Home > Umum > Terapi Bahasa & Pertuturan > Siapa itu Terapis Pertuturan-Bahasa

Siapa itu Terapis Pertuturan-Bahasa

Pengenalan

Terapis pertuturan-bahasa (speech-language therapist) adalah ahli profesional yang telah dilatih untuk mengendalikan pesakit yang bermasalah bahasa, pertuturan, dan penelanan. Pada masa kini, terapis pertuturan-bahasa di Malaysia berkhidmat di hospital-hospital kerajaan dan swasta, pusat intervensi awal, serta badan-badan bukan kerajaan yang berkaitan.

Sumber: hus.moh.gov.my

Perkhidmatan yang diberikan melibatkan penilaian, diagnosis, konsultasi, dan rawatan untuk kecelaruan yang berkaitan:

Komunikasi

  • Masalah pendengaran / pekak – melibatkan terapi untuk perkembangan kemahiran mendengar, bahasa dan pertuturan dengan alat bantuan pendengaran atau implant koklea.  Kaedah komunikasi augmentatif dan alternatifmungkin diperlukan oleh sesetengah pesakit.Masalah komunikasi dewasa – kesukaran berkomunikasi di kalangan pesakit dewasa yang umumnya disebabkan oleh strok atau kecederaan otak, Terapi melibatkan strategi berkomunikasi dan penggunaan komunikasi augmentatif dan alternatif, contohnya penggunaan gambar (picture communication system) atau gerak badan (gestural communication).

  • Masalah pragmatik bahasa – kesukaran dalam penggunaan bahasa untuk tujuan sosial dan berkomunikasi yang lazimnyadialami oleh pesakit yang didiagnosa dengan autisme (Autism Spectrum Disorder) atau pesakit strok. Terapi melibatkan penggunaan strategi komunikasi berkesan dan komunikasi augmentatif dan alternatif.

Sumber: www.spasticpenang.org.my

Bahasa

  • Masalah kelewatan bahasa dan pertuturan kanak-kanak – kelewatan dalam perolehan kemahiran bahasa dan pertuturan. Melibatkan terapi untuk meningkatkan kefahaman dan penghasilan bahasa.

  • Masalah bahasa dan pertuturan dewasa – kesukaran dalam kefahaman dan penggunaan bahasa yang umumnya diakibatkan oleh strok atau kecederaan otak. Melibatkan rehabilitasi atau pemulihan kefahaman dan penggunaan bahasa.

Sumber: bharian.com.my

Pertuturan

  • Kecelaruan bunyi pertuturan – masalah penghasilan bunyi pertuturan (pelat). Melibatkan terapi bagi memperbaiki cara penghasilan bunyi pertuturan.

  • Kecelaruan suara – masalah suara seperti suara garau atau kasar, dan kehilangan suara. Melibatkan terapi bagi memperbaiki cara penggunaan suara dan latihan untuk meningkatkan kualiti suara.

  • Kecelaruan kelancaran pertuturan – masalah kelancaran dalam pertuturan (kegagapan). Terapi melibatkan penggunaan strategi bagi mengurangkan kegagapan dan juga latihan bagi memperbaiki cara pertuturan.

  • Kecelaruan resonan – masalah kesengauan yang diakibatkan oleh masalah sumbing bibir dan/atau lelangit atau kecelaruan neurologi. Melibatkan terapi bagi memperbaiki cara penghasilan pertuturan dan latihan untuk mengurangkan kesengauan.

  • Masalah apraxia – kesukaran merancang dan mengkoordinasi pergerakan untuk menghasilkan bunyi pertuturan dan mengakibatkan kecelaruan percakapan. Terapi melibatkan latihan bagi memperbaiki koordinasi dan penggunaan kaedah komunikasi augmentative dan alternatif sekiranya perlu.

  • Masalah dysarthria – kesukaran pertuturan yang diakibatkan oleh kelemahan otot-otot yang terlibat dalam pertuturan . Terapi melibatkan latihan bagi meningkatkan kekuatan otot dan penggunaan kaedah komunikasi augmentatif dan alternatif sekiranya perlu.

Penelanan

  • Masalah penelanan dewasa (dysphagia) – masalah menelan di kalangan pesakit dewasa yang lazimnya diakibatkan oleh strok, kecelaruan neurologi atau kanser di bahagian kepala dan leher. Melibatkan penilaian dan diagnosa masalah sama ada secara subjektif atau objektif (penggunaan skop dan pengimejan diagnostik) serta konsultasi berkenaan modifikasi diet, dan latihan untuk meningkatkan kemahiran menelan.

  • Masalah penelanan bayi dan kanak-kanak (feeding) – masalah menelan di kalangan pesakit kanak-kanak yang lazimnya diakibatkan oleh kecelaruan genetik (contohnya Down’s syndrome, sumbing bibir dan lelangit, cerebral palsy, dan sebagainya) atau masalah koordinasi penelanan. Terapi melibatkan diagnosa masalah sama ada secara subjektif atau objektif (penggunaan pengimejan diagnostik) serta konsultasi berkenaan cara dan posisi penyusuan atau penyuapan, serta latihan untuk meningkatkan kemahiran menelan.

Sumber: mediamalaya.com

Kesimpulan

Terapis pertuturan-bahasa seringkali berkerjasama dengan pelbagai ahli profesional lain termasuk doktor, audiologis (pegawai pemulihan pendengaran), terapis cara kerja (occupational therapist), pegawai pemulihan anggota (physiotherapist), pegawai dietetik (dietitian), jururawat dan  guru, bagi memastikan pesakit menerima rawatan yang menyeluruh pada setiap masa.

Ibu bapa, ahli keluarga, dan penjaga pesakit yang menerima terapi pertuturan-bahasa memainkan peranan yang amat penting dalam memastikan keberkesanan rawatan pesakit. Ini kerana terapi pertuturan memerlukan usaha mereka untuk mempelajari cara-cara merangsang bahasa, melatih pertuturan, melakukan terapi penelanan, dan sebagainya di dalam sesi terapi dan seterusnya melaksanakan teknik-teknik berkaitan di rumah dengan kerap.

Semakan Akhir : 26 Mei 2014
Penulis : Siti Suhana bt. Mohd Khalid