh mengancam nyawa.

National Coordinating Council for Medication Error Reporting and Prevention (NCCMERP), Amerika Syarikat memberikan definisi kesilapan penggunaan ubat-ubatan sebagai:

“Kesilapan penggunaan ubat-ubatan adalah sebarang perkara yang mengakibatkan penggunaan ubat-ubatan yang tidak sesuai atau memberikan kesan buruk kepada pesakit; pada masa ubat-ubatan dalam kawalan anggota kesihatan, pesakit atau pengguna.

Perkara sedemikian boleh berhubungkait dengan amalan profesion, produk-produk kesihatan, sistem dan prosedur, termasuklah penyediaan preskripsi, komunikasi, pelabelan, pembungkusan dan penamaan, pembancuhan, pendispensan, pengedaran, cara pengambilan, pendidikan, pemonitoran dan penggunaan”.

Mengelakkan Kesilapan Pengubatan

Mana-mana individu yang terlibat dalam proses pengambilan ubat-ubatan secara langsung atau tidak langsung boleh membuat kesilapan. Komunikasi dan hubungan yang baik antara anggota kesihatan yang terlibat memainkan peranan penting bagi menghindarkan kesilapan pengambilan ubat-ubatan. Kesilapan ini boleh juga dihindarkan apabila pengamal penjagaan kesihatan dan pesakit menyedari akan jenis-jenis kesilapan yang mungkin boleh berlaku.

Pesakit dan penjaga menggalas tanggungjawab bagi memastikan agar mereka memahami kegunaan sesuatu ubat, bagaimana rupa sesuatu ubat yang diambil dan cara pengambilan yang betul, serta tindakan yang perlu diambil sekiranya tiada penambahbaikan kesihatan setelah ubat-ubatan diambil. Semakan semula maklumat sesuatu ubat adalah perlu bagi mengelakkan kesilapan pengambilan ubat-ubatan. Membaca label ubat setiap kali sebelum ianya digunakan adalah merupakan satu amalan yang baik dalam memastikan pengambilan ubat yang betul dalam dos yang tepat.

Berikut adalah beberapa cara yang anda boleh amalkan bagi menghindari kesilapan pengambilan ubat-ubatan:

A.  Bertanyalah kepada pengamal penjagaan kesihatan

Amalan termudah dan terbaik bagi menghindarkan kesilapan pengambilan ubatan-ubatan adalah dengan bertanya dan memahami jawapan yang diberikan. Berikut adalah soalan berkaitan yang boleh diajukan kepada pengamal penjagaan kesihatan untuk memastikan kejayaan sesuatu terapi ubat-ubatan dan mengelakkan kesilapan yang berkaitan:

  • Pastikan anda dapat membaca preskripsi anda.
    Sekiranya anda tidak dapat membacanya, mintalah kepada doktor untuk:-

      • Mencetak nama ubat.
      • Mencetak arahan pengambilan ubat (Maklumat ini biasanya akan disediakan oleh ahli farmasi semasa pendispensan)
  • Bertanyalah mengenai ubat-ubatan kepada doktor atau ahli farmasi.
    Sebagai pesakit atau penjaga, pemahaman akan masalah kesihatan serta bagaimana ubat-ubatan boleh memberikan kesan yang sepatutnya adalah amat penting. Anda perlulah memahami:-

      • Bagaimana sesuatu ubat bertindak
      • Apa kesan sampingan yang mungkin berlaku dan selama mana ia akan dialami pesakit
      • Bila anda dijangkakan pulih dengan ubat-ubatan yang diambil
      • Tindakan yang perlu diambil sekiranya kesan pengambilan ubat-ubatan tidak seperti yang dijangkakan
  • Berbincanglah dengan ahli farmasi mengenai ubat-ubatan.
    Perbincangan bersama ahli farmasi membantu meningkatkan kefahaman mengenai ubat-ubatan yang anda ambil. Ia juga membolehkan ahli farmasi untuk menyaring preskripsi sekiranya terdapat kesilapan. Anda perlu memastikan agar anda mengetahui:

    • Kegunaan ubat yang diambil
    • Bagaimana ubat perlu diambil atau diguna
    • Bila masa untuk mengambil ubat anda
    • Berapa lama ubat seharusnya diambil
    • Tarikh luput ubat-ubatan

B. Patuhi arahan pengambilan ubat-ubatan

Anda mesti mematuhi arahan pengambilan ubat-ubatan yang telah diberikan oleh pengamal penjagaan kesihatan. Terdapat kemungkinan anda tidak mendapat kesan yang diinginkan sekiranya ubat tidak diambil seperti yang diarahkan. Anda boleh berbincang dengan ahli farmasi sekiranya doktor atau mana-mana pengamal penjagaan kesihatan memberikan arahan yang berbeza daripada arahan yang tertera pada label.

C.  Kenali ubat anda

Salah satu cara yang boleh menghindarkan kesilapan pengambilan ubat-ubatan adalah dengan mengenali ubat anda. Anda seharusnya mampu mengenalpasti ubat-ubatan anda sendiri. Kebanyakan kesilapan yang berlaku di rumah adalah disebabkan kekeliruan pesakit dengan ubat, dos, jumlah tablet/ kapsul, dan masa yang sepatutnya ubat-ubatan diambil.

Pesakit kadangkala terambil ubat-ubatan milik ahli keluarga atau kawan-kawan disebabkan rupa ubat yang hampir sama. Situasi ini mungkin juga boleh berlaku disebabkan nama ubat yang hampir serupa atau pembungkusan yang hampir sama. Oleh itu, adalah sangat penting bagi setiap pesakit untuk mengenali ubat mereka sendiri bagi menghindarkan kesilapan dalam pengambilan ubat-ubatan.

Doktor atau ahli farmasi boleh menukar ubat-ubatan berjenama yang anda gunakan kepada produk generik, produk generik ke satu generik yang lain ataupun dari produk generik kepada ubat berjenama. Disebabkan inilah anda perlu menyemak semula ubat-ubatan anda. Pastikan bahawa anda mengetahui:

  • Rupa ubat-ubatan anda. Ini termasuklah bentuk dan warna
  • Jenama ubat dan nama generik ubat-ubatan anda. Anda dinasihatkan supaya mengambil tahu nama generik atau bahan aktif ubat anda bagi mengelakkan kekeliruan yang mungkin berlaku jika terdapat perubahan pada jenama produk yang digunakan.

D.  Simpanlah ubat-ubatan seperti yang diarahkan

Kekeliruan boleh berlaku kerana sesetengah ubat-ubatan kelihatan hampir serupa. Bagi mengelakkan kekeliruan ini, anda dinasihati agar sentiasa menyimpan ubat-ubatan dalam bekas asalnya. Semua ubat-ubatan hendaklah disimpan dalam kabinet berkunci di mana ia tidak dapat dijangkau oleh kanak-kanak. Terdapat juga ubat-ubatan yang perlu disimpan dalam kondisi yang tertentu, seperti di dalam peti sejuk atau dilindungi dari cahaya. Ini adalah bertujuan bagi mengelakkan deteriorasi atau ketidakstabilan produk.

Semua ubat yang telah tamat tarikh luput seharusnya tidak lagi disimpan bersama ubat-ubatan lain. Anda boleh mendapat kesan sampingan sekiranya anda masih mengambil ubat-ubatan yang telah tamat tarikh luput. Sesetengah ubat-ubatan sebegini mungkin tidak lagi mengandungi kandungan bahan aktif yang sepatutnya, dan terdapat juga sesetengah ubat yang telah tamat tarikh luput boleh menjadi toksik pada badan dan menyebabkan anda sakit.

E.  Buatlah senarai ubat-ubatan yang pernah atau sedang diambil dan maklumkan pada doktor atau ahli farmasi

Doktor atau ahli farmasi yang merawat anda sepatutnya mengetahui dan menyimpan rekod semua ubat-ubatan yang anda ambil. Rekod ini termasuklah ubat-ubatan OTC (over-the-counter) seperti vitamin dan aspirin, ubat sembelit, begitu juga ubat-ubatan yang telah diberikan oleh doktor-doktor yang lain. Ini adalah sebagai langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan tindakbalas berbahaya antara ubat-ubatan dan menyebabkan kesan yang tidak diingini kepada pesakit.

Doktor yang merawat anda perlu mengetahui reaksi yang pernah anda lalui apabila mengambil sesetengah ubat. Walaubagaimanapun, kadar toleransi seseorang terhadap ubat-ubatan mungkin berubah mengikut umur di mana sensitiviti terhadap ubat-ubat seperti ubat tahan sakit atau ubat penenang mungkin akan bertambah dengan peningkatan umur.

Kesimpulan

Setiap orang yang terlibat dalam proses penggunaan ubat-ubatan perlulah memainkan peranan untuk mengelakkan kesilapan pengambilan ubat-ubatan. Ini termasuklah pengamal penjagaan kesihatan dan pesakit yang berpengetahuan. Anda hanya perlu bertanya, memahami dan mematuhi arahan yang diberikan, mengenali ubat-ubatan anda, menyimpan ubat seperti yang diarahkan dan menyenaraikan semua ubat-ubatan yang sedang dan pernah diambil bagi meminimakan kesilapan penggunaan ubat-ubatan.

Semakan Akhir : 23 April 2014
Penulis : Mohd Azwan bin Mohd Zubir
Penyemak : Hazlin bt. Othman

 

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 219,234,165

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-19 14:25:57
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia