Home > Kesihatan Mental > Stres di kalangan Penjaga Warga Emas

Stres di kalangan Penjaga Warga Emas

Penuaan penduduk merupakan fenomena pada abad ke-21 merupakan satu realiti yang tidak dapat dinafikan. Penuaan penduduk berlaku apabila peratusan warga emas yang berusia 60 tahun ke atas mencecah 15% daripada keseluruhan jumlah penduduk.

Berdasarkan unjuran PBB (2009), Malaysia akan mencapai status negara tua pada tahun 2030 apabila penduduk berusia lebih daripada 60 tahun mencecah seramai 15%.

Peningkatan bilangan warga emas di Malaysia akan mencapai jumlah 2.2 juta orang (9.5%) menjelang tahun 2020. Statistik juga menunjukkan bahawa kadar kelahiran semakin menurun dalam abad kebelakangan ini.

Fenomena ini menjadi petunjuk kepada lebih ramai warga emas terpaksa bergantung kepada orang lain untuk menjalani rutin seharian mereka. Keadaan ini amat memberi kesan kepada penjaga yang mungkin terdiri daripada anak, ahli keluarga mahupun penjaga warga emas profesional. Kesan  gangguan tekanan emosi (stress) dipercayai amat mudah menular terhadap mereka yang menggalas tanggungjawab untuk menjaga warga emas tersebut.

Definisi

Warga Emas

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), warga emas ditakrifkan sebagai orang yang sudah tua. Cambridge International Dictionary pula mentakrifkan warga emas ‘elderly’ sebagai golongan manusia yang mempunyai usia lanjut. Manakala United Nations World Assembly on Aging di Vienna (1982) memberikan takrifan warga emas sebagai individu yang berumur 60 tahun dan ke atas.

Dr. John Smith (1987), telah membahagikan populasi warga emas kepada tiga tahap seperti berikut:

  1. Tahap Tua Muda ‘young old’.

    • Usia warga emas pada tahap ini bermula antara 55 tahun hingga 65 tahun. Golongan pada peringkat ini masih boleh bekerja dan selalunya berada pada status yang tinggi di kalangan masyarakat. Perihal ini disebabkan oleh kemahiran dan pengalaman dalam kerjaya yang mereka miliki.

  1. Tahap Tua Pertengahan ‘middle old’.

    • Mereka yang tergolong dalam tahap ini berusia antara 65 tahun hingga 75 tahun. Kebanyakan di kalangan mereka telah bersara. Namun mereka masih mampu menjalani kehidupan seperti biasa dan sihat.

  1. Tahap Tua ‘old’

    • Tahap ketiga ini merangkumi warga emas yang berusia 75 tahun dan ke atas. Kebanyakan di kalangan mereka sudah lemah, mengalami masalah kesihatan, kesunyian dan miskin.

Penjaga ‘caregiver

‘Caregiver’ bermaksud pengasuh atau penjaga. Dalam erti kata lain, individu atau kumpulan yang menguruskan jagaan kepada pesakit yang bergantung sepenuhnya atau bergantung separa untuk penjagaan diri pesakit berkenaan. Birren & Schaie (1990), menyatakan bahawa terdapat beberapa skop tugas yang perlu dimainkan oleh penjaga ‘caregiver’ iaitu:

  1. Sokongan emosi.

  2. Pembantu rumahtangga (mengemas rumah, penyediaan makanan, mobiliti dan kenderaan).

  3. Bantuan aktiviti harian (mandi, berpakaian, makan, minum serta ubat-ubatan).

  4. Mengurus perihal kesihatan (temujanji dengan pakar perubatan, penjagaan di wad atau penjagaan di rumah).

  5. Membantu pengurusan kewangan.

Stres

Stres ialah satu hakikat kehidupan yang tidak boleh dielakkan. Stres merupakan respons fizikal, emosi dan mental yang berlaku kepada seseorang apabila tuntutannya tidak dapat dipenuhi. Stres juga boleh diertikan sebagai faktor fizikal dan emosi yang menyebabkan tekanan ke atas minda dan tubuh badan ‘body or mental tension’ dan mungkin mengakibatkan penyakit seperti darah tinggi, penyakit jantung koronari dan kemurungan.

Memahami Perubahan Warga Emas

Perkembangan manusia merupakan suatu proses biasa yang berlaku terhadap setiap individu. Proses evolusi biologi, fisiologi dan psikologi akan berlaku pada setiap tahap kehidupan yang bermula dari tahap bayi, kanak-kanak, remaja, dewasa hinggalah ke peringkat tua. Seterusnya perkembangan tersebut akan mempengaruhi perubahan fizikal, emosi, kognitif, tingkah laku dan sosial seseorang. Perubahan ini akan menyebabkan fungsi interaksi dengan persekitaran bagi seseorang individu menjadi semakin berkurangan. Impak penuaan juga telah menyebabkan seseorang individu itu kehilangan atau tidak dapat mempertahankan keseimbangan badan. Persekitaran yang tidak sihat serta cara hidup individu atau kaum turut mempengaruhi proses penuaan. Segala perubahan ini perlu diketahui dan difahami oleh para penjaga warga emas bagi memastikan mereka benar-benar dapat menyesuaikan diri dengan peranan warga emas yang dijaga.

  1. Perubahan Fizikal

    • Merupakan perubahan yang amat ketara akan dialami oleh setiap individu yang melalui proses penuaan. Kemampuan daya pancaindera seperti deria penglihatan, pendengaran, bau, rasa dan sentuh akan merosot. Postur badan akan membongkok ke hadapan. Ada dikalangan warga emas yang terpaksa menggunakan alat bantu berjalan seperti tongkat, ‘walking frame’ atau pun kerusi roda. Apabila peningkatan usia mencecah 70 tahun, kebiasaannya seseorang individu itu akan hilang separuh daripada kekuatan otot berbanding mereka yang berusia 30 tahun.Warga emas mudah mendapat gangguan kesihatan terutama bagi mereka yang sudah menghidap penyakit-penyakit kronik seperti darah tinggi, kencing manis, sakit jantung, sakit sendi atau tulang serta penyakit-penyakit fizikal lain. Oleh itu, kebanyakan golongan warga emas memerlukan penjagaan kesihatan yang rapi. Malah pemeriksaan dan perubatan secara berkala perlu diberi perhatian oleh penjaga.

  1. Perubahan Tingkah Laku

    • Hope et al. (1997) menyatakan perubahan tingkah laku di kalangan warga emas sering dikaitkan dengan penyakit-penyakit seperti dementia dan kemurungan. Kajian yang telah dilakukan mendapati seramai 90% di kalangan pesakit Dementia menunjukkan masalah tingkah laku seperti pengulangan verbal, penggunaan verbal yang agresif serta bertingkah laku agitasi. Perubahan-perubahan tingkah laku tersebut berlaku selari dengan perkembangan penyakit. Pada peringkat awal, akan berlaku perubahan personaliti, pengurangan interaksi sosial dan pengurangan keupayaan menguruskan kehidupan harian. Faktor kemurungan juga sering kali dikaitkan dengan kemungkinan perubahan tingkah laku warga emas. Warga emas yang mengalami kemurungan akan mengalami masalah penumpuan, membuat keputusan, hilang minat dalam melakukan aktiviti yang digemari, kurang selera makan, kurang keinginan seksual, masalah tidur dan sentiasa merasa letih dan penat.

  1. Perubahan Emosi

    • Gejala kemurungan amat mempengaruhi emosi warga emas. Impak kemurungan tersebut akan membuatkan berlakunya ketidakstabilan emosi. Perasaan kesunyian, rasa tersisih, bimbang, mudah beremosi serta pengasingan diri dari masyarkat akan berkecamuk dalam fikiran warga emas. Kecelaruan emosi akan lebih kronik sekiranya warga emas itu menghidap penyakit kronik seperti mendapat serangan strok atau lumpuh. Perubahan emosi ini agak kompleks dan ada kalanya sukar untuk difahami oleh individu yang rapat dengan mereka.

  1. Perubahan Kognitif

    • Berdasarkan pengalaman dan kematangan, warga emas selalunya mempunyai daya intelektual yang lebih pandai berbanding orang dewasa. Walau bagaimanapun daripada segi memori, banyak perkara yang warga emas lupa berbanding dengan orang muda. Mereka lebih mudah mengingati perkara-perkara yang telah lama berlaku berbanding perkara semasa. Perihal ini akan menjadi lebih kronik sekiranya individu itu mempunyai masalah Dementia. Dari segi keupayaan merespon, warga emas dilihat tidak cerdas dan berupaya berbanding orang muda. Oleh itu, penjaga perlu mempunyai kesabaran ketika berkomunikasi dengan warga emas.

  1. Perubahan Mental

    • Beberapa isu berkaitan perubahan mental di kalangan warga emas dikenal pasti berpunca dari beberapa faktor. Corak personaliti dan cara berfikir individu warga emas sememangnya memberi kesan kepada mereka untuk bertindak balas terhadap persekitaran ketika menempuhi kehidupan di usia lanjut mereka. Personaliti dan pemikiran yang telah terbentuk pada sebelumnya memerlukan penyesuaian ketika di usia tua. Akan timbul masalah apabila mereka gagal menyesuaikan diri dengan kehidupan di usia tua.

    • Selain itu, terdapat individu warga emas yang berasa amat tertekan dengan kemerosotan fungsi kognitif, emosi, fizikal dan tingkah laku akibat daripada proses penuaan ini sehingga ke tahap sukar untuk menerimanya, di samping belenggu pelbagai penyakit akibat tua.

    • Semua isu ini wajar diberi perhatian yang baik bagi membantu mereka mengekalkan tahap kesihatan mental yang sempurna ketika di usia emas. Masalah sakit mental seperti nyanyuk ‘Dementia’ sering kali dialami oleh warga emas. Nyanyuk ini membuatkan mereka sering terlupa dan tidak dapat menggunakan keupayaan memori dengan baik.

    • Masalah yang lebih kronik lagi akan timbul sekiranya seseorang warga emas itu menghidap penyakit ‘Alzheimer’. ‘Alzheimer’ ini akan menyebabkan kerosakan kepada sistem saraf dalam otak.

    • Oleh itu, pesakit akan mengalami masalah memori hingga menyebabkan kegagalan melaksanakan rutin harian. Kemurungan dikalangan warga emas juga boleh membuatkan mereka mendapat penyakit neurosis seperti ‘anxiety’, fobia, panik, kecelaruan penyesuaian dan ‘Post Traumatic Stress Disorder’.

  1. Perubahan Sosial

    • Perubahan ini memberikan kesan yang amat kuat dalam diri seseorang warga emas. Ia berlaku akibat daripada penurunan kemampuan fizikal, kognitif dan psikologi. Fenomena ini akan menjejaskan hubungan sosial dengan masyarakat setempat, anak-anak dan ahli keluarga lain. Impaknya akan membuatkan mereka tidak lagi cergas, enggan bergiat dalam masyarakat kerana faktor usia, kurang keyakinan diri, berasa diri lemah dan perlu bergantung harap kepada orang lain, Sindrom sarang kosong ‘empty nest’ akan menyelubungi warga emas apabila mereka keseorangan. Warga emas akan keseorangan apabila anak-anak yang sudah keluar dari rumah kerana berkahwin mahu pun bekerja dalam jarak yang jauh, kehilangan teman hidup akibat kematian atau pencerian, lemah atau hilang kekuatan fizikal serta penyakit akibat tua. Gangguan-gangguan tersebut akan menghalang kemampuan warga emas untuk mempunyai kefungsian sosial dengan baik jika dibandingkan dengan mereka yang lebih muda.

Jadual 1: Perubahan Mengikut Peringkat Usia.
Perubahan Usia

30

40

50

60

70

80

90

Perpisahan dengan anak-anak

?

Kematian

?

Kehilangan teman hidup

?

Kerosakan fungsi deria

?

Kehilangan ketajaman pancaindera

?

Penyakit akibat tua

?

Kekurangan keupayaan fizikal

?

Sumber: Diane Carstens, 1985, Site Planning & Design for the Elderly

Kebergantungan warga emas berlaku apabila mereka yang dahulunya mampu berdikari namun kini menjadi uzur dan terpaksa bergantung kepada orang lain yang menjadi penjaga mereka. Perubahan sosial ini mewujudkan pola hubungan asimetri antara penjaga dengan warga emas tersebut. Hubungan asimetri diperingkat warga emas ini berlaku akibat daripada peralihan tanggungjawab antara penjaga dengan warga emas tersebut.

Persediaan Mental Penjaga Warga Emas

Peningkatan bilangan warga emas memerlukan keprihatinan semua pihak terutama dalam aspek penjagaan mereka. Tidak semua individu mempunyai ketahanan yang tinggi ketika menjaga warga emas meskipun ibu bapa mereka sendiri. Persoalan penting yang perlu dijawab oleh para penjaga warga emas ialah sejauh manakah mereka bersedia daripada segi mental untuk mengharungi cabaran-cabaran ketika menjaga warga emas? Kebanyakan di kalangan penjaga mengalami kemerosotan motivasi ketika menjaga warga emas malah ada juga yang mengalami kemurungan. Kecelaruan ini berlaku akibat daripada kegagalan penjaga melakukan persiapan rapi terutama daripada aspek persediaan mental untuk berdepan dengan warga emas yang kompleks.

  1. Memahami proses penuaan yang akan melibatkan perubahan fizikal, psikologi dan sosial.

  2. Meletakkan tahap warga emas ke tahap yang sepatutnya agar wujud perasaan kasih saying serta menghormati hak-hak mereka sebagai orang yang memerlukan perhatian.

  3. Penjaga juga perlu merangka strategi penjagaan yang komprehensif dengan mengambil kira keperluan jangka masa pendek dan jangka masa panjang agar urusan penjagaan berjalan dengan lancar.

  4. Sekiranya menjaga ibu bapa yang terdiri daripada warga emas, permuafakatan sesama adik beradik sangatlah perlu bagi mengelakkan bebanan ditanggung oleh individu tertentu sahaja.

  5. Bersikap positif dengan meletakkan rasa tanggungjawab terhadap warga emas.

  6. Elak daripada meletakkan sesuatu balasan atau harapan daripada warga emas tersebut.

Teknik Pengurusan Stres bagi Penjaga Warga Emas

Dalam menghadapi gejala stres, penjaga warga emas haruslah mempunyai kemahiran tentang teknik-teknik pengurusan stres. Oleh itu, pengamalan gaya hidup sihat perlu diberikan penekanan oleh penjaga agar sentiasa berada dalam situasi fizikal dan psikologikal yang terbaik.

  1. Mengurus masa secara berkualiti

    • Kebanyakan di kalangan penjaga warga emas mempunyai tanggungjawab yang pelbagai tidak hanya menumpukan kepada warga emas tersebut. Oleh itu, penjaga perlu merancang serta mematuhi segala perancangan yang telah ditetapkan. Dalam perancangan tersebut, penjaga harus dapat membahagikan masa tersebut berdasarkan kepentingan dan keutamaan yang jelas. Hal ini akan dapat mengelakkan penjaga berada dalam keadaan tertekan kerana terkejar-kejar menguruskan warga emas dengan perihal peribadi.

  1. Berkomunikasi dengan berkesan

    • Komunikasi merupakan alat perhubungan yang penting bagi setiap individu. Kegagalan berkomunikasi dengan efektif boleh menyebabkan stres yang boleh memudaratkan. Sebagai penjaga, perlulah mempunyai kemampuan untuk memahami naluri serta kehendak warga emas di bawah jagaan mereka. Penjaga seharusnya mampu berkomunikasi secara efektif serta dapat menerima maksud komunikasi daripada warga emas itu juga. Halangan komunikasi terutamanya daripada segi pertuturan dan pendengaran pasti akan mengganggu kelancaran proses komunikasi tersebut. Justeru, keperihatinan dan kesabaran penjaga amatlah diperlukan kerana ia mungkin berlainan berbanding proses komunikasi dengan individu yang sebaya dengan penjaga. Seperkara lagi, penjaga juga perlu elak daripada memadamkan rasa tekanan yang dialami mereka dengan cara bercerita dengan profesional mahupun individu terdekat yang boleh dipercayai. Apabila penjaga dapat meluahkan rasa tekanan yang dihadapinya, ia mampu menjadi terapi yang boleh menenangkan. INGAT! Lebih banyak kita memendam rasa, kecenderungan untuk berada dalam keadaan stres  adalah lebih tinggi.

  1. Teknik penyelesaian masalah dan membuat keputusan

    • Merupakan satu kemahiran yang perlu untuk mengurus stres. Sebagai penjaga warga emas, pastinya menuntut banyak perkara untuk mengatasi sesuatu permasalahan yang timbul. Oleh itu, mereka perlu mempunyai kemahiran untuk mengatasi masalah sekaligus membuat keputusan yang tepat terhadap masalah yang sedang atau akan dihadapi. Salah satu langkah yang boleh digunakan ialah IDEAL yang dapat diterangkan seperti berikut:

Melalui kaedah IDEAL ini, penjaga perlu terlebih dahulu mengenal pasti masalah (sukar mengingati tarikh temu janji bapa dengan klinik perubatan).

Setelah masalah dikenal pasti, penjaga perlu menyatakan beberapa langkah penyelesaian:

  1. Minta bapa mengingatkan tarikh temu janji,

  2. Menggunakan reminder dalam telefon bimbit sebagai peringatan awal,

  3. Menampal kertas peringatan pada peti sejuk.

Langkah selanjutnya ialah membuat penilaian bagi setiap cadangan penyelesaian tersebut:

  1. Kebarangkalian untuk bapa terlupa amat tinggi kerana faktor usia beliau,

  2. Mudah mendapat akses melalui telefon,

  3. Kertas mungkin boleh hilang apabila tertanggal dari peti sejuk.

Oleh itu, tindakan langkah kedua boleh dipilih kerana lebih praktikal berbanding dengan langkah pertama dan ketiga. Pengajaran yang dapat dikaitakan ialah lebih mudah menggunakan menu ‘planner’ yang terdapat pada telefon bimbit kerana dilengkapi dengan sistem penggera masa malah dapat diakses pada bila-bila masa dan dimana sahaja. Kes tersebut menunjukkan bahawa penjaga telah dapat membuat keputusan serta menyelesaikan masalah yang dihadapi dengan mudah dan sistematik.

  1. Teknik relaksasi:

    • Sememangnya menjadi penjaga kepada warga emas boleh mendatangkan impak stres yang tinggi kepada para penjaga. Teknik relaksasi boleh digunakan bagi menenangkan minda setelah kelesuan menguruskan perihal warga emas yang dijaga. Terdapat beberapa metod yang boleh digunakan dalam melaksanakan teknik relaksasi seperti:

      1. Menggunakan teknik pernafasan dengan cara menarik nafas dalam-dalam dan tahan seketika (8 saat) dan hembuskan nafas perlahan-lahan. Lakukan beberapa kali hingga terasa lega.

      2. Kaedah regangan otot juga berguna dan boleh dilakukan secara spontan ketika berada dalam keadaan stres. Teknik ini berguna bagi member kelancaran terhadap peredaran darah serta merehatkan minda.

      3. Halwa telinga seperti mendengar muzik atau bacaan ayat-ayat al-Quran juga mampu membuatkan seseorang itu berada dalam keadaan yang relaks. Ketika mendengar, pastikan fikiran dikosongkan dan berada dalam keadaan yang selesa.

  1. Berfikiran positif:

    • Menjaga warga emas memerlukan kesabaran yang tinggi. Salah satu teknik untuk menjadikan diri berada dalam kesabaran ialah dengan mengeluarkan kata-kata yang positif terhadap diri sendiri. Teknik ‘positive self talk’ sememangnya berkesan untuk meningkatkan daya kesabaran serta menurunkan rasa marah. Perkataan-perkataan seperti “relakslah”, “aku yakin boleh lakukannya”, “aku mahu jadi anak yang soleh” dan sebagainya mampu menenangkan stres yang sedang melanda diri. Minda yang sihat terletak pada pemikiran yang positif. Selain daripada mempertingkatkan keyakinan diri, berfikir secara positif juga menjadi faktor pencetus untuk penjaga warga emas terhindar daripada berada dalam stres yang melampau. Segala permasalahan atau konflik akan dapat diselesaikan dengan tenang.

  1. Beriadah:

    • Ramai di kalangan penjaga warga emas yang takut untuk keluar beridah bersama-sama warga emas di bawah jagaan mereka. Kegusaran tentang halangan untuk warga emas beriadah sering kali menjadi faktor penolak untuk keluar beriadah bersama. Penjaga warga emas telah melakukan satu persepsi yang silap jika menggunakan pemikiran sebegitu, malah ia akan menambah stres terhadap kedua-dua belah pihak. Warga emas juga perlu dibawa beriadah supaya mereka dapat mengurangkan perasaan kesunyian dan rasa terpinggir. Pada masa yang sama penjaga dapat merehatkan minda setelah beberapa ketika memberikan tumpuan ketika menguruskan warga emas tersebut. Riadah bersama juga akan mengeratkan lagi hubungan antara penjaga dengan warga emas. Oleh itu, rancanglah untuk membawa warga emas yang dijaga,  keluar bersiar-siar sambil menghirup udara  segar di luar rumah.

Bagaimana untuk Berdepan Dengan Warga Emas?

Persoalan ini bukan sesuatu perkara yang remeh, ramai di kalangan penjaga yang mengalami stres kerana tiada kemahiran untuk berdepan dengan warga emas yang mempunyai ragam yang pelbagai. Wacana ini juga menyelitkan secara ringkas dengan menyenaraikan beberapa kemahiran yang perlu dimiliki oleh penjaga warga emas supaya dapat memberikan perkhidmatan yang selaras dengan keperluan dan kehendak warga emas tersebut.

  1. Mempunyai pengetahuan asas penjagaan warga emas:

    • Terdapat beberapa jenis pengetahuan yang perlu diambil berat oleh seseorang individu yang mahu menjadi penjaga kepada warga emas. Berikut disenaraikan beberapa jenis pengetahuan yang dirasakan perlu oleh penjaga:

  1. Pengetahuan mengenai permasalah kesihatan:

    • Perihal ini penting bagi memastikan seseorang penjaga itu memahami dan dapat memberikan respon segera sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini. Pengetahuan kesihatan ini merangkumi jenis penyakit, ubat-ubatan yang diambil serta kesan sampingan ubat tersebut, tempat rawatan dan pakar-pakar perubatan yang merawat warga emas tersebut.

  1. Pengetahuan tentang perubahan fisiologi warga emas:

    • Ramai di kalangan penjaga yang gagal mendapat keserasian dengan warga emas yang dijaga. Salah satu faktor kerana mereka tidak memahami perubahan fisiologi seseorang warga emas seperti kemampuan kognitif, kecergasan fizikal dan kestabilan emosi. Justeru, penjaga perlu fahami dan belajar tentang perubahan-perubahan fisiologi yang akan dan sedang dialami oleh warga emas.

  1. Pengetahuan pengurusan warga emas:

    • Dalam aspek ini, penjaga perlu sedar bahawa banyak isu-isu pengurusan perlu ditangani oleh penjaga warga emas. Isu-isu tersebut mencakupi pengurusan kewangan, pengurusan harta dan pengurusan kesihatan warga emas. Kesemua perkara tersebut perlu difahami dan boleh dipelajari sama ada melalui pembacaan mahupun mendapatkan khidmat nasihat secara professional. Pokoknya, penjaga tidak perlu malu untuk melakukan perkongsian dengan orang lain.

  1. Meningkatkan daya kesabaran:

    • Semua sedia maklum bahawa menjaga warga emas sememangnya sesuatu tugasan yang mencabar serta memerlukan kesabaran yang tinggi. Kejayaan penjaga dalam urusan penjagaan warga emas juga terletak kepada ketinggian kesabaran yang ada dalam diri mereka. Namun, bagaimana ingin menjadi penyabar? Semua penjaga boleh menjawab persoalan ini sekiranya mereka mempunyai daya integriti yang tinggi seperti ikhlas, jujur dan bertanggungjawab. Amalan nilai-nilai murni ini amat membantu bagi menenangkan penjaga untuk mengharungi segala cabaran dan karenah yang ditimbulkan oleh warga emas tersebut. Seperkara lagi ialah meletakkan keyakinan bahawa tuhan akan mempermudahkan urusan seseorang yang berniat baik. Keyakinan tersebut akan melonjakkan aura motivasi diri untuk terus komited dalam urusan penjagaan warga emas tersebut.

  1. Kemahiran melayan:

    • Individu yang menjadi penjaga juga perlu mempunyai kemahiran melayan yang baik. Layanan yang lembut, sopan dan mesra dengan interaksi komunikasi yang berkesan boleh membuatkan seseorang warga emas merasa dirinya dipunyai dan disayangi. Keadaan ini mampu membuatkan warga emas komited terhadap penjaganya, sekaligus akan memudahkan dan melancarkan proses penjagaan warga emas tersebut.

  1. Kemahiran mendengar dan merespon:

    • Warga emas sememangnya suka bercerita dengan mengimbau sejarah-sejarah silam mereka. Pada hakikatnya mereka berada dalam kesunyian dan memerlukan teman untuk berbual. Penjaga perlu bersedia untuk mendengar dan mahir memberikan respon terhadap perkara yang disampaikan oleh warga emas tersebut. Sebagai pendengar yang baik perlulah beri tumpuan terhadap perkara yang disampaikan oleh penyampainya. Ketika merespon, penjaga perlu menggunakan mimik muka serta kontak mata yang betul supaya wujud satu interaksi dua hala yang berkesan. Seseorang warga emas akan berasa seronok serta turut dapat meningkatkan harga diri mereka.

  1. Empati terhadap masalah-masalah warga emas:

    • Empati atau memahami warga emas bukan semudah perkataan yang disebut. Menjadi seorang yang berempati memerlukan penjaga, mengenali dan peka terhadap situasi-situasi yang sedang dan akan dihadapi oleh warga emas di bawah jagaan mereka. Ramai penjaga yang simpati tetapi tidak empati. Fenomena ini akan menyebabkan penjaga mudah stres  kerana ekspektasi simpati mereka tercabar atau tidak tercapai. Sebaliknya, apabila penjaga memahami permasalahan-permasalahan yang dihadapi oleh warga emas tersebut akan lebih memudahkan mereka untuk merancang serta kesabaran juga semakin meningkat. Penjaga akan jadi lebih matang dalam menguruskan karenah warga emas tersebut.

Kesimpulan

Makalah ini mempunyai objektif untuk menggarap pengetahuan di kalangan pembaca untuk mengetahui isu-isu yang membuatkan penjaga warga emas berada dalam situasi stres. Oleh itu, segala penghuraian di atas telah merungkai secara ringkas berhubung isu-isu serta langkah-langkah bagi menghadapi situasi yang plelbagai ketika menggalas tanggungjawab menjaga warga emas. Penyesuaian diri merupakan kunci utama untuk menjadi seorang penjaga yang berkualiti.

Penyesuaian diri mampu membuatkan seseorang penjaga mempunyai satu sikap yang positif serta sentiasa bersedia dengan kemungkinan situasi yang berlaku kepada warga emas yang dijaga. Persediaan mental dan fizikal yang rapi juga menjadi satu keperluan yang wajib dititikberatkan oleh mana-mana individu yang ingin menjaga warga emas.

Persediaan tersebut akan menjadi landasan yang lurus dalam usaha memberikan bantuan yang jitu terhadap warga emas yang dijaga. Pepatah Inggeris ada menyatakan bahawa ‘the more you give, the more you get’, maka percayalah bahawa setiap pengorbanan itu akan mendapat pembalasan yang setimpal daripada tuhan. Mungkin suatu ketika nanti anak-anak atau waris kita pula yang akan komited terhadap kita sewaktu kita di usia emas kelak.

Semakan Akhir : 03 Januari 2014
Penulis : Mohd Mustaza bin Mohamad Zin