Home > Umum > Forensik > Siapakah Waris Yang Sah?

Siapakah Waris Yang Sah?

Selepas proses pendaftaran mayat dijalankan di Jabatan Perubatan Forensik, proses yang terakhir yang seterusnya adalah penyerahan mayat kepada waris yang berhak atau wakil yang sah. Waris adalah pihak yang mempunyai pertalian perkahwinan, pertalian darah atau persaudaraan, kawan atau majikan kepada si mati. Manakala wakil pula adalah pihak ketiga yang mendapat kebenaran bertulis daripada waris atau kedutaan untuk menguruskan jasad mayat.

Semasa menuntut mayat, waris perlulah mengemukakan bukti bahawa beliau adalah waris yang sah dan yang paling dekat dengan si mati. Sebagai contoh, jika si mati sudah berkahwin, waris yang paling dekat adalah suami atau isteri. Dalam situasi yang tanpa suami atau isteri, ibu bapa adalah waris yang paling dekat. Jika wakil pula yang menuntut, pihak berkenaan perlulah mengemukakan surat wakil sama ada melalui kedutaan (jika si mati warga asing) atau surat kebenaran daripada waris yang terdekat. Waris juga perlu menunjukkan kad pengenalan dan salinan kad pengenalan akan dikepilkan bersama-sama dengan maklumat kematian.

Mengikut prosedur yang telah ditetapkan, sebelum waris menuntut mayat, beliau perlulah mengesahkan bahawa si mati adalah ahli keluarga kepada yang menuntut. Beliau perlu menandatangani borang pengesahan bahawa si mati adalah ahli keluarganya. Selepas itu, waris atau wakil perlu mengisi borang tersebut dan mendapatkan salinan borang Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk mendapatkan sijil kematian di Jabatan Pendaftaran Negara dalam  tempoh seminggu daripada tarikh menuntut mayat.

Apabila pihak Jabatan Perubatan Forensik menerima maklumat berkenaan waris atau wakil yang ingin menuntut mayat, kakitangan yang menjaga di kaunter akan menyemak terlebih dahulu sama ada mayat berkenaan berkaitan dengan kes polis atau tidak. Jika dikategorikan di bawah kes polis, kakitangan forensik yang bertugas di kaunter akan menghubungi pihak polis bagi mendapatkan kebenaran pelepasan. Sekiranya surat pelepasan diterima atau pihak polis telah memberi kebenaran untuk menyerahkan mayat terbabit, urusan seterusnya akan dilakukan.

Bagi semua kes kematian, waris akan dibawa untuk pengecaman mayat supaya tidak berlaku kesilapan semasa penyerahan mayat kepada pihak waris. Jika waris telah mengesahkan bahawa mayat berkenaan adalah ahli keluarga mereka, urusan penyerahan boleh dilakukan.

Kadang kala terdapat insiden salah faham antara ahli keluarga dalam menuntut mayat. Hal ini disebabkan berlakunya perselisihan faham di antara pihak mana yang perlu menuntut. Dalam hal ini, waris yang terdekat akan diberi hak untuk menuntut. Sekiranya si mati mempunyai lebih daripada seorang isteri, maka pihak Jabatan Perubatan Forensik akan memberi peluang kepada yang terlibat untuk berbincang terlebih dahulu supaya segalanya dapat diuruskan dengan aman dan tenteram. Walau bagaimanapun, jika salah seorang isteri telah menuntut mayat berkenaan maka isteri berkenaan akan terus diberi hak disebabkan beliau adalah waris yang terdekat. Hal ini berlaku jika salah seorang isteri tersebut datang terlebih dahulu untuk menuntut.

Mengikut piawaian yang telah ditetapkan oleh Jabatan Perubatan Forensik, semua mayat yang dikategorikan sebagai kematian biasa, tempoh untuk menyerahkan mayat kepada waris tidak boleh melebihi masa 3 jam dari masa mayat didaftarkan di kaunter Jabatan Perubatan Forensik. Walau bagaimanapun, penyerahan hanya akan dilakukan jika waris atau wakil yang sah ada dan menuntut pada masa itu. Terdapat juga pihak waris yang meminta untuk menyimpan mayat berkenaan sementara untuk menguruskan kenderaan atau urusan pengendalian jenazah seperti mandi kapan dan lain-lain.

Bagi kematian bukan biasa, iaitu kematian yang melibatkan kes polis, urusan penyerahan mayat kepada waris atau wakil mungkin mengalami kelewatan kerana urusan bedah siasat mayat dan urusan-urusan lain yang berkaitan dengan penyiasatan oleh pihak polis.

Sebarang urusan pengendalian jenazah seperti mandi kapan adalah di bawah tanggungan persendirian oleh pihak waris atau wakil yang menuntut. Pihak Jabatan Perubatan Forensik tidak akan terlibat dalam urusan pengendalian tersebut. Walau bagaimanapun, pihak Jabatan Perubatan Forensik akan menyediakan tempat untuk menyempurnakan urusan tersebut. Namun, bukan semua Jabatan Perubatan Forensik di semua hospital Kementerian Kesihatan Malaysia mempunyai tempat untuk pengendalian jenazah.

Jika mayat yang didaftarkan di Jabatan Perubatan Forensik tidak mempunyai waris atau mempunyai waris yang tidak mahu menguruskan jenazah tersebut, maka mayat berkenaan akan diuruskan oleh pihak hospital melalui Jabatan Agama yang telah sah dilantik. Jika mayat yang mempunyai nama dan identiti sah, pihak Jabatan akan meminta pihak polis untuk mencari waris berdasarkan pengenalan yang ada. Sekiranya dalam tempoh 3 hari (untuk mayat beragama Islam) dan 14 hari (untuk mayat bukan beragama Islam) mayat berkenaan masih belum dituntut, maka pihak hospital akan mengambil alih pengurusan jenazah tersebut tanpa perlu memaklumkan kepada waris berkenaan. Bagi kes polis, kebenaran hanya diperlukan daripada pihak polis dan pihak kedutaan (bagi kematian biasa warganegara asing).

Semakan Akhir : 23 Ogos 2019
Penulis / Penterjemah : Mohd Hilmi bin Saidin
Akreditor / Penyemak : Dr. Khoo Lay See