Terapi HIV

Rawatan ditawarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah ubat ’highly active antiretroviral therapy’ (HAART). Ini adalah merupakan kombinasi sekurang-kurangnya 3 jenis ubat anti-HIV yang dapat mengurangkan jumlah virus HIV dalam badan dan keterukan penyakit HIV. Rawatan ini terdapat di klinik kesihatan dan hospital KKM.

Semua pesakit HIV disarankan untul mengambil ubat anti retroviral tanpa mengambilkira bacaan CD4. Rawatan ini dapat memanjangkan hayat dan memperbaiki kualiti hidup pesakit. Pesakit mesti mematuhi jadual rawatan ubat tersebut.

Pesakit akan menerima rawatan pertama HAART. Jika berlaku kerintangan terhadap ubat atau kesan sampingan yang teruk, rawatan kedua adalah disarankan.

Rawatan yang terdapat di Malaysia adalah seperti di bawah. Rawatan anti retroviral ini dikelaskan mengikut cara mereka bertindakbalas menyerang virus HIV.

  1. Nucleoside reverse transcriptase inhibitors(NRTI)/ Nucleoside reverse transcriptase inhibitors (n+RTI)
    1. Zidovudine (AZT)
    2. didanosine buffered or enteric coated (DDI)
    3. stavudine (D4T)
    4. Lamivudine (3TC)
    5. abacavir (ABC)
    6. tenofovir (TDF)
    7. Emtricitabine (FTC)
  2. Non nucleoside reverse trancriptase inhibitor (NNRTI)
    1. Nevirapine (NVP)
    2. Efavirenz (EFV)
    3. Etravirine (ETV)
  3. Protease Inhibitor (PI)
    1. Lopinavir/ritonavir (LPV/r)
    2. Saquinavir (SQV)
    3. Atazanavir (ATV)
    4. Darunavir (DRV)
    5. Ritonavir (RTV)
  4. Integrase inhibitors
    1. Raltegravir
  5. CCR5 Antagonist
    1. Maraviroc
  6. Fusion inhibitor
    1. Enfuvirtide

Kepentingan kepatuhan kepada terapi HIV

Sebelum dimulakan rawatan HIV, doktor atau pegawai farmasi akan menerangkan kepentingan untuk mematuhi terapi HIV. Ini adalah kerana terapi HIV memerlukan anda mematuhi masa memakan ubat pada masa yang sama setiap hari serta lawatan ulangan yang tetap. Anda boleh memilih untuk menunda rawatan jika terdapat faktor klinikal serta faktor psikososial yang mungkin menghalang. Ini adalah kerana ubat HAART memerlukan kepatuhan kepada masa pengambilan ubat dan rawatan susulan yang teratur.

Ketidakpatuhan terapi menghalang virus HIV boleh menyebabkan kegagalan rawatan. Jika berlaku kegagalan rawatan maka rawatan HIV pilihan kedua terpaksa dimulakan dan ini mengakibatkan kos yang lebih tinggi dan kemungkinan kesan sampingan yang lebih kuat.

Bagaimana membantu klien patuh kepada rawatan HIV

Apabila anda bersetuju untuk meimulakan rawatan HIV, doktor perlu memberi kaunseling dos ubat, masa pengambilan ubat yang sesuai dengan aktiviti seharian anda serta kepentingan kepatuhan kepada rawatan HIV. Anda juga dinasihatkan untuk meminta bantuan kawan atau keluarga dalam membantu untuk mengingatkan anda mengambil ubatan secara teratur. Doktor serta staf juga perlu memberi  nombor telefon untuk dihubungi jika terdapat sebarang masalah yang timbul sepanjang rawatan.

Kesan sampingan rawatan HIV

Kesan sampingan rawatan HIV adalah mengikut jenis ubatan HIV yang diberikan kepada anda. Ia mungkin menyebabkan berlakunya terhenti rawatan dan ketidakpatuhan. Walau bagaimanapun jika ianya berlaku anda perlu berjumpa segera dengan doktor.

Kesan sampingan ubat adalah seperti berikut:

ARV

Kesan sampingan

Zidovudine (AZT) Anaemia (kurang sel darah merah) atau neutropenia (kekurangan sel darah putih)
Masalah penghadaman
Stavudine (D4T) Laktik asidosis
Lipoatrophy (pengecutan sel lemak) / sindrom metabolik
Peripheral neuropathy (masalah saraf)
Tenofovir (TDF) Toksisiti ginjal
Efavirenz Toksisiti sistem saraf
Halusinasi atau psikosis
Nevirapine Hepatitis (radang hati)
Reaksi alahan
Sindrom Steven- Johnson

Bilakah rawatan untuk pesakit HIV perlu dimulakan?

  • Semua pesakit HIV disarankan untuk memulakan rawatan anti retroviral tanpa mengambil kira bacaan CD4
Semakan Akhir : 28 Ogos 2020
Penulis : Dr. Hasniza bt. Hasim
Penyemak : Dr. Nor Faizah bt. Ghazali