Home > Umum > Forensik > Tahap Bio-Keselamatan Fasiliti Bilik Bedahsiasat

Tahap Bio-Keselamatan Fasiliti Bilik Bedahsiasat

 

Tahap Bio-Keselamatan Fasiliti Bilik bedah siasat Di Hospital Kementerian Kesihatan Malaysia 

Jabatan Perubatan Forensik berfungsi serta menyediakan bilik mayat dan perkhidmatan patologi di bawah hospital Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Malaysia. Jabatan ini dilengkapi dengan kemudahan bilik mayat dan bilik bedah siasat. Bilik bedah siasat di kebanyakan hospital KKM adalah jenis bilik bedah siasat biasa yang boleh memuatkan 1-3 meja bedah siasat. Bilik bedah siasat adalah sebuah bilik atau ruang yang digunakan untuk menjalankan autopsi pada mayat jikalau bantuan diperlukan untuk membantu siasatan polis di bawah arahan Polis 61. Di bawah peruntukan Undang-undang di Malaysia, perkara ini jelas dinyatakan dalam Kanun Acara Jenayah Akta 593, Seksyen 329 – 331 dan polis sebagai pegawai siasatan mempunyai kuasa untuk mengarahkan pegawai perubatan kerajaan terdekat untuk menjalankan pemeriksaan bedah siasat yang dikenali sebagai “Medicolegal Postmortem”. Walau bagaimanapun, sekiranya kes-kes yang tidak mempunyai arahan Polis 61, autopsi masih boleh dilakukan dengan mendapatkan kebenaran waris untuk tujuan klinikal dan diagnostic yang dikenali sebagai “Clinical Postmortem”. bedah siasat dijalankan untuk menentukan punca kematian serta cara kematian, iaitu dalam kategori kematian semula jadi, kemalangan, bunuh diri atau pembunuhan.

Bilik bedah siasat biasanya dilengkapi dengan skala dan meja bedah siasat serta peralatan bedah siasat lain seperti pisau, bilah bedah siasat dan lain-lain. Sistem pengudaraan yang sesuai perlu disediakan untuk mengelakkan bau yang tidak menyenangkan semasa bedah siasat dijalankan. Di Malaysia, kebanyakan hospital mempunyai kemudahan bilik mayat dengan peralatan bedah siasat. Walau bagaimanapun, kemudahan yang terdapat di setiap Jabatan Perubatan Forensik mungkin berbeza supaya mengikut reka-bentuk pembinaan hospital yang berkenaan. Semua hospital negeri di bawah Kementerian Kesihatan Hospital di Malaysia dilengkapi dengan kemudahan bilik mayat yang sesuai. Di Semenanjung Malaysia, Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan dibina dan dilengkapi dengan kemudahan bedahsiasat fasiliti Bio-Keselamatan Tahap 2 (tambahan), sementara Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah dan Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, Sabah dilengkapi dengan kemudahan bedahsiasat fasiliti Bio-Keselamatan Tahap 3 (BSL-3).

Bagi kes-kes kematian biasa, risiko biasanya tidak tinggi dan bedah siasat akan dijalankan dalam suite autopsi biasa. Walau bagaimanapun, jika terdapat kes-kes kematian berisiko tinggi seperti H1N1, Ebola dan penyakit-penyakit berbahaya lain yang boleh menyebabkan kemudaratan kepada orang awam atau kakitangan rumah mayat, bedah siasat akan dijalankan di dalam bilik bedah siasat BSL-2 dan ke atas. Bilik bedah siasat tahap BSL-2 dan ke atas adalah selamat untuk menjalankan pemeriksaan bedah siasat berisiko tinggi sebab bilik-bilik ini dilengkapi dengan pengudaraan dan perlindungan yang baik kepada kakitangan di dalam mortuari. Di dalam bilik bedah siasat seperti ini, ia dilengkapi dengan pengudaraan yang menggunakan pintu pemancaan gas-ketat, tekanan negatif melalui zon yang berbeza dan kadar ventilasi udara yang tinggi. Ini bermakna bahawa udara akan datang dari satu arah tetapi dikeluarkan ke arah yang lain. Rajah 1 menunjukkan satu contoh bilik bedah siasat Tahap BSL-3.


Rajah 1: Bilik Bedah Siasat Biosafety Tahap 3 Autopsy Suite
(Sumber: New Maryland Medical Examiner’s Facility)

Jangkitan yang berkaitan dengan autopsi mungkin berlaku selepas kecederaan pada kulit secara langsung (percutaneous), terkena titisan bahan, ataupun dicemari oleh pendedahan aerosol. Kakitangan yang terlibat dalam bedah siasat berisiko tinggi mempunyai kebarangkalian yang tinggi untuk mendapati kecederaan pada kulit secara langsung melalui penggunaan peralatan bedah siasat. Pada masa yang lalu, kakitangan bedah siasat telah meninggal dunia daripada jangkitan bedah siasat berkaitan dengan bedah siasat seperti Marburg, Ebola, Demam Lassa Berdarah Virus (Nolte et al, 2001). Oleh itu, di dalam bilik bedah siasat tahap BSL-2 dan ke atas, terdapat laluan ruangan (pass-through chamber) dekontaminasi untuk menghantar atau mengambil barang-barang dari dalam dan luar bilik bedah siasat tersebut. (Rujuk Rajah 3). Penggunaan ruang dekontaminsai ini adalah untuk mengelakkan jangkitan terhadap kakitangan yang berada di luar bilik bedah siasat.


Rajah 2 : Kemudahan-kemudahan di dalam sebuah bilik bedah siasat  BSL-3
(Sumber : LEED Gold BSL-3 Forensic Pathology Autopsy Lab)

Penyimpanan mayat bagi kes-kes berisiko tinggi dilakukan dengan menggunakan peti sejuk khas yang diperuntukkan. Terdapat dua pintu akan dibuka dari bahagian dalam dan luar bilik bedah siasat BSL. Ini adalah untuk memudahkan pemindahan mayat dari peti sejuk ke bilik bedah siasat tanpa perlu melalui ruang yang biasa digunakan oleh kakitangan lain di bilik mayat itu.


Rajah 3 : Pandangan ‘3D’ Autopsy Suite serta ruangan (Paul Chui et al., 2007)

Sistem dekontaminasi komprehensif dalam bilik bertahap BSL yang merangkumi penapis udara-HEPA dua lapisan dan pembersihan UV bagi udara ekzos sebelum meninggalkan bilik dan pelepasan seterusnya ke alam sekitar. HEPA menapis bekalan udara ke dalam bilik bedah siasat dengan penapis karbon di ruang ekzos. Semua peralatan dan perkakas yang digunakan akan dinyahkontaminasikan selepas prosedur. Sisa cecair dan sisa pepejal akan dinyahkontaminasikan dan dirawat secara kimia sebelum proses seterusnya. Badan mayat dicuci dan dinyahkontaminasi sebelum dimasukkan ke dalam beg mayat (pertama) yang dimaterai. Beg mayat ini kemudiannya akan dinyahkontaminasi di luar dan dimasukkan ke dalam beg mayat (kedua). Semua bahan-bahan berjangkit seperti sampel akan diletakkan di dalam bekas yang dimaterai dan dinyahcemar sebelum melalui laluan ruang (pass-through chamber) yang akan dihantar ke makmal.

Peralatan di dalam bilik bedah siasat tahap BSL tidak akan dikongsi dengan peralatan yang digunakan dalam perjalanan autopsi biasa. Ini adalah untuk mengelakkan pencemaran silang-peralatan. Walau bagaimanapun, semua peralatan akan dicuci dengan detergen tertentu untuk membunuh kuman dan bakteria setiap kali selesai proses bedah siasat,

Tahap keselamatan biologi telah membuktikan dengan jelas untuk makmal-makmal bioperubatan dan mikrobiologi (U.S. Department of Health and Human Services, 1999). Tahap yang sama dan prinsip-prinsip yang diperkenalkan untuk kemudahan bedah siasat kini. Garis panduan keselamatan untuk kakitangan bedah siasat menunjukkan bahawa mana-mana bedah siasat berpotensi boleh menyebabkan pendedahan kepada bahaya biologi diklasifikasikan sebagai RG 2, 3, atau 4. Nolte et al. (2001) menyimpulkan bahawa prinsip-prinsip keselamatan biologi yang telah dibangunkan untuk makmal-makmal klinikal, makmal penyelidikan bioperubatan dan kemudahan bagi haiwan boleh secara meluas digunakan untuk kemudahan bedah siasat. Tahap Bio-keselamatan adalah seperti berikut (Paul Chui et al., 2007).

  • BSL-2 memberikan perlindungan peribadi terhadap majoriti patogen bloodborne. Amalan BSL-2 yang berkaitan menjadi sebahagian daripada prosedur piawai kebersihan dan langkah berjaga-jaga digunakan untuk operasi perubatan biasa dalam kemudahan penjagaan kesihatan.
  • BSL-3 melibatkan prosedur pemberian perlindungan kepada kakitangan yang terlibat dalam penjagaan kesihatan dalam persekitaran yang berrisiko kepada jangkitan penyakit yang disebarkan oleh aerosol seperti batuk kering Mycobacterium, penyakit anjing gila dan Yersinia pestis. Prinsip BSL-3 sesuai untuk kawasan dengan ejen eksotik yang boleh menyebabkan penyakit yang serius atau membawa maut akibat daripada pendedahan aerosol.
  • BSL-4 melibatkan kriteria kontainmen atau pengurungan apabila pengendali mungkin terdedah kepada agen berbahaya dan eksotik, yang menimbulkan risiko yang tinggi terhadap pendedahan aerosol yang mengancam nyawa di mana tidak ada rawatan profilaktik atau rawatan selepas pendedahan.

Keselamatan kakitangan yang terlibat diberi penekanan dengan memastikan laluan pintu masuk ke dalam bilik bedah siasat adalah berbeza untuk keluar supaya tidak ada pencemaran akan berlaku sebelum dan selepas bedah siasat dijalankan. Setelah memasuki ruang untuk prosedur bedah siasat, kakitangan yang terlibat perlulah memakai peralatan perlindungan keselamatan yang mencukupi. Hanya kakitangan dengan pakaian bersih dibenarkan untuk keluar ke kawasan bersih (clean area) manakala pakaian kotor akan ditinggalkan di dalam bilik bedah siasat untuk tujuan pembersihan.

Bioterorisme merupakan ancaman baru, di mana wabak penyakit berjangkit sebelum ini tidak diketahui seperti Severe Acute Respiratory Syndrome (SARS) dan kemunculan semula penyakit seperti selesema burung adalah sangat nyata dan telah menyebabkan kebimbangan yang serius bagi semua lapisan masyarakat. Keadaan ini lebih membimbangkan pihak forensik kerana risiko yang tinggi semasa pengurusan mayat yang dijangkiti patogen sangat berjangkit. Kos untuk membina kemudahan fasiliti dengan Tahap Bio-keselamatan adalah terlalu tinggi. Kemudahan ini juga sangat mahal untuk dikendalikan dan diselenggarakan atas isu bajet dan pengurusan kewangan yang turut merupakan cabaran semasa yang dihadapi oleh Kementerian Kesihatan di Malaysia. Alternatif lain dicadangkan oleh Paul Chui et al. (2007) dipertimbangkan untuk rancangan masa hadapan, di mana kontainer inovatif bedah siasat mudah alih tahap BSL-3 atau -4 boleh dibina dan dihantar ke lokasi yang jauh untuk pengendalian kes-kes yang sangat berjangkit semasa wabak epidemik.

Rujukan

  1. Nolte K. B. The Potential Role of Medical Examiners and Coroners in Responding to and Planning for Bioterrorism and Emerging Infectious Diseases. Homeland Security and Emergency Preparedness. Medicolegal death Investigation Systems : Workshop summary. Pg 52. 2003.
  2. Nolte K. B., Taylor D. G. and Richmond J. Y. Autopsy Biosafety IV : Issues in Public Health. American Biological safety Association. Pg. 1. 2001.
  3. Paul Chui, Peter Chong, Bobby Chong and Stefan Wagener. Mobile Biosafety Level-4 Autopsy Facility – An Innovative Solution. Applied Biosafety. Vol. 12. Pg. 238 – 244. 2007.
  4. U. S Department of Health and Human Services, Centers for Disease Control and Prevention & National Institutes of Health. Biosafety in Microbiological and Biomedical Laboratories. 4th Edition. Pg. 47 – 53. Washington DC, US Government Printing Office.
Semakan Akhir : 23 Ogos 2019
Penulis : Mohd Hilmi bin Saidin
Akreditor / Penyemak : Dr. Khoo Lay See