Pengenalan
- Staphylococcus Aureus adalah bakteria gram positif yang menghasilkan pigmen kuning, bersifat anaerob fakultatif, tidak menghasilkan spora dan tidak motil.
- Umumnya ia tumbuh berpasangan atau berkelompok dan habitat yang didiami oleh bakteria Staphylococcus Aureus pada manusia adalah di kawasan kulit, hidung, mulut dan usus besar, di mana pada keadaan sistem imun normal.
- Bakteria Staphylococcus Aureus tumbuh dengan optimum pada suhu 37°C dan merupakan mikroflora normal pada manusia.
![]() |
![]() |
Gambar 1: Gram positif S. Aureus | Gambar 2: S. Aureus di atas agar darah |
Sumber: www.healthhype.com/lab-tests-for-staph.html
Cara Jangkitan
- Bakteria Staphylococcus Aureus biasanya terdapat pada kulit atau hidung orang yang sihat.
- Kira-kira dua hingga tiga daripada setiap sepuluh orang membawa bakteria ini di hidung mereka.
- Bakteria Staphylococcus Aureus boleh merebak melalui sentuhan kulit ke kulit atau dengan menyentuh permukaan yang tercemar. Kurang menjaga kebersihan diri dan tidak menutup luka yang terbuka boleh menyebabkan jangkitan bakteria Staphylococcus Aureus.
Gambar 3: Kawasan yang biasanya dijangkiti bakteria staphylococcus aureus
Sumber: textbookofbacteriology.net/staph_2.html
Komplikasi Jangkitan Kepada Manusia
- Jangkitan biasa yang disebabkan oleh bakteria Staphylococcus Aureus termasuklah bisul, jerawat dan abses iaitu jangkitan kulit yang sangat mudah berjangkit, serta jangkitan kulit berkerak yang boleh memberi kesan kepada bayi yang baru lahir dan kanak-kanak sekolah.
- Sebahagian besar penyakit yang disebabkan oleh bakteria ini akan menghasilkan nanah. Oleh kerana itu, bakteria ini disebut pyogenik. Bakteria ini juga boleh menyebabkan keracunan makanan.
- Jangkitan yang lebih serius termasuklah meningitis iaitu jangkitan membran yang melapisi otak, osteomielitis (jangkitan tulang dan sum-sum tulang), pneumonia (jangkitan salah satu atau kedua-dua paru-paru), radang urat darah septik (jangkitan vena) dan endokarditis (jangkitan pada injap jantung).
![]() |
![]() |
(a) Jangkitan di bahagian hidung dan mulut |
(b) Jangkitan di bahagian bahu |
Gambar 4: Contoh jangkitan
Sumber: www.healthhype.com/staph-skin-infections.html
Rawatan Jangkitan
- Jangkitan S. Aureus tidak serius boleh dirawat dengan sapuan antibiotik seperti mupirocin (Bactroban) gel hidung dan pencuci kulit harian. Adakalanya antibiotik perlu dimakan untuk mengubati jangkitan kulit.
- Abses kulit memerlukan penjagaan yang lebih konsisten dan abses yang mendalam mungkin memerlukan pembedahan.
- Jangkitan S. Aureus yang teruk memerlukan rawatan antibiotik yang diberi secara suntikan. Antibiotik yang akan digunakan bergantung kepada keputusan ujian kepekaan antibiotik dari makmal. Contoh antibiotik yang selalu digunakan termasuklah penisilin seperti nafcillin dan oxacillin, atau cephalosporin, generasi 1 atau ke-2 (contohnya cephalexin, cefuroxime) dan clindamycin.
Langkah Pencegahan
- Mengekalkan atau meningkatkan amalan kebersihan di rumah dan tempat-tempat awam.
- Pendedahan pengetahuan kepada masyarakat mengenai bakteria Staphylococcus Aureus.
- Amalan kebersihan diri harus dilaksanakan oleh kakitangan hospital.
- Pendekatan yang lebih konservatif untuk menggunakan antibiotik.
- Luka-luka harus dibersihkan dan ditutup.
- Merujuk kepada klinik atau hospital dengan segera jika terdapat sebarang tanda-tanda yang berkaitan.
Rujukan
- Abbott S.L. (2003). Klebsiella, Enterobacter, Citrobacter, Serratia, Plesiomonas and other Enterobacteriaceae. In Manual of Clinical Microbiology, 8th edn, pp. 684–696. Edited by P. R. Murray, et al Washington, DC: American Society for Microbiology.
- Honeyman AL, Friedman H, Bendinelli M (2001). Staphylococcus aureus Infection and Disease. New York: Plenum Publishers.
- textbookofbacteriology.net/staph_2.html
- www.healthhype.com/lab-tests-for-staph.html
- www.medicinenet.com/staph_infection/article.htm
Semakan Akhir | : | 15 November 2016 |
Penterjemah | : | Mohd Iezuan Elmy bin Abdul Ghani |
Akreditor | : | Dr. Azizah binti Mustaffa |