Tantrum

Apakah yang dimaksudkan dengan tantrum ?

Tantrum bermaksud luahan ketidakpuasan hati kanak-kanak atau tekanan yang dihadapi sehingga tidak tertanggung lagi. Ia merupakan luahan kemarahan kanak-kanak dan ada kalanya bercampur dengan rasa takut. Ianya lebih kerap berlaku di kalangan kanak-kanak yang berumur 2-4 tahun. Sesetengah kanak-kanak akan kerap mendapat tantrum dan setengahnya pula terjadi sesekali sahaja bergantung pada keadaan individu tersebut.

Apakah tanda dan gejala tantrum ?

Kanak-kanak yang mengalami tantrum, menunjukan tingkahlaku seperti berikut:

  • Menangis
  • Menjerit
  • Menendang
  • Menghentak
  • Menahan nafas
  • Melontar benda atau barang

Apakah yang menyebabkan tantrum berlaku ?

Tantrum biasanya berlaku apabila kanak-kanak itu:

  • Berasa letih, lapar atau tidak selesa
  • Tidak mendapat apa yang dikehendaki
  • Untuk mendapatkan perhatian

Bagaimana tantrum dapat ditangani ?

Tip berikut mungkin dapat membantu:

  • Elakkan berada dalam keadaan yang menjurus ke arah tantrum tersebut jika boleh. Contoh : jauhkan daripada objek yang kanak-kanak dapat capai. Cuba alih perhatian kanak-kanak itu jika perlu.
  • Perlu diingat, terutama bagi kanak-kanak, layanan negatif yang diterimanya (contoh membiarkan diri dimarahi oleh ibu bapa) adalah lebih baik daripada tidak mendapat layanan.
  • Memberi penghargaan adalah lebih elok daripada melayan kanak-kanak ketika mereka sedang tantrum.
  • Tenangkan diri. Tantrum kanak-kanak akan bertambah teruk jika kita sendiri berada dalam keadaan tidak tenang.
  • Perlu tegas dan konsisten.
  • Cari penyebab berlakunya baran tersebut dan cuba selesaikan secara beransur – ansur.
  • Jika kanak-kanak itu mendapat tantrum disebabkan dia ingin memiliki sesuatu yang dia tidak dapat, biarkan dan jangan layan kehendaknya tetapi perlu diawasi supaya dia berada dalam keadaan selamat.
  • Masa rehat (Time out )

Jika tantrum menjadi lebih buruk, time out (masa rehat) boleh dilakukan pada  kanak – kanak yang berumur lebih daripada 3 tahun.  Alihkan kanak-kanak itu dari situasi tersebut dan letakkan dia di satu sudut yang membosankan contohnya di atas kerusi dalam satu jangka masa tertentu: biasanya 1 minit untuk setiap tahun umurnya. Lakukan sebegitu sehingga dia dapat menenangkan diri. Beritahu dia kenapa dia perlu berbuat demikian. Bila kanak-kanak itu sudah selesai di beri masa rehat, jangan marah dia lagi, beri pujian kepadanya kerana beliau dapat menenangkan diri dan dapat mengawal dirinya sendiri.

Semakan Akhir : 28 Ogos 2020
Penulis : Dr. Eni Rahaiza binti Muhd Ramli
Penyemak : Dr. Nor ‘Izam Bt. Md Alias
  : Dr. Nurulwafa binti Hussain