A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Stres dan Ketidaksuburan

Pengenalan

  • 20-80% wanita tidak subur dilanda stres.
  • Pengalaman stres mereka mungkin berbeza antara satu sama lain bergantung kepada makna yang tersirat di sebalik ketidaksuburan masing-masing.
  • Ketidaksuburan juga memberi kesan kepada pasangan lelaki pada kadar yang lebih rendah.
  • Stres, jika tidak ditangani, boleh mengurangkan lagi peluang mengandung serta menimbulkan kesan buruk kepada keharmonian rumahtangga.

Tanda–tanda stres dari ketidaksuburan

  • Ia agak berbeza dari tanda stres biasa.
  • Tanda-tanda yang kerap berlaku adalah perasaan bercampur-baur antara bimbang atau sedih dan pelbagai perasaan lain seperti cemburu, marah, bersalah, terpinggir dan perasaan kehilangan.
  • Ia boleh digambarkan seperti menaiki roller coaster yang bermula dengan harapan dan berakhir dengan kekecewaan setiap bulan apabila haid tiba.
  • Boleh berlaku juga krisis kepercayaan kepada Tuhan apabila persoalan seperti “kenapa Tuhan tidak memberkati saya” datang menghantui diri.

Kesan-kesan psikologi ketidaksuburan

Dalam jangka masa panjang, ketidakupaya menghasilkan zuriat boleh menimbulkan kesan psikologi yang buruk seperti:

  • Memberi makna kelemahan atau kegagalan diri.
  • Menimbulkan persoalan samada cukup sifat kewanitaan atau kelelakian serta keraguan identiti jantina.
  • Menyebabkan keretakan hubungan suami isteri oleh kerana melahirkan zuriat dan menjadi ibu bapa adalah satu asas penting pasangan membina perhubungan
  • Menghilangkan nikmat dan kespontanan perhubungan seks apabila fokus berpindah ke arah menghasilkan anak dan menjejak waktu kesuburan.

Hubungkait stres dengan ketidaksuburan

Hubungan antara stres dan kestidaksuburan adalah bagaikan ayam dengan telur. Stres saling berhubungkait dengan ketidaksuburan dalam arah dua hala dan sukar ditentukan yang mana datang dulu, yang mana kemudian.

 
 
 

 

Rajah 1: Hubungkait stres dengan ketidaksuburan

 

Faktor psikologi, fisiologi dan neuroendokrin berinteraksi dan berhubungkait secara sendirian atau bersama-sama dengan ketidaksuburan menghasilkan kitaran berulang, seperti ditunjukkan dalam Rajah 1.

  • Stres menyumbang kepada ketidaksuburan dengan mengubah regulasi kefungsian hormon pituitary dan system saraf yang akhirnya memberi kesan kepada organ reproduktif
  • Apabila kita stress, kita mengalami beberapa perubahan neurokimia yang mengubah aturan pengeluaran hormon yang mengatur proses kematangan dan pengeluaran ovum dan proses ovulasi.
  • Perubahan system saraf autonomic juga menyebabkan ketegangan Saluran Fallopian dan uterus yang tidak normal menyebabkan gangguan pergerakan dan implantasi ovum yang sudah disenyawa
  • Proses di atas menyebabkan . wanita kurang subur. Sebaliknya juga, kegagalan menjadi hamil menyebabkan seseorang bertambah stress dan menurunkan lagi tahap ketidaksuburan, menjadikan proses berulang.
  • Kitaran ini adalah kitaran 2 hala: stres menyumbang kepada ketidaksuburan dan ketidaksuburan menyumbang kepada stres.
  • Dalam kalangan lelaki, stres boleh merubah bilangan, pergerakan dan struktur sperma dan masalah ereksi dan ejakulasi yang memburukkan masalah ketidaksuburan

Stres dan rawatan ketidaksuburan

Kajian menunjukkan stress boleh merendahkan peluang kejayaan rawatan ketidaksuburan. Sebagai contoh, sebuah kajian prospektif oleh Thiering (1993) menunjukkan wanita murung yang menjalani rawatan In-Vitro Fertilization/Embryo Transfer (IVF/ET), mencapai kadar kehamilan yang lebih rendah dari wanita yang tidak murung (2).

Kajian oleh Domar (1992), ke atas wanita yang menjalani terapi mengurangkan kemurungan dan anzieti membuktikan kesan yang sama. Sebanyak 55% wanita yang dirawat berbanding 20% yang tidak dirawat, mencapai kehamilan dalam masa 6 bulan (3).

Tips untuk pasangan menghadapi ketidaksuburan

Antara cara yang boleh diamalkan adalah:

  • Pelbagai teknik relaksasi boleh digunakan untuk mengajar kita relaks.
  • Pembaca yang berminat boleh mendapatkan buku tulisan Dr. Alice Domar yang mengajar teknik-teknik terapi kognitif dan tingkah laku untuk mengatasi cabaran ketidaksuburan
  • Mendapatkan kaunseling yang tujuannya untuk membantu pasangan:
    • Mencapai objektif yang sama, tidak semestinya untuk mencapai kehamilan tetapi membantu mereka mengatasi dan menerima apa-apa rezeki yang mendatang.
    • Meluahkan perasaan yang menyakitkan bagi mengurangkan penderitaan ketidaksuburan.
    • Menghayati perasaan-perasaan ini sebagai normal dan merupakan sebahagian dari ketidaksuburan
    • Menggalakkan mereka meneruskan kehidupan dan mencari makna yang positif dari situasi yang menyakitkan sambil berusaha untuk hamil
  • Mendapatkan rawatan dari pakar kesihatan mental apabila masalah telah menjejaskan kefungsian, menyebabkan pasangan sentiasa bergaduh atau ada tanda-tanda klasik kemurungan seperti banyak menangis, tidak mahu bangun dari katil.

Pengambilan anak angkat

Mengambil anak angkat adalah salah satu cara mengatasi masalah ketidaksuburan yang boleh memberi kebahagiaan yang sama kepada pasangan.

Walau begitu, terdapat isu-isu tertentu yang perlu ditangani oleh pasangan yang mengambil anak angkat bagi memastikan kejayaan membina hidup bersama anak angkat. Ini termasuklah isu-isu:

  • Agama – meletakkan nama bapa angkat sebagai bapa anak dan isu muhrim.
  • Perhubungan dengan ibu bapa kandung – membenarkan atau tidak ibu bapa kandung berjumpa anak
  • Memberitahu anak tentang statusnya sebagai anak angkat – samada beritahu atau tidak, bila dan bagaimana mahu memberitahu anak. Secara prinsip, adalah lebih baik anak diberitahu tentang statusnya secara berperingkat selaras dengan keupayaannya memahami keadaan. Adalah amat penting untuk ibu bapa menekankan kasih sayang dari ibu bapa angkat dan kandung bagi mengelakkan perasaan tidak disayangi.

 

Semakan Akhir : 3 Disember 2013
Penulis : Prof. Madya Dr. Marhani bt. Midin

 

Artikel Berkaitan

Bunuh Diri

Apa itu bunuh diri? Bunuh diri ialah satu tindakan yang

Opiat

Pengenalan Opiat atau narkotik merupakan ubat penahan sakit yang berkesan.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,368,697

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-25 09:58:35
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia