Home > Umum > Forensik > Siasatan Tempat Kejadian

Siasatan Tempat Kejadian

Tempat kejadian boleh didefinisikan sebagai lokasi di mana sesuatu kejadian jenayah berlaku sama ada di kawasan tertutup atau terbuka. Tempat kejadian merupakan lokasi di mana bahan bukti fizikal dijumpai oleh pegawai polis atau pegawai penyiasat.

Tempat kejadian tidak semestinya merupakan tempat berlakunya jenayah. Tempat kejadian boleh dibahagikan kepada primer, sekunder dan tertier. Contohnya, pegawai polis boleh menggunakan waran untuk menyelongkar rumah suspek. Walaupun suspek tidak melakukan jenayah di dalam rumahnya, bahan bukti mungkin boleh diperoleh. Penjenayah boleh menculik mangsa di satu kawasan (tempat kejadian pertama), memindah mangsa (kenderaan sebagai tempat kejadian kedua), dan melakukan jenayah di satu kawasan yang terpencil (misalnya, bunuh) dan kemudiannya membuang mayat mangsa di tempat kejadian keempat.

Semua kawasan dengan kemungkinan untuk mendapatkan bahan bukti mesti diurus dengan teliti. Tempat kejadian mesti dikawal ketat dan dilindungi daripada segala gangguan untuk tujuan memelihara bahan bukti. Keadaan ini dapat dicapai dengan mengelilingi kawasan kejadian dengan pita kuning untuk menghalang akses orang ramai selain pegawai penyiasat. Pegawai polis yang pertama hadir di tempat kejadian akan kordon persekitaran untuk mewujudkan satu perimeter siasatan.


Gambarajah 1 : Contoh tempat kejadian yang di’kordon’ (Sumber : http://en.wikipedia.org/wiki/File:US_Army_CID_agents_at_crime_scene.jpg)

Kumpulan yang terlibat dalam penyiasatan tempat kejadian ialah ketua kumpulan, pegawai polis yang pertama hadir, pengumpul bahan bukti, pelakar dan juru gambar. Peranan masing-masing melibatkan siasatan, lakaran tempat kejadian, tagging, pengumpulan dan fotografi bahan bukti. Keadaan asal tempat kejadian mesti direkod dengan teliti dan dipelihara. Setiap bahan bukti hanya boleh dikumpul dan dihantar untuk dianalisis selepas diambil gambar.

Terdapat langkah dalam menjalankan penyiasatan tempat kejadian, iaitu : (1) Kawalan tempat kejadian (2) Pemeriksaan tempat kejadian (Scene walk-through and dokumentasi), (3) Tagging and pengumpulan bahan bukti, (4) Lakaran tempat kejadian, (5) Penyimpanan dan analisa bahan bukti, and (6) Final walk-through and pelepasan tempat kejadian.

  1. Kawalan tempat kejadian

    Keutamaan semasa ketibaan pegawai penyiasat adalah untuk mengetahui sejauh mana jenayah berlaku dan mengawal perimeter tempat kejadian untuk melindungi bahan bukti dan mencegah kontaminasi. Pegawai penyiasat akan menghalang kawasan yang ditentukan dengan pita kuning dan hanya orang tertentu dibenarkan untuk masuk.

    Selepas tempat kejadian dikawal, sesi temuramah dengan mangsa, saksi atau suspek akan dijalankan untuk mendapatkan gambaran mengenai jangkaan dalam tempat kejadian. Pegawai polis yang pertama hadir di sini akan turut menyumbang kepada maklumat mengenai bahan bukti yang telah disentuh atau diubah posisinya.
  2. Pemeriksaan tempat kejadian (Scene walk-through dan dokumentasi)

    Langkah seterusnya adalah “walk through” kawasan kejadian untuk mengetahui asas jenayah terlibat, cara jenayah dilakukan, titik masuk dan keluar. Tujuan pemeriksaan tempat kejadian adalah untuk menentukan dengan teliti jenis bahan bukti yang mungkin hadir dan siasatan yang perlu dilakukan.

    Setelah keselamatan di tempat kejadian telah dijamin, fotografi akan dijalankan. Fotografi akan bermula daripada fotografi umum kepada yang spesifik. Kawasan tempat kejadian akan difotografi bermula dari kawasan tempat letak kenderaan, dari luar sehingga ke kawasan dalam di mana berlakunya jenayah. Semua titik masuk yang dicurigai di mana suspek memasuki rumah akan difotografi. Gambar tempat kejadian yang diperoleh akan mewakili satu proses yang menerangkan cara jenayah berlaku.

    Pada masa yang sama, penyiasat akan melakukan satu walk-through yang lebih terperinci untuk memeriksa bahan bukti dan mendokumentasikan kegiatan jenayah. Keadaan persekitaran akan diteliti dan perubahan sekeliling akan didokumentasikan, khasnya suhu bilik atau cecair yang belum kering.

  3. Tagging and pengumpulan bahan bukti

    Setelah seluruh tempat kejadian siap didokumentasikan, pegawai penyiasat akan memulakan pencarian untuk bahan bukti fizikal yang spesifik. Bahan bukti ini boleh termasuk jejak bukti seperti helaian fiber atau rambut, jejak tapak kaki, darah atau cecair biologi yang lain serta senjata api. Setiap bahan bukti akan di-tag dan dikumpulkan dengan penyepit dan sarung tangan untuk mengelakkan kontaminasi silang Dalam kebanyakan kes, sebahagian kecil bahan bukti akan dikumpul. Dalam kes tertentu, seluruh objek seperti perkakas, dinding, lantai diambil dan dihantar untuk dianalisis.

    Semua gambar objek perlu difotografi pada 90o kepada permukaan. Setiap bahan bukti perlu difotografi sebelum dikumpulkan dan diambil dengan skala seperti pen, pembaris, atau siling untuk menentukan saiz objek. Log fotografi perlu disimpan untuk identiti setiap objek dan susunan kronologi setiap bahan bukti yang diambil dari mula sehingga akhir. Sekiranya cap jari dijumpai, gambar one-to-one akan diambil.

  4. Lakaran tempat kejadian

    Setiap bahan bukti mesti diukur untuk menentukan lokasi geografi dan dilakarkan dalam bentuk lukisan. Pelakar akan membuat lakaran kasar dengan memasukkan indikator Utara benar dan setiap objek akan diukur berdasarkan satu titik rujuk. Lakaran ini berperanan sebagai komplimen kepada fotografi.

  5. Penyimpanan dan analisa bahan bukti

    Pegawai penyiasat akan mendokumen, memeterai dan melabel semua bahan bukti yang dikumpul untuk dihantar ke makmal bagi pemprosesan analisis. Berdasarkan jenis bahan bukti, sesetengah bahan bukti akan diuji pada tempat kejadian sebagai saringan sebelum dihantar untuk ujian terperinci di makmal. Makmal forensik akan membuat analisis pengesahan melalui ujian seperti kimia, mikroskopik, cap jari, DNA, toksikologi dan sebagainya.

  6. Final walk-through dan pelepasan tempat kejadian 

    Ketua kumpulan yang juga merupakan pegawai penyiasat akan melakukan final walk-through untuk memastikan tiada bahan bukti yang tertinggal. Apabila berpuas hati dengan semua pemeriksaan, pegawai penyiasat akan melepaskan tempat kejadian secara rasmi


    Gambarajah 2 : Jenis tempat kejadian. (a) Sungai (b) Hutan (c) Kawasan luar rumah. (Sumber : Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Kuala Lumpur)

    Rekonstruksi jenayah merupakan sebahagian daripada penyiasatan tempat kejadian. Rekonstruksi jenayah juga ialah disiplin dalam sains forensik di mana seseorang boleh membuat kesimpulan mengenai perbuatan jenayah dengan menggunakan pengalaman deduksi dan induktif, bahan bukti fizikal, cara saintifik dan hubungan di antara mereka.

    Rekonstruksi tempat kejadian diterangkan sebagai menyambungkan kesemua susunan teka-teki (jigsaw puzzle) tanpa mengetahui gambaran jenayah sebenar. Tambahan pula, kepingan teka-teki tidak semestinya wujud. Sekiranya terdapat teka-teki yang secukupnya dan disusun dengan teratur, gambaran tempat kejadian akan menjadi lebih jelas dan soalan yang ingin diketahui akan terjawab.

    Dalam sains forensik, terdapat tiga skop yang penting untuk mendapatkan jawapan dan mengenalpasti komponen dalam tempat kejadian : (1) rekonstruksi kejadian spesifik, (2) rekonstruksi peristiwa, dan (3) rekonstruksi bahan bukti fizikal. Rekonstruksi kejadian spesifik berhubung denagn kemalangan jalan raya, pengeboman, pembunuhan dan kemalangan yang lain. Rekonstruksi peristiwa berkait dengan perhubungan di antara bahan bukti, urutan kejadian dan identiti sesiapa yang berkaitan. Rekonstruksi bahan bukti fizikal menumpu pada barangan seperti senjata api, jejak darah, cebisan gelas, dan objek lain yang boleh digunakan untuk analisis DNA.

Rujukan

  1. Lectures of Faculty of Health Science, University Sains Malaysia, Health Campus, Kota Bahru, Kelantan
  2. Lectures of Forensic Laboratory, Maktab PDRM, Cheras, Kuala Lumpur.
Semakan Akhir : 23 Ogos 2019
Penulis : Khoo Lay See
Akreditor : Dr. Mohd Shah bin Mahmood
Penyemak : Dr. Khoo Lay See