Home > Bayi & Kanak-Kanak > Seronoknya Bercakap dengan Anak

Seronoknya Bercakap dengan Anak

Pengenalan

Di Malaysia, tahap kesedaran ibu bapa terhadap kebolehan anak-anak bertutur semakin meningkat. Apabila anak-anak mula menunjukkan kelewatan dari segi pertuturan ibu bapa mula berasa risau. Ada pelbagai sebab mengapa anak-anak masih belum bertutur walaupun anak-anak sebayanya sudah petah berkata-kata. Salah satu daripadanya adalah pengaruh persekitaran iaitu dari segi komunikasi ibu bapa dengan anak-anak atau sesama adik-beradik. Tiada anak yang setiap satu personalitinya sama seperti anak-anak yang lain. Setiap anak ada keunikan mereka yang tersendiri. Oleh itu, di sini terdapat tips-tips yang berguna bagi membantu ibu bapa dalam menggalakkan anak-anak bercakap dengan cara yang menyeronokkan.

Sumber: ps2unic.wordpress.com

Pertama: Lakukan aktiviti bersama

Anak-anak akan berasa amat gembira sekiranya ibu bapa dapat bersama-sama mereka dalam sesuatu aktiviti yang dijalankan. Walaupun hanya bermain, banyak rangsangan-rangsangan bahasa yang boleh dilakukan semasa menjalankan aktiviti tersebut. Jadilah ibu bapa yang kreatif supaya anak anda tidak cepat bosan.

Kedua: Buat dan terangkan

Apabila anda berkomunikasi dengan anak anda, lakukanlah aktiviti dengan pelbagai aksi. Apabila anda melakukan aksi-aksi tersebut bersama terangkanlah apa yang sedang anda lakukan.  Contohnya, jika anda melompat sebutlah “lompat, lompat! kita lompat tinggi-tinggi”.

Ketiga: Ceritakan benda yang ada/boleh dilihat

Ketika melakukan aktiviti bersama, gunakan alatan yang dapat menambahkan perbendaharaan kata anak anda. Semasa anak anda sedang bermain dengan alat-alat tersebut, terangkanlah kepada mereka apa yang sedang mereka buat atau lihat. Contohnya, jika anak anda sedang bermain bola maka sebutlah “baling bola”, “bola bulat dan besar”.

Keempat: Huraikan apa yang anak cakapkan

Setelah anak anda mula mengucapkan  sesuatu, cuba huraikan apa yang telah disampaikan oleh anak anda. Dengan cara ini, anak anda akan berminat untuk meneruskan percakapan mereka Contohnya, sekiranya anak sedang bermain anak patung dan menyebut “minum” ketika memberi minum pada anak patungnya maka anda boleh cuba huraikan perbuatan minum tersebut seperti “ya, baby minum air susu”, “mmm..sedap”.

Kelima: Tanya soalan terbuka

Cubalah bertanya soalan setelah memberi seberapa banyak maklumat kepada anak anda bagi menguji kemampuan mereka bertutur. Soalan-soalan berbentuk terbuka adalah sangat digalakkan. Hal ini  akan memberi peluang untuk anak anda menjawab dengan panjang lebar berbanding soalan tertutup. Contoh soalan terbuka ialah “Cuba ceritakan……”.

Keenam: Beri masa untuk respon

Sekiranya anda sudah bertanya kepada anak anda tetapi anak anda mengambil masa untuk memberikan respon, maka berilah dia masa. Ini adalah kerana jika anda  terus memberi respon kepada anak dari segi jawapan maka dibimbangi anak akan  berputus asa dan berasa sukar untuk bercakap. Namun jika anda memberi masa kepada anak anda, mereka akan berusaha untuk menjawab pertanyaan tersebut.

Ketujuh: Ulangi percakapan anak dan berikan maklumat tambahan

Apabila anak anda cuba bertutur walaupun menggunakan ayat yang ringkas, anda perlu memberi respon dengan mengulangi semula apa yang diujarkan oleh anak anda. Apabila anda mengulang semula, anak akan berasa suka untuk  meneruskan percakapan kerana ini  menunjukkan anda sedang memberi tumpuan kepada mereka. Bila ini berlaku, anak akan semakin berusaha untuk bertutur. Adalah lebih baik sekiranya anda  cuba mengulang dan menambah maklumat sedia ada dengan memanjangkan ayat yang diujarkan oleh anak anda.

Kelapan: Beri ganjaran

Ganjaran yang diterima daripada ibu bapa adalah sesuatu yang menyeronokkan anak-anak. Oleh itu, apabila anak anda menyebut sesuatu dengan betul atau menyatakan hanya sebaris ayat, berilah ganjaran kepada mereka. Ganjaran tidak semestinya dalam bentuk barangan. Senyuman, pujian dan keseronokan yang ditunjukkan pada riak muka anda  juga sudah cukup menjadi ganjaran kepada mereka untuk lebih bertutur. Contohnya, pujilah dengan menyebut “bagus!”, “pandainya” atau “ya, betul tu” supaya dapat memberi galakan lagi kepada anak anda.

Sumber: gambargambar pelik.com

Kesembilan: sentiasa mendengar

Dengarlah anak anda bercakap dengan menggunakan perasaan dan penglihatan anda dan bukan hanya dengan telinga semata-mata. Pendengar yang baik adalah pendengar yang diam (silent listener). Sentiasa memberi maklumbalas yang dapat membantu anak anda lebih berminat untuk bercakap. Namun begitu, anda  tidak digalakkan untuk mencelah selalu supaya anak  tidak berasa  terganggu ketika mereka  cuba untuk bercakap.

Apa perlu dilakukan bila tidak faham

Ada juga ibu bapa yang kadangkala mengalami kesukaran ketika berkomunikasi dengan anak-anak. Hal ini berlaku apabila anak cuba untuk menyebut sesuatu perkataan dan anda tidak memahami perkataan tersebut. Di sini terdapat beberapa cara yang  boleh digunakan oleh ibu bapa sekiranya masalah ini berlaku:

  • Cuba dapatkan maklumat mengikut konteks dan keadaan pada ketika itu. Adakah ianya sesuatu benda yang ada di dalam bilik itu? Adakah ianya tentang cerita yang ditonton di televisyen pada ketika itu? Atau adakah berkaitan dengan makanan yang sedang dimakan?

  • Minta anak anda untuk menunjukkan apakah benda atau perkara yang cuba disebut oleh mereka.

  • Jika ianya melibatkan objek, tanyalah anak anda tentang fungsi objek tersebut. Contohnya, jika dia tidak menyebut ‘cawan’ dengan betul, maka cubalah tanya “adakah itu digunakan untuk minum?” dan sebagainya.

  • Kadang-kadang agak sukar untuk memahami apa yang disebut oleh anak anda. Anda  boleh menyatakan bahawa anda tidak faham apa yang mereka cuba sampaikan dan ianya tidak salah untuk berbuat demikian. Anda juga boleh mencuba untuk menyebut perkataan yang hampir sama dengan sebutannya atau senyum dan anggukkan sahaja apa yang disebut oleh mereka. Ini akan lebih membantu berbanding jika anda  terlalu berlebihan dalam membetulkan sebutan anak anda.

Permainan atau aktiviti yang seronok untuk dicuba

Aktiviti-aktiviti akan menjadi lebih seronok jika dilakukan bersama. Di sini disertakan senarai-senarai aktiviti dan permainan yang boleh dicuba oleh anda. Tidak perlu bimbang kerana disamping bermain atau melakukan aktiviti-aktiviti ini kita boleh menggalakkan anak bercakap  dengan menggunakan tips-tips di atas. Selamat mencuba!

Alat-alat Mainan

Aktiviti

  • Kenderaan (mainan kereta, lori, motorsikal dan sebagainya)
  • Berkelah
  • Lego
  • Membeli belah
  • anak patung – untuk kanak-kanak perempuan
  • bercerita berdasarkan buku bergambar
  • Boneka tangan
  • Bermain alat muzik
  • Susun suai (puzzle)
  • Menonton CD pendidikan
  • Bola
  • Permainan imiginasi (menjadi Doktor, guru dan sebagainya)
  • Bermain tanah liat
  • Bermain di taman permainan

Rujukan

  1. Howard BJ. 2002. Communicating with children. In Jellinek M, Patel BP, Froehle MC, eds., Bright Futures in Practice: Mental Health—Volume II. Tool Kit. Arlington, VA: National Center for Education in Maternal and Child Health. Dipetik dari www.brightfuture.org

Semakan Akhir : 06 Mac 2014
Penulis : Haryani bt. Harun
Akreditor : Zaidi bin Ya’acob