A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Dewasa
  4. /
  5. Tikus : Penyakit Bawaannya...

Tikus : Penyakit Bawaannya dan Kawalan

Jangkitan penyakit berjangkit secara langsung berlaku apabila rembesan najis atau cecair yang mengandungi organisma seperti bicilli, rickettsia atau virus daripada tikus yang efektif terkena kepada manusia. Antara contoh penyakit yang diakibatkan jangkitan secara langsung adalah leptospirosis, salmonellosis, trichinosis, lymphocytic choriomeningitis (LCM) ricketssial pox dan malioidosis. Terdapat juga penyakit yang disebabkan oleh agen yang menjadikan tikus sebagai perumah seperti kutu, tungau, sengkenit dan hama. Agen ini adalah penyebab kepada penyakit berjangkit seperti hawar, scrub typhus dan murine typhus.

Pengenalan

Tikus merupakan spesis haiwan mamalia yang tergolong dalam kumpulan yang dipanggil rodensia. Kumpulan ini merupakan kumpulan haiwan mamalia kecil seperti mencit, cencurut, gerbil, mamut, tupai dan arnab. Rodensia dapat dibahagikan kepada tiga kumpulan utama (order) iaitu Sciuromorpha, Myomorpha dan Hystrichomorpha. Rodensia adalah jenis tikus dibawah order Sciumorpha dan berada dalam family Muridae.

Di Malaysia spesis tikus yang paling kerap ditemui di dalam persekitaran rumah atau kediaman manusia ialah tikus rumah (Rattus rattus diardii). Selain itu, terdapat banyak lagi spesis tikus yang lazim ditemui di negara ini antaranya termasuklah tikus Norway (Rattus norvergicus), tikus rumah kecil (Mus musculus), tikus sawah (Rattus argentiventer), tikus kayu (Rattus tiomanicus) dan tikus Burma (Rattus exculans).

Kawalan terhadap populasi tikus haruslah dilakukan secara intensif kerana urungan tikus yang tidak terkawal akan memberi kesan terhadap ekonomi yang mana tabiat tikus yang suka menggigit akan merosakan infrastuktur seperti kabel elektrik, peralatan-peralatan elektronik dan lain-lain. Di samping itu, populasi tikus yang tidak terkawal juga memberi kesan kepada kesihatan awam. Tikus boleh menyebabkan jangkitan penyakit berjangkit secara langsung dan tidak langsung.

Jangkitan penyakit berjangkit secara langsung berlaku apabila rembesan najis atau cecair yang mengandungi organisma seperti bicilli, rickettsia atau virus daripada tikus yang efektif terkena kepada manusia. Antara contoh penyakit yang diakibatkan jangkitan secara langsung adalah leptospirosis, salmonellosis, trichinosis, lymphocytic choriomeningitis (LCM) ricketssial pox dan malioidosis. Terdapat juga penyakit yang disebabkan oleh agen yang menjadikan tikus sebagai perumah seperti kutu, tungau, sengkenit dan hama. Agen ini adalah penyebab kepada penyakit berjangkit seperti hawar, scrub typhus dan murine typhus.

Leptospirosis

Leptospirosis adalah penyakit yang disebabkan oleh bakteria Leptospira icterohaemorrhagiae yang terdapat dalam ginjal tikus dan keluar melalui air kencing tikus. Leptospirosis menjangkiti manusia melalui makanan dan minuman yang tercemar dengan kencing tikus dan aktiviti berenang dalam air yang tercemar dengan bakteria tersebut. Antara faktor risiko yang boleh menyebabkan dijangkiti leptospirosis termasuklah aktiviti rekreasi dalam air seperti berenang, berkayak dan berbasikal di laluan denai.

Tempoh masa pesakit yang dijangkiti leptospirosis dari mula jangkitan hinggalah pesakit menunjukkan gejala adalah antara 2 hingga 26 hari (biasanya 10 hari). Antara gejala-gejala penyakit leptospirosis adalah demam yang tinggi, sakit badan, sakit kepala, muntah dan konjunktivitis.

Langkah pencegahan penularan leptospirosis adalah elakkan daripada mengunjungi kawasan yang ada air bertakung/ air tenang. Jika anda terdedah kepada kawasan yang berisiko, pengambilan ubat doxycycline boleh mengurangkan risiko mendapat penyakit.

Trichinosis

Trichinosis adalah penyakit yang disebabkan oleh nematod Trichinella spiralis yang lazim dijumpai dalam tikus dan juga khinzir. Trichinosis menjangkiti manusia melalui makanan (terutama khinzir) yang tidak cukup dimasak untuk membunuh telur cacing (cyst). Khinzir yang memakan tikus yang mati di dalam kandang menyebabkan jangkitan nematod kepada khinzir dan seterusnya kepada manusia apabila manusia memakan khinzir. Gejala penyakit trichinosis adalah seperti demam yang berpanjangan, jangkitan atau radang usus dan sakit otot.

Bagi mengelakkan dijangkiti trichinosis, anda dinasihatkan supaya memasak makanan terutama daging khinzir atau hasilan khinzir pada suhu secukupnya supaya cyst dimusnahkan sepenuhnya. Kandang khinzir juga perlulah dipasang alat roden proofing bagi mengelakkan tikus daripada memasuki premis.

Ricketssial pox

Ricketssial pox dikenali di Amerika sebagai Rocky Mountain spotted fever. Penyakit ini disebabkan oleh bakteria Rickettsia akari yang terdapat di dalam badan tikus. Jangkitan rickettsia terhadap manusia berlaku melalui gigitan kutu yang mendiami tikus jenis tikus rumah (house mouse).

Kutu tikus ini adalah dari spesis Allodermanyssus sanguineus. Gigitan kutu akan menyebabkan kesan kecederaan pada kulit dan seterusnya akan menyebabkan demam, menggigil dan diikuti sakit kepala seminggu kemudian. Selepas 2 hingga 3 hari, akan timbul ruam seperti chikenpox di seluruh badan.

Lymphocytic Choriomeningitis (LCM)

Lymphocytic Choriomeningitis (LCM) adalah penyakit yang disebabkan oleh Lymphocytic Choriomeningitis Virus (LCMV). Virus ini terdapat dalam darah dan organ tikus rumah yang bertindak sebagai perumah (reservoir) tanpa ada gejala penyakit. LCM menjangkiti manusia melalui makanan yang tercemar dengan najis dan kencing tikus.

Gejala penyakit ini adalah bermula seperti serangan influenza biasa dan kemudian akan pulih. Walau bagaimanapun selepas beberapa hari akan timbul tanda meningeal. Pesakit dengan tanda-tanda meningeal seperti mengantuk, ganguan tindak balas, lumpuh dan seterusnya hilang deria rasa kulit. Langkah-langkah pencegahan bagi mengelakkan dijangkiti LCM adalah kawalan tikus secara bersepadu (kimia, biologikal dan mekanikal) haruslah dilaksanakan terutama di kawasan berkepadatan penduduk yang tinggi.

Plague (Hawar)

Penyakit plague ataupun hawar merupakan satu penyakit akut yang boleh membawa kepada kesakitan dan maut kepada manusia dan haiwan. Terdapat dua epidemiologi penyakit hawar iaitu silvatic dan urban. Penyakit hawar silvatic melibatkan transmisi peringkat awal antara rodensia dengan rodensia dan kutu dengan rodensia.

Ia melibatkan beberapa binatang seperti anjing ladang, tupai tanah, tikus tanah, arnab dan lain-lain. Penyakit hawar urban (domestik) melibatkan tikus komersial terinfeksi di mana ianya melibatkan manusia yang tinggal di persekitarannya. Ianya boleh berlaku dalam bentuk wabak di mana perebakan penyakit ini berlaku dengan cepat dengan adanya beberapa faktor penyebab tertentu iaitu faktor persekitaran, faktor agen dan faktor hos.

Dalam kontek ini, faktor persekitaran adalah rodensia (tikus), faktor hos adalah manusia dan faktor agen adalah bakteria Yersenia pestis. Faktor persekitaran iaitu tikus adalah merupakan perumah kepada kutu yang hidup pada tubuhnya dengan menghisap darah pada tikus tersebut. Apabila terdapat agen iaitu bakteria Yersenia pestis samaada dalam tubuh tikus atau pada kutu itu sendiri maka berlaku jalinan pertukaran agen itu kepada manusia apabila kutu tersebut menggigit manusia.

Antara tanda jangkitan adalah demam, bengkak kelenjar, pendarahan kulit dan pendarahan kelenjar limfa. Keadaan yang lebih teruk akan berlaku apabila gigitan kutu terinfeksi akan melepaskan bakteria kepada sistem saluran darah manusia dan akhirnya akan menyerang sistem kelenjar tubuh. Kaedah kawalan dan langkah-langkah pencegahan adalah pemantauan yang berterusan di semua pintu-pintu masuk negara. Selain itu, kaedah kawalan yang berkesan adalah kawalan kimia dimana penggunaan semburan gas hidrogen sianid bagi membunuh tikus di gudang-gudang dan juga kapal-kapal yang tiba daripada negara-negara berisiko tinggi seperti dari negara-negara Afrika dan Amerika Latin.

Murine typhus

Murine typhus adalah penyakit yang disebabkan oleh agen penyebab Rickettsia typhi yang terdapat dalam kutu jenis xenopsylla cheopis. Walau bagaimanapun spesis kutu yang lain juga berkemungkinan membawa bakteria ini. Jangkitan rickettsia daripada tikus ke tikus terjadi melalui najis kutu yang mana terdapat luka kecil pada badan tikus.

Penyakit ini menjangkiti manusia melalui mekanisma yang sama iaitu gigitan kutu yang terinfeksi pada badan manusia. Selain daripada itu, manusia juga mudah dijangkiti melalui terhidu debu dari najis tikus yang terjangkit.
Antara tanda dan gejala penyakit murine typhus adalah sakit kepala secara tiba-tiba, seram sejuk, prostration, demam dan sakit badan dan bintik merah di kulit.

Scrub typhus

Scrub typhus adalah penyakit yang disebabkan oleh Rickettsia orientalis. Hama yang terinfeksi dengan bakteria Rickettsia orientalis berkeupayaan hidup 3 hari pada badan tikus, menghisap darah sehingga kenyang dan jatuh ke tanah. Hama yang jatuh ke tanah, berupaya hidup di dalam tanah selama 3 bulan sehingga dewasa. Penyakit ini menjangkiti manusia apabila hama yang terdapat di tanah melalui sentuhan langsung dengan permukaan kulit manusia yang terdedah.

Langkah pencegahan yang boleh diambil adalah memakai pakaian tebal dan kasut supaya tidak terjangkit hama ketika berjalan di dalam belukar atau sawah. Penggunaan repellant juga adalah merupakan satu langkah pencegahan bagi mengelakkan dijangkiti oleh penyakit ini.

Rujukan

  1. Arbain, K. (1990). Entomologi Perubatan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
  2. Brooks, J.E. (1973). A review of commensal rodents and their control, CRC Critical Review of Environmental Control. Albany, NY: New York State Department of Health.
  3. Brooks, J.E., & Rowe, F.P. (1987). Comensal Rodent Control. Savannah, Geogia: World Health Organization.
  4. Verasahib, K. (2011). Guidelines For The Diagnosis, Management, Prevention And Control Of Leptospirosis In Malaysia. Putrajaya: Department of Public Health, Ministry of Health Malaysia.
  5. http://www.astroawani.com/berita-malaysia

 

Semakan Akhir : 7 November 2016
Penulis : Mohamad Hilmi bin Mustapa
Akreditor : Hj. Rosnani bin Ab. Hamid

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,346,569

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-25 09:58:35
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia