Home > Kesihatan Pergigian > Snek / Makanan Ringan Terbaik Untuk Gigi Anda

Snek / Makanan Ringan Terbaik Untuk Gigi Anda

Apabila kita berbicara tentang makanan ringan atau snek sudah tentu kita akan terfikirkan pelbagai jenis makanan terutama di Malaysia yang kaya dengan variasi dan pilihan.

Ya, tidak dapat dinafikan, pengambilan snek sudah menjadi lumrah orang kita, tanpa mengira umur, jantina, pangkat mahupun kedudukan. Yang membezakan hanyalah pilihan masing-masing.

Adakah anda pernah memikirkan sama ada snek yang anda ambil sihat atau memudaratkan kesihatan, khususnya kesihatan gigi? Mungkin sebahagian dari anda sangat prihatin dengan isu ini, sebaliknya mungkin sebahagian lagi tidak peduli.

Sebahagian mungkin menjawab, `tidak mengapa, lepas makan beruslah gigi’ atau ada juga yang mengatakan `tak mengapa, sekali sekala apa salahnya…’ dan pelbagai alasan lagi.

Kita seharusnya mengambil tahu kesan pengambilan sesuatu makanan kerana setiap yang masuk ke dalam tubuh akan memberi kesan kepada kita, sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Anda mungkin pernah terdengar bahawa pengambilan gula berlebihan akan menyebabkan seseorang kanak-kanak menjadi hiperaktif atau `tidak boleh fokus’. Bagi menjaga kesihatan gigi, kita perlu berhati-hati dengan pengambilan snek.

Perhatikan 3 perkara berikut:-

  1. Kandungan gula – makanan manis (bergula) sememangnya punca karies
  2. Konsistensi makanan – buah-buahan kering yang melekit boleh melekat pada permukaan gigi dan merosakan gigi
  3. Asiditi / keasidan – makanan masam atau berasid (pH rendah iaitu < 5.5) bersifat menghakis. Lapisan enamel gigi akan dirosakkan dan menyebabkan masalah gigi sensitif.

Kehadiran asid bersama gula mengujudkan medium yang sangat sesuai untuk pembiakan bakteria.

Sebagai ganti, pilihlah snek yang sihat. Latihlah anak-anak mengambil snek sihat dari kecil. Bagi orang dewasa kefahaman dan azam untuk kekal sihat amat penting sebagai motivasi.

Apakah ciri-ciri snek sihat?

  • Sayur-sayuran dan buah-buahan, tanpa gula tambahan: contoh- salad buah-buahan / sayur-sayuran campuran / buah-buahan segar (dimakan tanpa pencicah)
  • Mengandungi serat / bijiran seperti kekacang, oat dan gandum tulen. Pilihlah biskut, kek atau minuman berasaskan bijirin tulen tanpa atau kurang gula.
  • Berasaskan produk tenusu seperti susu, yogurt, keju, dadih dan sebagainya. Produk tenusu mengandungi kasein yang bertindak sebagai penampan (buffer) kepada karies.

* Kreativiti dan cara penyediaan snek juga sangat penting. Sentiasa, kekalkan  kesegaran makanan. Elakkan mengawet makanan dengan cuka, gula, pewarna makanan dan lain-lain. Berhati-hati apabila menambah perisa makanan, pilihlah perisa asli seperti yang berasaskan tumbuh-tumbuhan dan buah-buahan.

Jom kita cuba ubah kepada yang lebih baik!!!

Rujukan

  1. Worst `Healthy Food’ for Children ‘s Dental Health dipetik pada 12Ogos2014 di http://www.1800dentist.com/worst-healthy-foods-for-childrens-dental-health/
  2. Snacking and Your Teeth cached dipetik pada 12Ogos2014 di http://consumer.healthday.com/encyclopedia/dental-dental-11/misc-dental-problem-news
  3. Malaysian Dietary Guidelines for Children and Adolescent, Technical Working Group on Nutritional Guidelines (for National Coordinating Committee on Food and Nutrition) MOH 2013
  4. Makanan Sihat Yang Merosakkan Gigi cached on dipetik pada 12Ogos2014 pada http://rapi.karangkraf.com/makanan-sihat-yang merosakkan-gigi
Semakan Akhir : 27 Oktober 2014
Penulis / Penterjemah : Dr. Faizah bt. Kamaruddin
Akreditor : Dr. Savithri a/p Vengadasalam