Home > Umum > Forensik > Serangga Dan Dunia Forensik

Serangga Dan Dunia Forensik

Pengenalan Kepada Entomologi Forensik

Entomologi adalah cabang sains yang mengkaji mengenai serangga. Perkataan ‘entomology’ berasal dari dua perkataan Latin – entomon bermakna serangga dan logos bermakna ilmu pengetahuan. Serangga merupakan kelompok haiwan yang terbesar bilangan spesisnya berbanding lain-lain haiwan ataupun tumbuhan. Sehingga kini terdapat sekitar 1 juta spesis serangga yang telah direkodkan. Bilangan spesis yang sebenarnya tidak diketahui kerana masih banyak yang belum direkodkan kewujudannya. Kepentingan pengetahuan entomologi dapat dilihat daripada peranan serangga secara langsung maupun tidak langsung dalam kehidupan manusia di bumi ini.

Dalam bidang forensik, ilmu berkaitan serangga dikenali sebagai entomologi forensik. Ia digunakan pertama kali pada abad ketigabelas dan berkembang dengan begitu pesat pada abad kesembilanbelas. Entomologi forensik banyak membantu dalam mengenalpasti masa dan tempat kematian jika mayat dijumpai dalam keadaan reput atau berulat.

Kepentingan Entomologi Forensik

Peranan entomologi forensik adalah dalam anggaran masa kematian, tempat kematian, sebab-sebab kematian dan penyalahgunaan dadah/racun sebagai agen penyebab kematian (menganalisis larva bagi kes keracunan dan ujian DNA).

Serangga yang boleh diperolehi pada mayat dibahagikan kepada 4 jenis iaitu Necrophages, Omnivores, Parasites and Predators dan Incidentals. Necrophages adalah peringkat pertama iaitu spesis yang mula-mula hinggap pada mayat termasuklah lalat dan kumbang. Peringkat Omnivores melibatkan spesis seperti semut, tebuan dan beberapa spesis kumbang. Peringkat Parasites and Predators adalah peringkat lalat yang belum matang akan dikuasai oleh kumbang, lalat dewasa dan tebuan. Pada peringkat akhir iaitu peringkat Incidentals serangga seperti lipan dan labah-labah akan menggunakan mayat sebagai habitat semulajadi mereka. Bagi keempat-empat peringkat ini, masa kematian dan tempat kematian boleh diperolehi dengan menganalis spesis serangga yang hinggap pada mayat beserta peringkat kitaran hidup serangga terbabit.

Dari semua jenis serangga yang hinggap pada mayat, serangga yang paling penting untuk dianalisis adalah lalat (Blowfly). Kitaran hidup lalat ini adalah bermula dari telur -›larva -› pupa -› lalat dewasa. Larva lalat mempunyai 3 peringkat dari peringkat pertama sehingga peringkat ketiga. Setiap peringkat kitar hidup lalat ini mempunyai jangkahayat tertentu yang digunakan dalam pengiraan masa kematian.

Aplikasi Entomologi Forensik Di Malaysia

Di Malaysia, bidang entomologi forensik sedang berkembang dengan pelbagai cara dan pelbagai kajian sedang dilakukan. Terdapat beberapa agensi kerajaan dan swasta yang menawarkan perkhidmatan entomologi seperti Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan Universiti Kebangsaan Malaysia. Setiap jenis serangga yang dijumpai pada mayat akan diambil dan dihantar ke makmal untuk dianalisa spesis dan kitaran hidupnya. Sebaik-baiknya serangga atau larva atau telur dikutip di tempat mayat ditemui supaya anggaran masa kematian tidak berbeza dengan masa sebenar. Walaubagaimanapun, cuaca dan suhu juga memainkan peranan.  Suhu persekitaran juga perlu diambil disamping keadaan tempat mayat dijumpai. Persekitaran basah atau kering akan memainkan peranan dalam kitaran hidup serangga tertentu dan sedikit sebanyak mempengaruhi jenis spesis serangga yang menghinggapi mayat.

Last Reviewed : 21 April 2014
Writer : Mohd Hilmi b. Saidin
Accreditor : Dr. Mohamad Azaini b. Ibrahim