A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Umum
  4. /
  5. Pemulihan Perubatan (Carakerja)
  6. /
  7. Teknik-teknik Ambulasi dan Peralihan...

Teknik-teknik Ambulasi dan Peralihan Dalam Melakukan Aktiviti Kehidupan Seharian

Mobiliti memainkan peranan penting dalam melaksanakan aktiviti harian. Orang kurang upaya (OKU) yang ingin mencapai tahap keberdikarian yang maksima perlu melibatkan mobiliti dan pengalihan dari satu tempat ke tempat yang lain semasa melaksanakan aktiviti harian.

Pengenalan

Mobiliti memainkan peranan penting dalam melaksanakan aktiviti harian. Orang kurang upaya (OKU) yang ingin mencapai tahap keberdikarian yang maksima perlu melibatkan mobiliti dan pengalihan dari satu tempat ke tempat yang lain semasa melaksanakan aktiviti harian. Contoh aktiviti harian yang sering dilaksanakan adalah seperti mandi, menggunakan tandas, masuk/keluar dari kereta dan lain-lain. Aktiviti-aktiviti ini  memerlukan teknik mobiliti dan pengalihan yang bersesuaian dan selamat semasa dilaksanakan. Oleh itu, individu yang mempunyai masalah fizikal seperti orang kurang upaya perlu mempelajari teknik-teknik mobiliti dan pengalihan yang sesuai supaya dapat melaksanakan aktiviti harian secara berdikari.

Teknik-teknik ambulasi dan pengalihan terbahagi kepada:

  1. Ambulasi pengalihan secara berdikari (bersendirian)

  2. Ambulasi pengalihan dengan pembantu

Prinsip Pengalihan

Prinsip ini perlu dipatuhi untuk mengelakkan terjadinya kemalangan ketika  ambulasi pengalihan dilaksanakan.

  1. Permukaan lantai mestilah stabil dan rata

  2. Pastikan brek kerusi roda berada dalam keadaan yang baik, dan sebelum pengalihan dilakukan roda kerusi roda haruslah dikunci untuk menjaga keselamatan pesakit.

  3. Perehat tangan kerusi roda dibuka (salah satu) dan perehat kaki kerusi roda juga dibuka / lipat untuk memudahkan pengalihan.

  4. Semasa mengajar teknik pengalihan kepada pesakit dan ahli keluarga, pembantu mestilah memastikan arahan yang diberi adalah jelas, betul dan selamat juga mudah difahami.

  5. Keseimbangan serta keupayaan pesakit perlu dinilai untuk mengelakkan kemalangan.

  6. Adalah sangat penting menunjukkan cara bagaimana untuk menggunakan berat badan sebagai momentum bagi memudahkan pengalihan.

Ambulasi Pengalihan Secara Bedikari

Terdapat 4 teknik mobiliti Pengalihan dalam yang biasa digunakan dalam aktiviti kehidupan seharian.

  1. Mobiliti Pengalihan Bersudut (Corner Transfer)

    1. Kerusi roda dan tandas mestilah diletakkan berdekatan.

    2. Buka alas tangan kerusi roda yang terdekat dengan kerusi. Pesakit bergerak ke depan sedikit dengan kaki yang lebih kuat diletakkan ke belakang sedikit

    3. Salah satu tangan memegang pada alas tangan kerusi roda dan satu tangan lagi diletakkan pada hujung kerusi

    4. Untuk pesakit yang lemah pada bahagian anggota bawah, adalah lebih baik mengalihkan badan dahulu sebelum kaki

  1. Mobiliti Pengalihan Sisi Ke Sisi (Side Transfer)

    1. Tandas dan kerusi roda diletakkan bersebelahan (berdekatan).

    2. Perehat tangan kerusi roda berdekatan dengan mangkuk tandas mestilah dibuka untuk memudahkan pengalihan

    3. Pesakit akan mengesut kepada kerusi roda dan memegang pada bucu tandas yang paling jauh.

    4. Pesakit akan gerakkan pinggul dari kerusi roda ke tandas dan membetulkan kedudukan

Rajah 1.1: Mobiliti pengalihan sisi ke sisi

 

  1. Mobiliti Pengalihan Menggunakan Papan Lungsur  (Sliding Board Transfer)

Cara ini sesuai digunakan apabila tahap ketinggian dua permukaan adalah tidak sama atau tempat yang berhalangan.

  1. Kerusi roda dan tandas diletakkan bersebelahan secara bersudut.
  2. Perehat tangan kerusi roda pada bahagian bersebelahan dengan mangkuk tandas dibuka.
  3. Papan lungsur diletakkan di tengah-tengah antara mangkuk tandas dan kerusi roda manakala pesakit duduk di hujung kerusi roda.
  4. Pesakit akan mengesut melalui papan lungsur dengan memegang pada kerusi roda.
  5. Apabila selesai, betulkan kaki dan alihkan papan lungsur.
  6. Betulkan kedudukan dan keseimbangan.
Rajah 1.2: Pengalihan guna  papan lunsur

 

  1. Mobiliti Pengalihan Arah Hadapan (Front Transfer)

Cara ini sesuai digunakan di tempat / kawasan yang sempit

  1. Tandas dan kerusi roda diletakkan berhadapan dimana kerusi roda diletakkan ke kiri / ke kanan sedikit. Perehat tangan kerusi roda tidak perlu diubah. Perehat kaki kerusi roda perlu dibuka untuk memudahkan pengalihan dilakukan.
  2. Pesakit perlu mengesut ke hadapan sedikit dan kerusi roda akan didekatkan dengan tandas. Salah satu tangan pesakit akan berpaut pada bar pemegang dan tangan satu lagi akan memegang kerusi roda. Pesakit akan menggunakan kekuatan tangan untuk mengangkat badannya beralih dari kerusi.
  3. Setelah pesakit berada pada tandas, pesakit akan membetulkan kedudukan kaki dan keseimbangan
Rajah 1.3: Mobiliti pengalihan arah hadapan

Ambulasi Pengalihan dengan Pembantu

Teknik ini digunakan kepada pesakit yang terlalu lemah, yang tidak dapat berdikari untuk pengalihan dan memerlukan bantuan daripada penjaga.

Prinsip-prinsip Mengangkat Pesakit Kurang Upaya

Teknik ini digunakan untuk mengangkat orang kurang upaya dimana pembantu menggunakan seluruh tenaga untuk mengangkat pesakit dari satu tempat ke tempat yang lain. Teknik yang digunakan adalah sama kecuali pembantu memerlukan seorang atau dua orang untuk membantu.

  1. Pembantu mestilah menerangkan kepada pesakit tentang teknik mengangkat dan arahan mestilah jelas.

  2. Sebelum memulakan teknik mengangkat, pembantu mestilah memberi arahan kepada pesakit untuk:

    • Bertenang,

    • Percaya kepada pembantu

    • Jangan melawan semasa mereka sedang menjalankan tugas,

  1. Pesakit mestilah melihat arah ke hadapan

  2. Berusaha untuk mengekalkan kedudukan badan pesakit dalam posisi yang betul untuk duduk dan baring.

Kaedah Memegang Pelvik (Pelvic Hold)

  1. Pesakit mestilah bersedia untuk dialihkan dan duduk kehadapan sedikit, menunduk kehadapan dan kaki yang kuat diletakkan ke hadapan sedikit

  2. Pembantu akan berdiri di hadapan pesakit, kaki dan lutut pembantu dicondongkan sedikit ke arah pesakit. Pembantu perlu mengunci kaki pesakit dengan mengepit kedua belah lutut pesakit menggunakan kaki pembantu sendiri untuk mengelakkannya daripada terjatuh

  3. Apabila telah berada dalam keadaan bersedia, pembantu akan meletakkan kedua-dua tangannya di belakang peha pesakit dan pesakit perlu memaut belakang pembantu

  4. Untuk memudahkan mengangkat, pesakit mestilah berada dalam keadaan bersedia dan mendengar arahan pembantu. Setelah dapat berdiri, pesakit haruslah berdiri bersama dengan pembantu dan pindah ke kerusi ke dua.

Rajah 2.1: Kaedah memegang pelvik

Kondisi-Kondisi Pesakit

Kondisi-kondisi pesakit yang sesuai untuk teknik ambulasi dan pengalihan dalam kehidupan harian adalah seperti berikut:

  1. Strok

  2. Kecederaan saraf tunjang (tetraplegia, paraplegia)

  3. Kecederaan kepala

  4. Penyakit saraf dan otot (muscular dystrophy, multiple sclerosis,  myopathy, neuropathy)

  5. Radang sendi (kronik osteoarthritis sendi lutut dan sendi pinggul)

  6. Warga emas (bermasalah fizikal)

  7. Penyakit polio

  8. Spinal bifida

  9. Lain- lain (kudung kaki)

Kesimpulan

Kesimpulannya, teknik-teknik yang dinyatakan diatas boleh digunapakai dan diubahsuai mengikut keselesaan bergantung kepada keupayaan fizikal, persekitaran dan tempat.

Rujukan 

  1. Occupational Therapy and Physical Dysfunction Fourth edition, Churchill Livingstone, Mobility Skills (page 225-241)

  2. PEDRETTI’S OCCUPATIONAL THERAPY Practice Skills for Physical Dysfunction Sixth edition, MOSBY ELSEVIER, Occupational Performance and the Performance Areas: Evaluation and Intervention; toilet transfer (page 222-223)

  3. STROKE REHABILIATION A Function-Based Approached Third Edition, MOSBY ELSEVIER, Chapter 14; Functional Mobility (page366-375)

  4. Kecederaan Kepala Utama |AFLAHLIFE Aflahlife.wordpress.com

  5. Stroke and Its Rehabilitation Sidney Licht, Sidney Herman Licht -1975- Snipped view (page 997)

  6. Occupational Therapy and Stroke Judi Edmans -2011- preview

  7. Rehabilitation of The Physical Disable Adult C. John Goodwill, M. Anne Chamberlain -1988- preview (page 393)

  8. Activities of Daily Living for Physical Rehabilitation Edith Buchwald Cawton -1963- Snipped view

 

Semakan akhir : 28 Ogos 2020
Penulis : Abdul Gani Bin Salwi
Akreditor : Zuraidah Binti Ramli
Penyemak : Tan Foo Lan

 

Artikel Berkaitan

Menuntut Mayat: Tahukah Anda?

Penyerahan mayat kepada pihak waris dilakukan di Jabatan / Unit Perubatan Forensik selepas mengesahkan kesemua butiran si mati dan waris yang menuntut.

Pendengaran Kita

Pengenalan Pendengaran merupakan salah satu pancaindera yang penting kepada setiap

WARNA DAN PSIKOLOGI

Warna dianggap sebagai bahasa global atau universal.  Selain daripada itu, warna juga seringkali dijadikan simbol penyatuan kaum ataupun ideologi. Setiap manusia mempunyai warna personaliti yang unik

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 1,682,296

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-19 09:02:28
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia