Sindrom Keluarga Sandwich

 

Pendahuluan

Generasi sandwich atau keluarga sandwich bukan merupakan suatu isu baru di Malaysia. Isu ini telah diperkatakan sejak tahun 90-an lagi terutama di kalangan wanita yang mempunyai kerjaya namun terbeban dalam menjaga dua generasi secara serentak dalam satu rumah. Keluarga sandwich merupakan mereka yang berada di peringkat dewasa pertengahan yang terperangkap dalam urusan penjagaan terhadap dua generasi iaitu anak-anak dan warga tua yang sudah uzur. Keadaan ini menuntut suatu penjagaan secara serentak dalam satu-satu masa.

Situasi Yang Dihadapi

Keperluan membahagikan masa dan tenaga untuk menjaga anak-anak sekaligus menjaga ibu bapa atau warga tua yang tinggal sebumbung menyebabkan sering berlaku konfik dalam memenuhi keperluan harian mereka dan seterusnya menjadi dilema kepada penjaga generasi sandwich.

      1. Masalah Kewangan

        Kebanyakan pasangan bersetuju bahawa masalah kewangan merupakan perkara utama yang dihadapi oleh mereka dalam menjaga keluarga sandwich. Faktor kewangan merupakan sumber yang penting dalam aspek penjagaan di mana pendapatan penjaga boleh terjejas akibat daripada perbelanjaan harian yang terpaksa diperuntukkan untuk memenuhi keperluan penjagaan anak-anak dan juga orang tua. Senario ini berbeza pula dengan penjaga yang mengalami masalah ekonomi di mana sering berlaku ketidakseimbangan dalam penyediaan keperluan penjagaan kepada warga tua dan anak-anak. Konflik ini akan terus berlaku sekiranya warga emas yang dijaga mempunyai penyakit kronik.

     

    1. Kesan Kepada Pekerjaan

      Isu penjaga keluarga sandwich ini juga turut memberi kesan kepada majikan. Pekerja yang berperanan sebagai penjaga keluarga sandwich kebiasaannya mempamerkan produktiviti kerja yang rendah berbanding mereka yang tidak berperanan sebagai penjaga. Ini adalah kerana penjaga keluarga sandwich kebanyakkannya akan memperuntukkan masa yang lebih untuk menjaga ibu bapa tua dan keluarga sandwich sehingga menjejaskan pekerjaan mereka. Penjaga keluarga sandwich biasanya terpaksa mengambil cuti yang kerap untuk menjaga keluarga, bekerja kurang daripada tempoh yang ditetapkan oleh majikan dan sering menghadapi gangguan ketika bekerja disebabkan oleh tumpuan terhadap tanggungjawab untuk menyediakan keperluan penjagaan ibu bapa tua dan keluarga.

    Strategi Menangani

    Terdapat tiga jenis strategi daya tindak yang boleh diamalkan iaitu berfokus kognitif, emosi dan praktikal. Kepercayaan yang berlandaskan keagamaan merupakan kekuatan yang menjadi asas kepada kesejahteraan ekonomi. Ekoran daripada keyakinan yang tinggi terhadap kepercayaan keagamaan menjadikan bebanan kewangan tidak terlalu dirasai oleh penjaga.

    Walaupun penjaga tidak mempunyai kebebasan kewangan (financial freedom), namun pengurusan kewangan yang sesuai dengan keadaan keluarga banyak membantu responden agar tidak mengalami masalah kewangan yang kritikal. Antara kaedah yang dikenalpasti ialah berbelanja mengikut keutamaan, mengamalkan perbelanjaan berhemah dan mempunyai sistem kewangan yang sistematik.

    Perbincangan, Implikasi dan Cadangan

    Aspek kewangan bukan merupakan bebanan utama kepada penjaga generasi sandwich khasnya yang berpendapatan sederhana. Bantuan kewangan daripada agensi kerajaan terutama yang bersifat bulanan juga didapati sangat membantu ekonomi keluarga penjaga. Bantuan kerajaan yang lebih mengkhusus kepada warga emas (orang tua) memberi imej keprihatinan kerajaan yang baik terhadap golongan tersebut sekaligus menyuntik semangat dalam kalangan penjaga untuk menghargai jasa dan pengorbanan ibu bapa mereka.

    Selain daripada itu, sumber kewangan sampingan seperti pencen yang diterima oleh ibu bapa yang dijaga sangat membantu. Hasil kajian mendapati bahawa warga tua yang mempunyai pencen tidak mengalami masalah kewangan dan penjaga tidak merasa terbeban dengan kehadiran ibu bapa yang tinggal serumah. Ini merupakan indikator bahawa keperluan sumber kewangan daripada orang yang dijaga itu sendiri memainkan peranan penting. Ini bermakna skim pencen yang diberikan oleh kerajaan mampu menjamin bukan sahaja kesejahteraan kewangan untuk pesara, malahan kesejahteraan bagi mereka yang tinggal serumah dengan pesara. Walau bagaimanapun, harusdiingati skim pencen hanya dapat dinikmati bagi mereka yang bekerja kerajaan. Oleh yang demikian, bagi mereka yang bekerja swasta, jaminan kewangan di hari tua seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) perlu dimanfaatkan sebaiknya.

    Kerjasama yang ditunjukkan oleh anak dewasa lain dalam hal ehwal kewangan turut membantu meringankan bebanan penjaga. Walaupun ada anak dewasa lain tidak dapat menjaga ibu bapa mereka, namun pemberian berbentuk material seperti wang ringgit mampu membantu meringankan bebanan penjagaan kepada penjaga. Szinovacz & Davey (2012)dalam kajiannya mendapati bahawa bantuan kewangan yang diberikan oleh anak dewasa kepada ibu bapa dapat membantu anak-anak untuk menyediakan penjagaan dan keperluan ibu bapa itu sendiri. Ia merupakan seolah-olah ‘pertukaran’ penjagaan di mana anak-anak menjaga pula ibu bapa yang telah menjaga mereka semasamereka kecil dahulu.

    Selain daripada itu, personaliti orang yang dijaga turut memainkan peranan dalam meningkatkan kesejahteraan psikologi penjaga. Apabila penjaga dan keluarga sejahtera, maka bebanan kewangan yang berat akan terasaringan. Penjaga merasa selesa dengan ibu bapa yang mempunyai sikap tidak suka meminta-minta dan menerima mereka dan keluarga mereka seadanya sebagai sebuah keluarga. Personaliti individu materialistik dan merasa kebahagiaannya adalah hasil daripada kebendaan lebih tidak disukai oleh orang sekelilingnya berbanding dengan individu yang merasa bahagia melalui pengalaman hidupnya. Persepsi penjaga yang melihat orang yang dijaga mempunyai personaliti yang positif secara tidak langsung menunjukkan hubungan interpersonal sesama ahli keluarga juga adalah baik.

    Kesimpulan

    Secara keseluruhan dapat disimpulkan bahawa penjaga dewasa generasi sandwich yang berpendapatan sederhana menganggap bahawa penjagaan generasi sandwich merupakan satu amanah Tuhan dan tanggungjawab anak kepada ibu bapannya. Persepsi sedemikian menyebabkan kebanyakan penjaga tidak merasa terbeban dari aspek penjagaan walaupun mereka tidak mempunyai kebebasan dari aspek kewangan. Strategi pengurusan kewangan yang diamalkan oleh penjaga dalam menguruskan keluarga mereka turut membantu ke arah kesejahteraan penjagaan dalam kalangan generasi sandwich. Selain daripada itu, bantuan kewangan sedia ada daripada kerajaan perlu dikekalkan demi menjamin kesejahteraan keluarga generasi sandwich yang mempunyai cabarannya yang tersendiri dalam mengurus dan menyediakan keperluan penjagaan berbanding jenis keluarga yang lain.

    Rujukan:                                                                                                   

    1. Andrew, P. 2007. The Sandwich Generation. Australia:McCrindle Research, ABS. NATSEM Income and Wealth.
    2. Khadijah Alavi & Rahim M.Sail 2010. Peranan wanita Melayu Malaysia dalam proses penjagaan warga tua: Dilema dan cabaran era globalisasi. Jurnal Kajian Malaysia 28(2); 71 – 105.
    3. Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara. 2004. Laporan Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia 2004. Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara. Kuala Lumpur. Penerbit LPPKN, KPWKM.
    4. Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara 2013. Laporan Kajian Indeks Kesejahteraan Keluarga Malaysia 2011. Kuala Lumpur. Penerbit LPPKN, KPWKM.
    5. Noor Rahamah Hj Abu Bakar 2013.Masa Kerja Fleksibel dalam sektor di Bandar: Mengimbangi kerjaya dengan tanggungjawab keluarga. Akademika 83(1): 77-80.
    6. Pinquart, M, & Sorensen,S.2003.Associations of stressor and uplifts of caregiving burden and depressive mood: A meta-analysis. Journals of Gerentology:Psychological and Social Sciences 58B(2):112-128.
    7. Rahimah Abdul Aziz 2000.Kepentingan perancangan penjagaan warga tua: Dlm Warga Tua Isu dan Fenomena, disunting oleh Abdul Aziz Jemain,Rahimah Abdul Aziz & Lukman Z. Mohamad, 179. Bangi:Penerbit UKM.
    Semakan Akhir : 02 Julai 2018
    Penulis : Pn. Fariz Sakina bt. Abdullah
    Akreditor : Pn. Ruhana bt. Mahmod