Home > Umum > Kecemasan > Sunburn (Selaran Matahari)

Sunburn (Selaran Matahari)

Pengenalan

Sunburn atau selaran matahari biasanya terjadi kepada mereka yang terdedah kepada sinaran matahari (radiasi ultraviolet) dalam tempoh yang panjang ketika melakukan aktiviti luar seperti bersukan, berkayak dan aktiviti-aktiviti lain tanpa penggunaan pelindung kulit.

Tanda/Gejala

Kesan sederhana :

  • Kulit menjadi merah dan sedikit bengkak
  • Gatal
  • Kulit panas dan kering
  • Mungkin mengalami sedikit kesakitan pada otot
  • Kulit menggelupas selepas beberapa hari

Kesan teruk :

  • Kulit sangat merah, bengkak dan menggelupas
  • Kulit menjadi sensitif dan terasa sakit bila disentuh
  • Demam
  • Loya dan sakit kepala
  • Rasa sejuk dan lemah badan

Komplikasi

Pendedahan kepada cahaya matahari  yang lama akan menyebabkan sunburndi mana ia akan meningkatkan risiko kerosakan kulit dan penyakit tertentu. Ini termasuk jangkitan, penuaan kulit yang pramatang (photoaging), kanser kulit dan kerosakan mata.

Rawatan

Di tempat kejadian :

  • Mandi atau berendam dalam air sejuk
  • Selimutkan bahagian yang terlibat dengan kain yang lembap.
  • Sapukan losyen pelembap pada kawasan yang terlibat
  • Sekiranya kulit melepuh jangan pecahkan
  • Sekiranya perlu bolehlah mengambil penahan sakit seperti panadol.
  • Jangan gunakan ‘butter’, putih telur,’Petroleum jelly (Vaseline)’ atau produk-produk yang berasaskan minyak  ke atas kulit yang mengalami sunburn.
  • Pastikan minum banyak air.

Di hospital :

Rawatan khusus akan diberikan oleh doktor sekiranya kulit mangsa melepuh, gatal atau mangsa mengadu demam.

Pencegahan

  • Elakkan daripada terdedah kepada sinaran matahari terlalu lama terutama semasa matahari terik.
  • Gunakan pelindung yang sesuai untuk mengelak daripada terkena sinaran matahari yang terik.
  • Guna pakaian yang sesuai dan kaca mata hitam untuk mengelak daripada terkena kesan cahaya ultra violet.
  • Gunakan krim pelindung sinaran matahari sebelum membuat sebarang aktiviti di bawah sinaran matahari yang terik.
Semakan Akhir : 23 Ogos 2019
Penulis : Yusof b. Ismail
Akreditor : Zulhelmi bin Abdullah
Penyemak : Dr. Mohamad Hamim b. Mohamad Hanifah