Home > Laman Utama > Sindrom Hiperstimulasi Ovari

Sindrom Hiperstimulasi Ovari

Pengenalan

Sindrom hiperstimulasi ovari, biasanya terjadi apabila mengambil ubat hormon yang meransang pengeluaran folikel yang mengandungi telor dari ovari. Apabila keadaan terlebih rangsangan ini berlaku ia akan menyebabkan Sindrom Hiperstimulasi Ovari. Ia dianggap berpotensi bahaya dari segi perubatan. Dianggarkan 0.1% – 2% pesakit mendapat sindrom yang teruk. Peningkatan kes berlaku seluruh dunia kerana perkembangan dalam teknik reproduktif bantuan.

Apakah Sindrom Hiperstimulasi Ovari

Secara amnya, sindrom hiperstimulasi ovari adalah urutan dari pengambilan suntikan hormon Gonadotrophin yang digunakan dalam rawatan teknik reproduktif bantuan. Jika berlaku sindrom yang teruk ianya berpotensi mengancam nyawa pesakit dengan kehadiran jumlah folikel yang banyak dalam ovari, menyebabkan pembengkakan ovari dan peningkatan hormon dihasilkan dalam ovari. Dalam kes ringan, gejalanya termasuklah ketidakselesaan pada bahagian abdomen dan pembengkakan, pertambahan berat badan dan rasa loya. Dalam kes yang teruk, ketidakseimbangan hormon boleh membawa kepada retensi air yang berlebihan yang boleh mengakibatkan pertambahan berat, kesesakan nafas dan pengurangan air kencing, Sindrom yang teruk juga mengakibatkan masalah pembekuan darah, kegagalan hati dan buah pinggang.

Penyebab

Ubat hormon yang sering dikaitkan dengan Sindrom Hiperstimulasi Ovari:

  • Follicle stimulating hormone(FSH) yang merangsang pembentukan folikel didalam ovari.
  • Luteinizing hormone (LH) yang membantu proses pematangan ovum dan memulakan pengovulan berlaku.
  • Human menopausal gonadotropin (hMG) yang mengandungi kedua dua FSH dan LH.
  • Human chorionic gonadotropin (HCG), boleh menyebabkan peningkatan LH secara mendadak dan membantu pengeluaran telor dari folikel.
  • Clomiphene citrate, ubat yang digunakan untuk pengovulan berlaku. Ubat ini jarang sekali menyebabkan Sindrom Hiperstimulasi Ovari.

Kadar Insiden

Dianggarkan 5% dari wanita yang menerima rawatan rangsangan ovari mendapat Sindrom Hiperstimulasi Ovari yang sederhana dan teruk.

Faktor Faktor Risiko

  • Sindrom ovari polisistik – masalah yang sering berlaku berkaitan dengan penyakit reproduktif yang menyebabkan kitaran haid tidak menentu, pertumbuhan bulu badan yang berlebihan dan gambaran ovary melalui ultrasound adalah abnormal.
  • Jumlah folikel yang banyak
  • Umur yang muda, kurang dari 35 tahun
  • Berat badan yang rendah
  • Jumlah estradiol yang tinggi dalam darah
  • Mempunyai sejarah sindrom hiperstimulasi ovari.
  • Penggunaan hormon hCG bagi merangsang proses pematangan peringkat akhir telor (Oocytes)
  • Jumlah hormon ‘anti-Mullerian’ tinggi dalam darah

Gejala Klinikal Dan Ujian Darah

Gejala gejala klinikal boleh di bahagikan kepada 3 kumpulan: ringan, sederhana dan teruk.

Gejala yang ringan termasuklah abdomen berasa penuh dan kembong, loya, cirit dan peningkatan berat badan. Gejala yang sederhana seperti peningkatan berat badan secara berlebihan, lilitan abdomen meningkat, muntah, cirit, air kencing menjadi lebih pekat dan kurang, terasa terlalu dahaga dan kulit menjadi kering.( termasuk juga  semua gejala ringan). Gejala yang teruk pula abdomen rasa penuh atau kembong, sesak nafas,”pleural effusion”, tiada pengeluaran air kencing, sakit bahagian betis, sakit dada, abdomen membengkak dengan ketara, peningkatan berat badan dengan mendadak dan sakit bahagian bawah abdomen.(termasuk semua gejala ringan dan sederhana)
Klasifikasi klinikal untuk sindrom hiperstimulasi ovari.

Klas

Saiz Ovari

Gejala Klinikal

Ujian darah

Ringan

5-10 cm

Ketidakselesaan dan pembengkakan dibahagian abdomen, loya, muntah dan cirit

Hematocrit < 45%
WBC < 15,000

Sederhana

>10 cm

Semua gejala ringan dan adanya air dalam abdomen(Ascitis)

Hematocrit < 45%
WBC < 15,000
Buah pinggang masih normal

Teruk

      >12 cm

Pembengkakan bahagian abdomen (Ascitis) yang teruk, sesak nafas,hipovolumia, +/- hidrotorax , “pericardial effusion”, “oligoanuria”

Hematocrit > 45%
WBC> 15,000
Kegagalan buah pinggang

Prognosis

Kes-kes yang ringan dan sederhana untuk sindrom hiperstimulasi ovari, prognosisnya adalah baik. Walau bagaimanapun kes-kes yang teruk, morbiditi agak signifikan dan kematian boleh berlaku. Bagi kes-kes yang teruk jika diberi rawatan yang mencukupi prognosisnya adalah lebih meyakinkan. Kematian disebabkan oleh sindrom hiperstimulasi ovari adalah disebabkan renjatan hipovolemia dan ketidakseimbangan elektrolit, perdarahan dan tromboembolisme. Kadar kematian adalah 1 dalam 400,000-500,000 kitaran haid yang dirangsang.

Komplikasi

Komplikasi yang boleh terjadi dari sindrom hiperstimulasi ovari adalah tromboembolisme, torsi ovari, ovari pecah, kegagalan buah pinggang, perdarahan intra abdomen, simptom gastrousus, ‘acute respiratory syndrome’(ARDS) dan kegagalan fungsi hati. Kebiasaannya gejala klinika akan hilang dalam masa 1 hingga 2 minggu, tetapi akan lebih teruk dan lebih berpanjangan jika pesakit hamil.

Langkah-langkah pencegahan

  • “GnRH-Antagonist”

    Kaedah stimulasi ovari menggunakan ptotokol “GnRH-Antagonist” dapat mengurangkan kejadian sindrom hiperstimulasi ovari, dibandingkan dengan penggunaan protokol “GnRH –Agonists” untuk pesakit yang melakukan prosedur bayi tabung uji atau IVF.
     

  • Pengubahsuaian Dos Rawatan

    Menggunakan dos Gonadotropin  serendah mungkin dalam merangsang ovari
     

  • “Coasting”

    Jika jumlah estradiol dalam darah agak tinggi atau terlampau banyak folikel, suntikan gonadotropins boleh diberhentikan dan tunggu beberapa hari sebelum diberi hormon  hCG untuk merangsang pengovulan.
     

  • Elak penggunaan hormon hCG

    Oleh kerana sindrom hiperstimulasi ovari hanya berlaku selepas pemberian hCG, penggunan hormone alternatif sepertiGnRH agonist boleh menghalang dari sindrom ini berlaku.
     

  • Pengutipan ovum dan pembekuan embrio

    Untuk wanita yang menjalani prosedur IVF, semua folikel disedut untuk mengurangkan kejadian sindrom hiperstimulasi ovari. Ovum yang matang disenyawakan dan dibekukan, ovari dibiarkan rehat selama satu atau dua bulan. Kemudian embrio dicairkan dan dipindahkan ke dalam rahim.

 

Semakan Akhir : 1 September 2014
Penulis / Penterjemah : Dr. Mohd. Nasir Tak b. Abdullah
Akreditor : Dr. Wan Abu Bakar b. Yusof