A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Skoliosis dikalangan kanak-kanak

Apakah itu skoliosis?

  • Skoliosis dalam terma biasa bermakna tulang belakang yang bengkok.
  • Tulang belakang yang normal kelihatan mencengkung ke dalam dan ke luar bila dipandang dari sisi. Ia kelihatan lurus bila dipandang dari belakang.
  • Dalam skoliosis, tulang belakang membengkok ke sisi apabila dipandang dari belakang dan ini kelihatan dalam bentuk “S” atau “C”.

Siapa yang mengalami skoliosis?

Skoliosis adalah disebabkan oleh faktor genetik, pertumbuhan tulang belakang yang tidak normal semasa perkembangan akil baligh dan masalah tulang atau otot.

Jenis-jenis skoliosis adalah:

  1. Skoliosis kongenital di mana skoliosis terjadi semenjak dilahirkan.
  2. Skoliosis neuromuskular disebabkan oleh masalah otak (seperti cerebral palsy), masalah tulang belakang (seperti spina bifida) atau masalah otot (seperti distrophi muskular).
  3. Skoliosis degeneratif yang disebabkan oleh pembedahan, trauma atau penyakit tulang belakang.
  4. Skoliosis idiopatik di mana punca penyebab tidak dapat ditentukan. Ia juga mempunyai penghidap yang paling ramai. Jenis ini biasanya banyak melibatkan budak perempuan daripada budak lelaki.

Apakah tanda-tanda skoliosis?

Kadang-kala tanda-tanda skoliosis adalah ketara. Antara tanda-tandanya ialah :

  • bahu sebelah lebih tinggi daripada bahu yang lain.
  • bilah bahu sebelah lebih ketara daripada bilah bahu yang lain.
  • pinggang sebelah lebih tinggi daripada pinggang yang lain.
  • kaki seluar panjang lebih panjang sebelah daripada yang lain, atau
  • tulang rusuk sebelah lebih ketara daripada yang lain.

Masalah yang mungkin timbul jika skoliosis tersebut serius ialah :

  • masalah sakit belakang,
  • susah bernafas,
  • masalah penghadaman makanan, atau
  • masalah pergerakan.

Jika anda mengesyaki anak anda mengalami tanda-tanda skoliosis, sila bawa anak anda berjumpa dengan doktor anda.

Bagaimana diagnosis skoliosis dibuat?

  • Anda boleh melakukan satu pemeriksaan mudah pada anak anda.
  • Suruh anak anda membongkokkan badan ke hadapan semasa berdiri lurus.
  • Jika terdapat bonggolan yang ketara pada sebelah badan bila dilihat dari belakang, anak anda mungkin mengalami skoliosis.
  • Anda perlu membawa anak anda berjumpa dengan doktor dan beliau mungkin melakukan pemeriksaan x-ray untuk melihat darjah kelengkungan tulang belakang anak anda.

Bagaimana skoliosis dirawat?

  • Jika skoliosis anak anda adalah ringan, tiada rawatan diperlukan.
  • Jika anak anda masih membesar, doktor anda akan memantau keadaan anak anda dari semasa ke semasa.
  • Jika doktor anda mendapati skoliosis anak anda bertambah serius, beliau akan merujuk anak anda kepada pakar ortopedik untuk rawatan lanjutan.
  • Alat pendakap (“body brace”) mungkin dicadang untuk digunakan pada anak anda terutamanya semasa anak anda sedang membesar.
  • Alat pendakap tidak boleh memperbetul masalah skoliosis anak anda secara kekal. Ia hanya dapat mencegah skoliosis anak anda daripada menjadi lebih serius.
  • Ada sesetengah alat pendakap yang dibuat untuk dipakai pada waktu malam sahaja dan ada pula yang dibuat untuk dipakai sepenuh masa.
  • Jika skoliosis anak anda serius, pembedahan tulang belakang perlu dilakukan. Pembedahan ini melibatkan percantuman tulang-tulang belakang dengan bantuan skru dan rod logam sehingga tulang-tulang itu sembuh sepenuhnya.

Apakah ekspekstasi jangka masa panjang untuk skoliosis?

  • Kanak-kanak yang menghidap penyakit skoliosis yang ringan boleh melakukan senaman seperti berenang dan senaman regangan.
  • Senaman-senaman ini tidak boleh memperbetul skoliosis anak anda tetapi ia dapat membantu meningkatkan kesihatan anak anda.
  • Setelah anak anda berhenti membesar dan skoliosisnya masih kekal pada tahap yang ringan, ekspektasi jangka masa hadapannya adalah cerah.
  • Buat masa ini, tiada senaman yang dikenal pasti boleh memburukkan skoliosis anak anda, tetapi jika anak anda mempunyai skoliosis yang serius, sila bincang dengan doktor anda berkenaan dengan aktiviti-aktiviti sukan yang anak anda perlu elakkan.
  • Jika anak anda perlu menjalani pembedahan, anak anda boleh menyambung lakukan aktiviti normal selepas 6 hingga 12 bulan selepas pembedahan dilakukan. Tulang-tulang yang telah dicantumkan tidak akan akan melengkung lagi.
  • Kanak-kanak yang telah dibedah mempunyai ekspektasi masa hadapan yang cerah kerana mereka mempunyai keyakinan diri dan dapat melakukan kebanyakan aktiviti yang normal.
Tarikh Semakan : 03 Januari 2014
Penulis : Dr. Cham Weng Tarng

 

Artikel Berkaitan

Sakit Sendi

Sakit sendi di kalangan kanak-kanak bukan sesuatu perkara yang luar

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 219,231,940

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-19 14:25:57
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia