Tekanan Rakan Sebaya

Rajendran, umumnya seorang remaja yang sungguh baik tingkah laku sehinggalah dia memasuki Tingkatan 3. Dia mula mempamerkan tingkah laku buruk seperti boros berbelanja dan mencuri.

Pada suatu hari, dia pernah ditangkap kerana mencuri duit rakan sekelasnya. Dia dimarahi oleh gurunya, hampir dibuang sekolah oleh pengetua dan dipukul teruk oleh bapanya.

Akhirnya, ibu Rajendran duduk dengannya dan mendapat tahu bahawa dia mencuri kerana disuruh oleh rakan-rakan. Ramai remaja melakukan perlakuan negatif kerana desakan rakan sebaya.

Definisi Tekanan

Latin: “Strictus, Stringi” Inggeris: “Strain, Distress, Stress”

Tindak balas tubuh dan lebih berbentuk psikofisiologi (interaksi di antara minda-tubuh) terhadap sesuatu isu dan peristiwa daripada persekitaran seseorang yang akan melemahkan sistem tubuh sehingga ke tahap tidak boleh berfungsi dan mengalami penyakit (Contoh: Halangan dalam mencapai matlamat, perubahan persekitaran, perubahan kehidupan).

Richard S. Lazarus: Tekanan adalah keadaan/ perasaan yang dialami apabila individu menganggap bahawa tuntutan-tuntutan melebihi sumber-sumber diri dan sosial yg mampu digerakkan.

Definisi Rakan Sebaya

Habibah (1997), menyatakan rakan sebaya ialah mereka yang tergolong dalam kumpulan sama dan mempunyai persamaan dari segi minat, nilai dan aktiviti yang dilakukan oleh rakan sebaya mempunyai pengaruh yang penting dalam pencapaian akademik remaja. Mereka boleh mempengaruhi pelajar dari segi nilai dan sikap lebih daripada ibu bapa, sekolah, institusi agama dan kumpulan sosial yang lain.

Remaja merupakan golongan pelapis kepada golongan dewasa hari ini untuk membangun dan mentadbir negara pada masa hadapan. Sebagai tunggak harapan negara, adalah perlu bagi mereka menyediakan diri secukupnya pada hari ini supaya mereka dapat berperanan apabila tiba masanya. Tidak dapat dinafikan, melalui pendidikan remaja akan dapat menyediakan diri mereka dengan sebaiknya. Namun demikian, hanya dengan fizikal dan mental yang sihat peluang-peluang pendidikan dapat dimanfaatkan oleh para remaja. Ini kerana mereka yang mengalami gangguan pada salah satu daripada aspek yang dinyatakan tadi akan menghadapi halangan untuk berfungsi dengan baik. ]usteru, kesihatan flzikal dan mental merupakan perkara penting yang perlu dimiliki oleh setiap remaja supaya mereka dapat memainkan peranan pada hari ini dan seterusnya mengambil alih tanggungjawab daripada golongan dewasa pada masa hadapan. Salah satu perkara yang boleh memberikan gangguan kepada kesihatan fizikal dan mental ialah gangguan tekanan.

Antara tekanan yang dialami oleh remaja adalah tekanan rakan sebaya. Berkawan adalah penting. Walau bagaimanapun, berkawan boleh menjadi sesuatu yang memudaratkan. Kesan tekanan rakan sebaya boleh mempengaruhi perubahan cara seseorang sama ada cara bercakap, bertingkah laku mahu pun berfikir.

Tekanan rakan sebaya adalah sesuatu yang lazim di kalangan rakan-rakan dan akan menjadi lebih kuat semasa zaman remaja. Mungkin gerak hati kita ingin meminta kita berhenti menghabiskan masa bersama rakan yang menjadi ‘pengaruh tidak baik’. Namun  ini bukan strategi terbaik kerana boleh menimbulkan reaksi bertentangan yang membawa kepada rintangan yang tidak diingini. Penyelesaian yang lebih baik adalah melatih kita berfikir sendiri untuk menahan diri daripada tekanan rakan sebaya yang negatif itu.

Rakan sebaya dan keluarga merupakan tempat seseorang individu untuk berkomunikasi. Apabila berada di rumah, seseorang itu akan bergaul dengan keluarga manakala apabila dia berada di luar rumah dia akan bergaul dengan rakan sebaya.

Dalam hal-hal seperti tanggungjawab moral, keberanian, kejujuran, kemesraan dan lain-lain, para remaja dipengaruhi oleh pendapat dan pandangan rakan sebaya yang lebih tinggi daripada pengaruh ibu bapa. Faktor ini banyak menimbulkan pergeseran di antara para remaja dan ibu bapa. Para remaja merasakan ibu bapa sebagai pengongkong kebebasan diri. Ibu bapa pula berasa keliru dengan tingkah laku dan tindak-tanduk remaja dan sebarang usaha untuk menegakkan identiti diri dianggap sebagai menentang.

Remaja kini terdedah kepada media massa cetak dan elektronik secara meluas. Media massa adalah seperti Facebook, Instagram, Twitter, Youtube dan sebagainya. Pendedahan secara meluas kepada media massa ini menyebabkan mereka lebih terbuka mengenai fesyen, gaya, identiti, ideologi dan sebagainya.

Pendedahan secara berleluasa ini juga telah menyebabkan mereka membeli barangan hanya kerana keinginan, bukan kerana betul-betul memerlukannya. Contohnya, remaja yang berganti-ganti model rambut dan gemar membeli baju atau barangan lain hanya kerana trend semasa. Pengaruh media massa yang mempengaruhi cara berfikir para remaja.

Oleh itu, ibu bapa perlu memainkan peranan bagi menangani perkara ini dengan meluangkan masa untuk bersama serta berkomunikasi dengan anak-anak mereka. Pihak sekolah juga perlu memberikan banyak aktiviti agar para pelajar ini lbih fokus kepada kegaiatan sekolah dan bukanlah pada hal-hal lain seperti mengikuti trend semasa.

Rujukan:

  1. Dewan Masyarakat (1995). Tingkah Laku Delinkuen. 9 –12.

  2. Mohd Majid Konting. (1998). Kaedah Penyelidikan Pendidikan. Kuala Lumpur: DBP. Mohd Rodzik Abd Razak. (1998).Hubungan Gaya Didikan Ibubapa Dengan Tingkah Laku

  3. Habibah Elias (1997). Psikologi Personaliti. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Semakan Akhir : 02 Julai 2018
Penulis : Faten Hameema bte. Rosli
Akreditor : Haji Hairol Kamal bin Abdul Rahman