Home > Dewasa > Taska dan Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut

Taska dan Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut

Pengenalan

Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut atau dikenali juga Hand, Foot and Mouth Disease (HFMD) adalah disebabkan oleh enterovirus dengan majoritinya Coxsackie Virus A16 dan Enterovirus 71 (EV 71). Penyakit ini selalu berlaku di kalangan kanak-kanak berumur kurang dari 10 tahun dan merebak dengan cepat iaitu hampir 100% di kalangan kanak-kanak kecil melalui kontak dengan air liur, cecair lepuh (blister) dan najis mereka yang berpenyakit. Tempoh inkubasi (tempoh di mana virus mula menjangkiti badan pesakit sehingga wujudnya gejala) adalah di antara 3 hingga 5 hari. Kebiasaannya, mereka yang dijangkiti boleh menyebarkan virus kepada orang lain dalam tempoh sebelum dan selepas wujudnya gejala. Sekiranya menjangkiti orang dewasa, sesetengahnya tidak menunjukkan sebarang simptom, namun mereka boleh menyebarkan virus tersebut kepada orang lain.

Pada tahun 1997, Malaysia dikejutkan dengan wabak Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut di Sarawak yang melibatkan 2628 kes dengan 31 kematian di mana 29 dari kematian tersebut disahkan disebabkan oleh Enterovirus 71 (EV 71). Berdasarkan Sistem Survelan HFMD di Malaysia, tidak ada tren tertentu di negeri-negeri di Semenanjung dan Sabah. Namun begitu bagi Negeri Sarawak, peningkatan kes HFMD yang melibatkan jangkitan EV71 berlaku setiap 3 tahun.

Simptom/Gejala Penyakit

Simptom atau gejala jangkitan penyakit ini adalah ringan (mild) iaitu demam, ruam melepuh (blister) pada tangan, kaki dan ulser pada mulut atau lidah. Di samping itu, kanak-kanak juga boleh mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan, m

Muntah, cirit birit dan kurang selera makan. Hampir keseluruhan pesakit yang menghidap Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut pulih tanpa rawatan perubatan dalam masa tujuh (7) ke sepuluh (10) hari. Walau bagaimanapun, jangkitan yang disebabkan oleh Enterovirus 71 (EV 71) boleh menyebabkan komplikasi teruk seperti encephalitis, pulmonary edema dan myocarditis namun, ianya jarang berlaku. Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut di kalangan manusia tidak berjangkit melalui haiwan dan penyakit ini berbeza dengan Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut yang berlaku pada haiwan peliharaan.

Rajah 1: Gejala Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut

 

Faktor Risiko Jangkitan di Taska

Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut adalah endemik di Malaysia dan berlaku sepanjang tahun. Kanak-kanak sangat rentan atau mudah mendapat jangkitan kerana mereka belum pernah terdedah kepada banyak jenis kuman. Maka, ketahanan tubuh mereka melalui antibodi belum terbentuk lagi. Amalan kebersihan diri yang kurang baik serta tidak mengamalkan tabiat mencuci tangan menyebabkan seseorang kanak-kanak mudah dijangkiti penyakit HFMD. Guru atau pengasuh juga perlu memastikan lampin bayi dibuang dengan betul dan amalan mencuci tangan dibuat untuk mengelakkan berlakunya perebakan penyakit HFMD.

Aktiviti-aktiviti yang dilakukan oleh kanak-kanak menyebabkan mereka lebih terdedah kepada jangkitan memandangkan kanak-kanak mempunyai pergaulan rapat di  antara mereka semasa di taska, tadika atau pusat jagaan. Hal ini menyebabkan berlakunya perebakan penyakit HFMD. Sebagai contoh, aktiviti-aktiviti yang menyebabkan kanak-kanak bergaul rapat seperti aktiviti renang, sukaneka atau kerja berkumpulan menyebabkan berlakunya jangkitan penyakit HFMD di kalangan kanak-kanak di taska. Selain itu juga, peralatan atau barang permainan yang tidak dijalankan disinfeksi secara berkala berisiko untuk menyebabkan berlakunya perebakan jangkitan HFMD.

Kanak-kanak di taska, tadika atau pusat jagaan juga berisiko untuk mendapat jangkitan HFMD sekiranya berkongsi tuala, sudu, garfu dan juga peralatan kegunaan yang lain. Perkongsian barang peribadi ini boleh menyebabkan kanak-kanak yang sakit menjangkitkan virus ini kepada kanak-kanak yang sihat melalui cecair lepuh atau air liur.

Pencegahan Wabak HFMD di Taska

Walaupun kadar penularan penyakit HFMD adalah tinggi terutamanya di taska, tadika dan pusat jagaan, namun penyakit ini dapat dicegah sekiranya semua pihak sama ada ibu bapa, pihak taska dan juga media memainkan peranan masing-masing.

Bagi mengelakkan kanak-kanak yang dijangkiti menyebarkan penyakit ini kepada kanak-kanak lain yang sihat, ibu bapa atau penjaga kepada kanak-kanak yang mempunyai tanda-tanda jangkitan dinasihatkan supaya mengamalkan langkah-langkah pencegahan seperti berikut:

  1. Tidak membawa anak ke tempat-tempat awam/ sekolah / taska / tadika / pusat asuhan kerana boleh merebakkan jangkitan.
  2. Membawa anak yang mempunyai tanda jangkitan berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan.

Pihak pengusaha taska, tadika dan juga pusat jagaan kanak-kanak disarankan supaya menjalankan saringan di pintu-pintu masuk (gate-keeping) bagi memastikan kanak-kanak tiada tanda-tanda jangkitan HFMD sebelum mereka dibenarkan memasuki premis. Saringan di pintu masuk taska atau tadika perlu dijalankan setiap hari sebelum sesi persekolahan bermula. Aktiviti saringan ini juga perlu direkodkan bagi memudahkan rujukan pada masa akan datang. Sekiranya terdapat kanak-kanak yang mempunyai tanda-tanda jangkitan HFMD semasa saringan dijalankan, pihak taska atau tadika perlu mengasingkan kanak-kanak tersebut di bilik isolasi sehinggalah ibu bapa atau penjaga datang untuk membawa kanak-kanak mendapatkan rawatan. Sehubungan dengan itu, bilik isolasi perlulah disediakan di taska atau tadika bertujuan untuk mengasingkan kanak-kanak yang bersimptom dari kanak-kanak yang sihat.

Selain itu, pihak penguasaha taska dan tadika ditekankan untuk:

  1. Mengamalkan kebersihan dengan mencuci tangan dengan sabun dan air bersih selepas ke tandas, selepas menukar lampin, dan selepas menyentuh atau merawat lepoh dan semasa mencuci najis kanak-kanak.
  2. Menjalankan disinfeksi (basmi kuman menggunakan larutan berasaskan klorin) permainan kanak-kanak serta lantai premis terutama tandas secara berkala.
  3. Memastikan pembuangan lampin pakai-buang dibuat dengan betul.
  4. Menggunakan peralatan makan dan minum yang berasingan dan tidak berkongsi barangan peribadi seperti tuala di antara kanak-kanak.
  5. Menyediakan hand sanitizer di premis taska atau tadika
  6. Melatih dan memaklumkan kanak-kanak di taska atau tadika sentiasa mengamalkan 7 langkah mencuci tangan yang betul.

Bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran penguasaha dan guru di taska dalam mengenali dan mencegah penyakit berjangkit seperti HFMD, pihak taska atau tadika diwajibkan untuk menghadiri taklimat pengendali taska dan tadika yang dianjurkan oleh pejabat kesihatan daerah. Sejajar dengan itu, diharap pihak taska dapat membuat pengesanan awal kejadian penyakit berjangkit seperti HFMD seterusnya melaporkan ke pejabat kesihatan yang berdekatan serta disarankan mengambil inisiatif menutup sementara premis bagi memastikan transmisi jangkitan terputus dan aktiviti pembasmian dapat dijalankan dengan segera.

Peranan media dilihat penting dalam membantu menyebarkan maklumat dan menanamkan kefahaman berkaitan pencegahan penyakit HFMD. Penyebaran maklumat melalui media, baik media elektronik atau media cetak dapat membantu memberi pendidikan kesihatan kepada ibu bapa dan masyarakat dalam menangani penyakit ini. Pihak taska atau tadika juga perlu bijak mengambil peluang dalam menyebarkan maklumat-maklumat pendidikan kesihatan melalui media elektronik seperti aplikasi ‘whatsapp’ bagi meningkatkan kesedaran ibu bapa dalam membendung penularan jangkitan HFMD.

Rujukan

  1. Centers for Disease Control and Prevention (CDC). (2012). Notes from field: severe hand, foot, and mouth disease associated with coxsackievirus A6—Alabama, Connecticut, California, and Nevada. Diambil dari: https://www.cdc.gov/mmwr/preview/mmwrhtml/mm6112a5.htm
  2. Garispanduan Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD), Kementerian Kesihatan Malaysia; 2007
  3. Pelan Tindakan Beersepadu bagi mencegah dan mengawal kejadian penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD), Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Kebersihan dan Kesihatan Nasional Bil 1/2006; 2006
Semakan Akhir : 17 April 2017
Penulis : Siti Rolizawati binti Mamat
Akreditor : Mohamad Ridzuan bin  Mohamad Salleh