A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Ubat & Anda
  4. /
  5. Fakta Ubat
  6. /
  7. Terapi Gantian Nikotin (NRT)

Terapi Gantian Nikotin (NRT)

Pengenalan

Merokok merupakan punca utama kepada morbiditi dan kematian yang boleh dicegah di dunia. Di seluruh dunia pengguna tembakau menyumbang kepada 5 juta kematian setiap tahun dan trend penggunaan tembakau ini dijangkakan akan menyebabkan kematian melebihi 8 juta setahun menjelang tahun 2030. Di Malaysia, merokok masih merupakan salahsatu daripada 10 punca utama kemasukkan ke hospital dan penyebab kematian. Global Tobacco Surveypadatahun 2011 menunjukkan di Malaysia, seramai 4.75juta perokok adalah berusia 15 tahun dan ke atas. Dengan berhenti menghisap rokok, risiko mendapat penyakit berkaitan rokok dapat dikurangkan. Salah satu rawatan untukberhenti merokok adalah melaluiterapi gantian nikotin atau dikenali juga sebagai Nicotine Replacement Therapy (NRT). Menurut kajian Cochrane pada tahun2008, NRT mampu meningkatkan kadar berhenti merokok sebanyak 50% hingga 70%.

Bagaimana NRT berfungsi dalam rawatan berhenti merokok?

NRT bertindakmembekalkan nikotin sahaja tanpa bahan-bahan kimia lain yang biasa terdapat dalam asap rokok dalam dos yang rendah kepada otak sebagai gantian nikotin daripada rokok. Pendekatan ini bertujuan untuk mengurangkan rasa gian terhadap nikotin serta mengurangkan atau mencegah gejala-gejala tarikan yang mungkin berlakusemasa berhenti merokok.

Apakah jenis NRT yang ada di pasaran?

Produk NRT boleh diperolehi dalam beberapa bentuk dan kekuatan untuk menyesuaikan keperluandan tahap kerbergantungan terhadap nikotin dalam kalangan perokok Berikut adalah 5 jenis produk NRT yang terdapat di pasaran:

  1. Gum nikotin
  2. Inhaler nikotin
  3. Lozenge nikotin
  4. Semburan hidung nikotin (nasal spray)*
  5. Patch nikotin

*Tiada dalam pasaran Malaysia.

Kesemua produk NRT ini direka dengan perbezaan kaedah penghantaran nikotin ke dalam tubuh dari segi kelajuan dan tempat penyerapannya. Gum, inhaler, lozenge dan semburan hidung nikotin mempunyai kelajuan penghantaran nikotin ke otak yang lebih cepat berbanding dengan patch, namuntidak sepantas penghantaran nikotin melalui merokok. Nikotin dari gum, inhaler dan lozenge diserap melalui lapisan membran mukosa buccal ke dalam salur darah dan kemudian dibawa ke otak, manakala nikotin daripada semburan hidung diserap melalui lapisan membran mukosa hidung.Sebaliknya, penghantaran dos nikotin dari patch nikotin adalah lebih lambat. Oleh itu, kebiasaannya patch nikotin akan digunakan bersama produk NRT yang lain. Dengan adanya produk-produk NRT dengan ciri-ciri yang berbeza ini, Pengamal perubatan seperti doktor dan ahli farmasi boleh membuat pilihan yang terbaik untuk perokok berdasarkan keperluan mereka dari segi aktiviti harian, tabiat merokok dan tahap kebergantungan terhadap nikotin. Semua produk NRT ini berkesan sekiranya diambil dengan cara yang betul.

Apakah regimen untuk produk NRT?

Produk NRT
Regimen*
Gum Nikotin
  • Gum 2mg: disarankan untuk pesakit yang merokok kurang daripada 25 batang sehari; Gum 4mg: disarankan untuk pesakit yang merokok 25 batang dan lebih sehari.
  • Kunyah sekeping gum setiap 1 hingga 2 jam untuk 6 minggu pertama, diikuti dengan sekeping gum setiap 2 hingga 4 jam selama 3 minggu dan sekeping gum setiap 4 hingga 8 jam untuk 3 minggu seterusnya.
Inhaler Nikotin
  • Setiap bekas / katrij membekalkan sejumlah 4mg nikotin dalam 80 sedutan.
  • 6 hingga 12 katrij sehari untuk 8 minggu pertama, diikuti dengan 3 hingga 6 katrij sehari selama 2 minggu dan kurangkan secara berperingkat hingga 0 katrij dalam 2 minggu yang seterusnya.
Lozenge Nikotin
  • Lozenge 2mg: disarankan untuk pesakit yang menghisap rokok pertama lebih daripada 30 minit selepas bangun tidur; Lozenge 4mg: disarankan untuk pesakit yang menghisap rokok pertama dalam masa 30 minit selepas bangun tidur.
  • Hisap 1 lozenge setiap 1 hingga 2 jam untuk 6 minggu pertama, diikuti dengan 1 lozenge setiap 2 hingga 4 jam untuk 3 minggu dan 1 lozenge setiap 4 hingga 8 jam untuk 3 minggu seterusnya.
Patch Nikotin
  • Terdapat dua jenis Patch di pasaran:
    1. 15mg/16jam, 10mg/16jam, 5mg/16jam
    2. 21mg/24jam, 14mg/24jam, 7mg/24jam
  • Sekeping patch 15mg/16jam or 21mg/24jam sehari untuk 4 minggu pertama, diikuti dengan sekeping patch 10mg/16jam or 14mg/24jam sehari untuk 2 minggudan sekeping patch 5mg/16jam or 7mg/24jamsehari untuk 2 minggu seterusnya.
Semburan Hidung Nikotin (nasal spray)
  • 1 dos semburan hidung nikotin merujuk kepada 1 dos 0.5mg disemburkan ke dalam setiap lubang hidung (Jumlah keseluruhan 1mg).
  • 1 hingga 2 dos setiap jam dan naikan dos mengikut keperluan dengan minimum 8 dose sehari dan maximum 40 dos sehari untuk 8 minggu pertama. Kemudian kurangkan dos secara berperingkat hingga 0 dalam 4 hingga 6 minggu yang seterusnya.

* Regimen di atas adalah sebagai panduan sahaja, regimen mungkin berlainan mengikut keadaan/keperluan pesakit.

Bagaimana cara menggunakan produk NRT?

GUM NIKOTIN

  • Kunyah 5 hingga 10 kali sehingga dapat rasa pedas/peppery dan pijar / tingling sensation.
  • Kemudian selitkan gum di antara pipi dan gusi sehingga rasa pedas/peppery dan pijar / tingling sensation hilang.
  • Kemudian kunyah semula dan selitkan gum di antara pipi dan gusi yang sebelah lagi.
  • Ulang langkah-langkah ini sehingga semua rasa daripada gum hilang (lebih kurang 30 minit).
INHALER NIKOTIN

  • Pusingkan corong mulut supaya tanda pada corong mulut dan penutup selari, kemudian buka penutup tersebut.
  • Masukkan kelongsong nikotin/ katrij ke dalam corong mulut. Pusing untuk tutup corong mulut.
  • Pusingkan corong mulut sekali lagi. Kemudian tolak bahagian atas dan bawah supaya ia boleh ditutup dengan rapat. Pusing untuk kunci corong mulut tersebut.
  • Sedut dengan dalam atau sedut secara berterusan selama 20 minit.
LOZENGE NIKOTIN

  • Selitkan lozenge di antara gusi dan pipi. Kemudian hisap perlahan-lahan sehingga larut (lebih kurang 3 minit).
  • Jangan gigit, kunyah atau telah lozenge.
PATCH NIKOTIN

  • Lekatkan patch pada kulit yng kering, bersih dan tidak berbulu.
  • Ia boleh dilekatkan pada mana-mana di antara tangan dengan leher (biasa pada bahagian atas tangan atau bahu) dan paha.
  • Buangkan pelapik belakang daripada patch dan tekankan pada kulit. Lekatkan pada kulit dengan rapat..
  • Biarkan selama 16 jam atau 24 jam kemudian buang.
  • Lekatkan 1 patch yang baru pada bahagian kulit yang lain (sekurang-kurangnya 5 hari) sebelum lekat balik ke bahagian kulit yang sama.
SEMBURAN HIDUNG NIKOTIN (NASAL SPRAY)

  • Buka penutup semburan hidung dengan menekan bulatan yang ada pada sisi botol.
  • Semburkan pada tisu sehingga semburan halus kelihatan (6 hingga 8 kali). Buang tisu tersebut.
  • Dongakkan kepala ke belakang.
  • Masukkan bahagian muncung botol tersebut ke dalam hidung sedalam yang boleh dan selesa, arahkan muncung botol ke belakang hidung.
  • Nafas melalui mulut.
  • Sembur sekali dengan cepat. Jangan hidu, telah atau sedut semasa semburan.
  • Sekiranya anda mempunyai selsema, sedut secara perlahan-lahan supaya ubat sempat diserap melalui membran mukosa hidung. Tunggu 2 hingga 3 minit sebelum menghembus hidung.

Apakah kesan sampingan produk NRT?

Beberapa kesan sampingan yang melibatkan penggunaan produk NRT adalah seperti berikut:

Produk NRT
Kesan Sampingan
Gum nikotin Sakit / ulcer mulut, sedu, dispepsia dan sakit rahang
Inhaler nikotin Iritasi setempat / local irritation di dalam mulut dan kerongkong
Lozenge nikotin Mual, sedu, pedih ulu hati, sakit kepala dan batuk
Patch nikotin Alahan kulit, gangguan tidur / insomnia dan mimpi yang jelas /vivid dream
Semburan hidung nikotin (nasal spray) Iritasi kawasan hidung / nasal irritation, hidung tersumbat and gangguan dalam deria hidu dan rasa

Apakah antara langkah berhati-hati yang perlu diambil?

Penyakit kardiovaskular – NRTbukan merupakan salah satu faktor risiko bagi acute myocardial events. NRT harus diguna dengan hati-hati terutama dalam kalangan pesakit yang mempunyai penyakitkardiovaskular, ini termasuk pesakit yang baru mengalami postmyocardial infarction period, arrhythmias yang serius dan unstable angina pectoris.

Kehamilan – Perokok yang hamil digalakkan untuk berhenti merokok tanpa sebarang ubat. NRT masih belum terbukti berkesan dalam rawatan berhenti merokok di kalangan perokok yang hamil dan tiada ujian dijalankan pada perokok yang menyusu anak menggunakan NRT.

 

Semakan Akhir : 06 November 2014
Penulis/Penterjemah : Sharon Ong Chin Wen
Akreditor : Mohd Dziehan bin Mustapa

 

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 219,228,065

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-19 14:25:57
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia