A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Umum
  4. /
  5. Kerja Sosial Perubatan
  6. /
  7. Sumbang Mahram – Keprihatinan...

Sumbang Mahram – Keprihatinan Masyarakat Terhadap Isu Kekeluargaan

Isu sumbang mahram adalah kompleks dan ia adalah kejadian yang sering kali dilaporkan dalam masyarakat. Bagaimanapun, walau dengan peruntukan undang-undang sedia ada, isu sumbang mahram masih menjadi isu yang mendapat tempat di media-media serata dunia dan salah satu bentuk jenayah yang kurang dilaporkan secara rasmi kepada pihak berkuasa. Ini disebabkan dinamiknya; mangsa merupakan anak-anak kecil yang mudah diugut atau dimanipulasi untuk bersetuju atas perbuatan yang dilakukan, merahsiakan perbuatan yang berlaku, ibu bapa mungkin tidak dilatih untuk mengenali tanda – tanda penderaan seksual kanak-kanak, ibu bapa yang tidak tahu untuk melaporkan kejadian yang berlaku serta kekurangan sistem sokongan yang disediakan atau pelbagai faktor–faktor lain.

Pengenalan

Isu sumbang mahram adalah kompleks dan ia adalah kejadian yang sering kali dilaporkan dalam masyarakat. Bagaimanapun, walau dengan peruntukan undang-undang sedia ada, isu sumbang mahram masih menjadi isu yang mendapat tempat di media-media serata dunia dan salah satu bentuk jenayah yang kurang dilaporkan secara rasmi kepada pihak berkuasa. Ini disebabkan dinamiknya; mangsa merupakan anak-anak kecil yang mudah diugut atau dimanipulasi untuk bersetuju atas perbuatan yang dilakukan, merahsiakan perbuatan yang berlaku, ibu bapa mungkin tidak dilatih untuk mengenali tanda – tanda penderaan seksual kanak-kanak, ibu bapa yang tidak tahu untuk melaporkan kejadian yang berlaku serta kekurangan sistem sokongan yang disediakan atau pelbagai faktor–faktor lain.

Apakah Sumbang Mahram?

Sumbang mahram adalah eksploitasi yang dilakukan ke atas mangsa untuk kepuasan seksual oleh seorang dewasa atau mana-mana orang yang lebih berusia. Ia dikenali sebagai sumbang mahram jika perlakuan berkenaan melibatkan ahli keluarga termasuk ibu bapa, datuk dan nenek, ibu saudara, bapa saudara, sepupu, keluarga angkat dan hubungan tiri, anak-anak yang sah atau tidak sah atau mana-mana ahli keluarga yang mempunyai pertalian darah (Briere,J . 1992,Freyd 2006, Rosanida 2012).

Siapa Yang Melakukan?

Pendera yang melakukan jenayah seksual ini mempunyai pertalian atau hubungan darah dengan mangsa. Perhubungan ini meliputi kebergantungan daripada segi peranan dan tanggungjawab antara pendera dan mangsa. Pendera berperanan sebagai bapa kandung, bapa tiri, abang kandung, abang tiri, bapa saudara, datuk, adik – beradik atau sesiapa sahaja yang mempunyai pertalian kekeluargaan dengan mangsa (Memoli 2007). Pertalian kekeluargaan yang sedia terjalin memudahkan pendera untuk menyalahgunakan kuasanya sebagai pihak yang lebih dominan ke atas mangsa yang berada dalam kawalan serta tanggungjawabnya. Daripada sudut perubatan, hubungan sumbang mahram berpotensi untuk menghasilkan keturunan yang secara biologinya lemah daripada segi mental dan fizikal serta boleh membahayakan nyawa.

Tanda-Tanda Dan Simptom

Mangsa sumbang mahram akan menunjukkan tanda dan simptom berikut :

1. Fizikal

  • Kegatalan/kemerahan di bahagian kemaluan
  • Sakit/kecederaan di bahagian kemaluan/dubur
  • Sakit ketika membuang air kecil
  • Keluar lelehan di bahagian faraj/zakar
  • Sakit di bahagian abdomen
  • Penyakit kelamin
  • Kehamilan luar nikah

2. Tingkah Laku

  • Tingkah laku yang terlalu bergantung kepada seseorang
  • Sering mengasingkan diri/hisap jari
  • Kencing/buang air tanpa kawalan pada usia yang tidak munasabah
  • Ponteng sekolah
  • Prestasi sekolah yang lemah
  • Lari dari rumah
  • Ketagihan dadah dan alkohol
  • Cubaan membunuh diri
  • Perbuatan masturbasi secara berlebihan
  • Tingkah laku menggoda
  • Pengetahuan serta perlakuan seksual yang tidak sepadan dengan usia

3. Psikologi

Kesan psikologi merangkumi aduan somatik seperti:

  • Sakit kepala/pening
  • Sakit perut
  • Sakit dada
  • Keletihan
  • Insomnia
  • Kerap pengsan
  • Kerap menangis/kesedihan melampau
  • Histeria
  • Ketakutan melampau tanpa sebab munasabah
  • Hilang selera makan
  • Kurang konsentrasi
  • Tahap keyakinan diri yang rendah

Bagaimana Sumbang Mahram Terjadi?

1. Secara Fizikal

  • Meraba kemaluan mangsa
  • Mangsa dipaksa meraba kemaluan pendera
  • Penembusan faraj, dubur atau mulut mangsa dengan objek, jari atau zakar pendera

2. Bukan Fizikal

  • Stimulasi lisan
  • Panggilan telefon lucah
  • Eksploitasi lisan/bukan lisan

Implikasi

Kanak-kanak, remaja dan dewasa yang menjadi mangsa sumbang mahram akan mengalami pelbagai masalah psikologi dan tingkah laku pada tahap ringan hingga teruk sama ada untuk jangka masa pendek atau panjang.

1. Perkembangan Intelektual Dan Kognitif

  • Penurunan keupayaan tahap intelektual dan fungsi kognitif
  • Mengalami masalah prestasi di sekolah, tempat kerja serta pencapaian akademik yang menurun.

2. Kesan Emosi Dan Psikologi

  • Kurang keyakinan diri
  • Kemurungan dan kebimbangan
  • Kecelaruan tekanan pasca trauma
  • Kecelaruan pemakanan
  • Masalah hubungan dengan rakan sebaya
  • Keinginan membunuh diri
  • Insomnia

3. Masalah Tingkah Laku

  • Ketagihan dadah
  • Ketagihan arak
  • Ponteng sekolah
  • Tidak menyertai aktiviti sosial di sekolah/tempat kerja

4. Sleeper Effects

  • Mangsa kemungkinan tidak menunjukkan kesan dalam jangka masa pendek tetapi akan memberi kesan untuk jangka masa panjang

Bagaimana Mangsa Dapat Dibantu?

  • Bantu mangsa tenangkan fikiran dan yakin pada diri
  • Laporkan segera kejadian di mana-mana balai polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat atau melalui Talian Nur
  • Dapatkan rawatan perubatan dengan segera di hospital berhampiran
  • Bantu mangsa menjalani kehidupan normal semula
  • Membenarkan luahan perasaan oleh mangsa
  • Jangan memaksa mangsa untuk memberikan maklumat
  • Terus memberi sokongan dan keyakinan sehingga mangsa berasa selamat

Dimana Untuk Mendapatkan Pertolongan?

Talian Nur : 15999 (24 jam sehari)

Childline Malaysia : 03-55692755 michelle@mctf.org.my

PS The Children : 03-79574344/79564355 (nooreen@psthevictimren.org.my)

Women Crisis Centre, Penang: 04-2280342 (wcc@wccpenang.org)

Yayasan Nur Salam :  www.chowkids.org

AWAM : 03-78770224 (awam@awam.org)

WAO Helpline : 03 7956 3488 wao@po.jaring.my

*Mana-mana Balai Polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat berhampiran  

Rujukan

1. Briere,J. (1992). Child abuse trauma: Theory and treatment of the lasting effects. Newbury Park CA: Sage Publication 2. Finkelhor, D. 1984a.Child sexual abuse. New York: The Free Press 3. Finkelhor,D. &Brown,A. 1990. Early and long term effects of child sexual abuse. A review of the research. Professional Psychology21(5):325-330 4. Memoli, M. 2007. Comparing victims of child sexual abuse by intimate perpetrators to victims by non-intimate perpetrators for levels of trauma responses.  United States:Capella University. 5. Rosanida,A. (2012). Simptom trauma, pengluahandansokongansosialmangsapenderaanseksualkanak-kanak.Bangi:Universiti Kebangsaan Malaysia. 6. http://www.apa.org 7. http://www.wccpenang.org

Semakan Akhir : 5 Jun 2014
Penulis : Dr. Rosanida bt. Anang
Akreditor : Doren Edward @ Doreen Kissey

Artikel Berkaitan

Bahana Arak

Arak membawa bahaya serius yang boleh membunuh. Artikel ini akan mengkaji bahaya arak yang membunuh dengan menumpukan pada risiko dan kesan negatif penggunaan arak dalam masyarakat.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 219,229,546

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-19 14:25:57
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia