A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Sindrom Bahang Mulut

Sindrom bahang mulut adalah berpunca daripada pelbagai faktor yang melibatkan keadaan psikologi dan fisiologi pesakit. Pengetahuan serta penerangan tentang penyakit ini kepada pesakit adalah penting.

Pengenalan

Sindrom Bahang Mulut (Burning Mouth Syndrome) adalah satu sindrom kesakitan pada bahagian mulut atau kawasan muka (oro-fasial) yang melibatkan orang dewasa. Ia dirasai sebagai rasa kepedihan, ketidakselesaan atau kesakitan tanpa sebarang faktor penyebab yang nyata. Apabila diperiksa secara klinikal, tiada sebarang lesi atau perubahan abnormal yang dapat dilihat di mukosa mulut.

Kajian menunjukkan, terdapat juga simptom-simptom lain yang berkait dengan sindrom bahang mulut seperti perubahan kepada deria rasa lidah (rasa pahit atau payau), hilang deria rasa lidah, kekeringan mulut, dahaga, iritasi, kemurungan dan hilang keinginan untuk bergaul.

Sinonim

Glossodynia, Glossopyrosis, Stomatodynia, Stomatopyrosis, Sore tongue dan oral Dysesthesia.

Privalensi / Kadar Kejadian Penyakit

Sindrom bahang mulut kebanyakannya melibatkan wanita terutama mereka yang telah putus haid atau menopaus dengan prevalensi 18% – 33%.

Satu kajian telah menunjukkan prevalensi sebanyak 4% untuk simptom sindrom bahang mulut yang tiada sebarang perubahan atau abnormaliti mukosa mulut dengan prevalensi tertinggi sebanyak 12%, dijumpai pada wanita berumur 60-69 tahun1.

Jenis – jenis sindrom bahang mulut

Sindrom bahang mulut dibahagi kepada 2 kategori:

  • Sindrom bahang mulut primer / Primary Burning Mouth Syndrome
  • Sindrom bahang mulut sekunder / Secondary Burning Mouth Syndrome

Sindrom bahang mulut primer adalah rasa kepedihan, kesakitan atau ketidakselesaan pada mukosa mulut dan didapati normal apabila diperiksa secara klinikal. Juga, tiada sebarang faktor perubatan atau pergigian yang boleh dikaitkan dengan simptom ini.

Sindrom bahang mulut sekunder pula berkaitan dengan pelbagai faktor setempat dan sistemik.

Faktor penyebab sindrom bahang mulut sekunder

  1.  Faktor setempat:
    • Alergik atau alahan kepada bahan akrilik dentur/ gigi palsu
    • Dentur/gigi palsu longgar – menyebabkan iritasi mekanikal.
    • Tabiat parafungsi – lidah menonjol, kisar gigi, mengetip gigi, menghisap bibir dan pernafasan melalui mulut.
    • Kegagalan kelenjar liur – menyebabkan kekurangan air liur/saliva.
    • Deria rasa lidah yang tidak normal atau tidak berfungsi
    • Jangkitan kulat – candida
    • Jangkitan virus
    • Geographic tongue – keadaan lidah bercorak seperti peta
    • Penyakit gusi atau periodontal
    • Kerosakan saraf periferi
  2. Faktor sistemik:
    • Kekurangan zat dan vitamin (nutrisi) – zat besi , B12 and asid folik
    • Anemia atau kekurangan sel darah merah
    • Penyakit sistem saraf sentral
    • Penyakit psikiatrik atau psikologi
    • Penyakit kencing manis yang mana merangsang kekeringan mulut dan jangkitan kulat.
    • ‘Sjogren’s syndrome’ – sindrom yang melibatkan kegagalan kelenjar liur dan kelenjar air mata.
  3. Faktor-faktor lain:
    • Putus haid atau menopaus
    • Alahan ubat dan makanan
    • Pengambilan ubat-ubatan seperti ubat darah tinggi, kencing manis dan lain-lain.
 
Mukosa lidah pesakit sindrom bahang mulut dilihat normal secara klinikal   Tiada sebarang ketidaknormalan atau abnormaliti pada mukosa mulut pesakit sindrom bahang mulut apabila diperiksa

Patogenesis

Faktor penyebab (etiologi) dan proses patologi (patogenesis) sindrom bahang mulut yang sebenar adalah tidak diketahui. Ianya melibatkan pelbagai faktor seperti degenerasi atau kemusnahan bahagian axonal fiber/serat saraf terminal lidah, kegagalan fungsi pada fiber/serat saraf sensori berdiameter kecil, perubahan pada sistem saraf sentral dan ketidaknormalan/abnormaliti pada somatosensori saraf trigeminal. Faktor ini ditemui pada pesakit sindrom bahang mulut. Ia memberi perubahan persepsi terhadap rangsangan panas, sejuk, rasa dan kesakitan.

Etiologi lain yang dikaitkan dengan sindrom bahang mulut adalah kerungsingan atau stres yang berlanjutan menyebabkan ketidakaturan steroid adrenal, seterusnya menyebabkan perubahan dalam pola rembesan steroid saraf aktif di kulit, mukosa dan sistem saraf.

Keadaan lain yang dikatakan berkaitan dengan sindrom bahang mulut adalah penurunan mendadak paras steroids gonadal dalam pesakit menopaus, yang mana akan menyebabkan penurunan dalam rembesan steroids saraf aktif. Ini seterusnya menyebabkan perubahan kualiti atau kegagalan fungsi pada saraf-saraf berserat kecil dan kawasan otak yang berkaitan dengan deria somatik.

Ciri-Ciri Klinikal

Tahap kesakitan sindrom bahang mulut boleh dikategorikan kepada lemah, sederhana atau teruk. Kesakitan selalunya dirasai secara tiba-tiba tanpa sebarang punca dan bermula pada lewat pagi. Tahap kesakitan adalah pelbagai, iaitu dari tahap maksimum kepada yang paling minimum. Sindrom bahang mulut selalunya bukan hanya setempat tetapi melibatkan banyak kawasan di dalam mulut. Kesakitannya pula mencapai tahap maksimum pada lewat petang dan mengganggu pola tidur pesakit.

Sindrom bahang mulut ditemui lebih kerap pada wanita berbanding lelaki dengan nisbah 33:1 dan melibatkan wanita yang menghampiri menopaus atau yang telah menopaus.

Kawasan Terlibat

Pesakit yang mengalami sindrom bahang mulut akan memberitahu bahawa mereka merasa sakit, pedih atau tidak selesa pada mukosa mulut terutama lidah dan/atau bibir. Bahagian lain yang mungkin terlibat adalah lelangit keras, gusi, mukosa pipi, kawasan belakang lidah dan lantai lidah.

Tanda Penyakit Dan Simptom

Perubahan atau gangguan pada deria rasa, kebas dan rasa gatal pada mukosa mulut. Kemungkinan juga simptom sindrom bahang mulut berkait dengan kekeringan mulut atau xerostomia.

Rawatan

Dalam kes di mana punca sindrom bahang mulut tidak diketahui, rawatan bergantung kepada simptom yang dialami oleh pesakit.

Jika terdapat keadaan kesihatan sistemik yang mungkin menyebabkan sindrom bahang mulut, pesakit hendaklah dirujuk kepada klinik yang berkaitan.

Protokol Rawatan Sindrom Bahang Mulut

  1. Ujian makmal untuk mengenalpasti penyakit sistemik.
  2. Kiraan kadar aliran air liur/saliva kelenjar Parotid (yang dirangsang).
  3. Ujian kultur untuk kulat (candida).
  4. Pemeriksaan gigi palsu/ dentur
  5. Mengenalpasti tabiat parafungsi.
  6. Pemeriksaan psikologi pesakit
  7. Menerangkan kepada pesakit yang mengalami perasaan takut kepada kanser (cancerophobia) iaitu sindrom bahang mulut bukanlah kanser.
  8. Ubat- ubatan.

Ubat-ubatan

Ubatan yang biasa digunakan untuk merawat sindrom bahang mulut adalah anti-kemurungan(antidepressants) dan benzodiazepines.

  1. Alpha-lipoic acid (600mg/hari untuk 20 hari, diikuti dengan 200mg/hari untuk 10 hari) – Banyak kajian klinikal menunjukkan simptom berkurangan dengan signifikan apabila menggunakan Alpha-lipoic acid berbanding dengan placebo.
  2. Antidepressants – Tricyclic antidepressants seperti amitriptyline, desipramine, nortriptyline, imipramine and clomipramine didapati berkesan pada dos rendah iaitu 25mg.
  3. Anxiolytics – kerungsingan dalam pesakit sindrom bahang mulut dapat diatasi dengan agen anxiolytics seperti chlordiazepoxide, clonazepam and diazepam. Anxiolytics mestilah digunakan dengan berwaspada kerana ia boleh menyebabkan kebergantungan. Dos sebanyak 15-30mg sehari dilaporkan dapat mengurangkan simptom sindrom bahang mulut.

Kesimpulan

Sindrom bahang mulut adalah berpunca daripada pelbagai faktor yang melibatkan keadaan psikologi dan fisiologi pesakit. Pengetahuan serta penerangan tentang penyakit ini kepada pesakit adalah penting.

Rujukan

  1. Burning mouth syndrome: A comprehensive review of literature. Shivpuri A, Sharma S, Trehan M, Gupta N, Asian Journal of Oral and Maxillofacial Surgery 2011; 23: 161-166
  2. Burning Mouth Syndrome and mast cell activation disorder. BA Lawrence , Oral Surg Oral Med Oral Pathol Oral Radiol Endod 2011; 111: 465-472.
  3. Psychiatric disorders in burning mouth syndrome. deSouza F, Teixeira AL, Amaral T, dos Santos T et al. Journal of Psychosomatic Research, 2012; 72: 142-146.
Semakan Akhir : 20 Mac 2015
Penulis : Dr. Hartinie bt. Muhamad
Akreditor : Dr. Ajura bt. Abdul Jalil

 

Artikel Berkaitan

Prostesis Untuk Pesakit Sumbing Bibir Dan Lelangit

Pemulihan secara prostetik pesakit sumbing bibir dan lelangit ini akan memberikan mereka penampilan yang lebih baik, membolehkan pesakit berasa normal, meningkatkan harga diri, menawarkan peluang yang lebih besar untuk pekerjaan dan memenuhi potensi sosial mereka

Kehausan Gigi

Kehausan gigi berpunca daripada pelbagai faktor atau keadaan yang mengakibatkan kehilangan lapisan enamel dan dentin gigi.

Kecederaan Gigi

Kecederaan pada gigi dan tisu sekelilingnya seringkali berlaku.Kajian mendapati 1/3

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 219,239,056

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-19 14:25:57
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia