Sendi

Pengenalan

Pergerakan sendi semakin perlahan dengan pertambahan umur disebabkan perubahan yang berlaku dalam sendi. Reaksi tindak balas juga turut perlahan disebabkan perubahan pada sistem saraf pusat di mana masa antara otak menerima isyarat dan tindak balas terhadap isyarat meningkat dengan umur.

Pada individu yang sihat, permukaan sendi diselaputi oleh rawan (cartilage) untuk memastikan permukaan sendi licin dan teguh untuk mengalas impak tulang. Sendi juga diselaputi oleh bendalir ‘synovial’ yang membantu melicinkan pergerakan sendi.

Dengan peningkatan usia, ketebalan rawan sendi menurun. Permukaan sendi menjadi tidak rata dan menghalang pergerakan yang lancar serta mudah terdedah kepada kecederaan. Ligamen yang menjadi penghubung antara sendi akan menjadi kurang kenyal dan elastik menyebabkan sendi menjadi ketat dan pergerakannya terhad. Ini disebabkan oleh perubahan biokimia dalam protein yang membina ligamen. Ligamen akan menjadi mudah koyak dan proses penyembuhannya mengambil masa yang lama.

Kecederaan yang berulang-ulang dan penggunaan sendi yang berterusan sepanjang hayat boleh menyebabkan osteoartritis pada sendi, keadaan yang sering berlaku di kalangan warga emas. Rawan sendi yang terlibat akan menjadi haus dan seterusnya permukaan sendi menjadi retak dan pecah. Ini menghalang pergeseran sendi yang lancar dan menyebabkan  berlakunya inflamasi (keradangan). Seterusnya sendi akan kehilangan strukturnya yang normal.

Osteoartritis boleh berlaku di mana-mana bahagian sendi, khususnya di bahagian leher, tulang belakang, pinggul dan lutut. Osteoartritis pada sendi lutut akan menyebabkan terjejasnya kualiti hidup seseorang individu kerana ia adalah sendi yang menyokong berat badan secara keseluruhannya.

Gejala dan Tanda

Gejala yang paling biasa adalah kesakitan, pembengkakan dan pergerakan sendi yang terhad. Ianya bergantung kepada tahap kerosakan rawan sendi dan inflamasi yang berlaku. Jika besar kerosakannya,  sakit teramat sangat boleh berlaku walaupun dengan pergerakan yang minima.

Komplikasi

  • Jika anda menderita akibat osteoartritis, ia akan menyukarkan pergerakan anda terutamanya jika ia melibatkan lutut dan tulang belakang. Risiko jatuh juga akan meningkat.
  • Keupayaan untuk menguruskan diri sendiri juga akan terjejas jika keadaan sendi menjadi lebih teruk. Penggunaan ubat-ubatan yang kerap tanpa preskripsi doktor untuk mengawal kesakitan sendi mungkin membawa kepada masalah berpunca daripada ubat-ubatan tersebut seperti masalah ulser perut, masalah ginjal atau masalah jantung.

Rawatan

  • Jika anda mengalami masalah ini, dapatkan pemeriksaan  untuk memastikan jenis penyakit sendi yang anda hidapi. Anda mungkin memerlukan ubat tahan sakit untuk mengurangkan kesakitan tetapi kesan sampingan ubat perlu diambil kira jika diambil berterusan.
  • Doktor akan merujuk anda kepada jurupulih anggota dan jurupulih cara kerja untuk membantu anda mengurangkan rasa sakit serta mengekalkan fungsi sendi anda sebaik yang mungkin. Jurupulih anggota akan melakukan dan menunjukkan anda senaman yang sesuai. Jurupulih cara kerja akan mencadangkan alat-alat bantuan tertentu yang boleh menolong anda menjalani aktiviti harian anda.
  • Berat badan perlu dikurangkan jika berlebihan.
  • Akhirnya setelah rawatan yang diberikan tidak memberi kelegaan dan meningkatkan fungsi sendi, pembedahan seperti penggantian sendi lutut bagi osteoartritis sendi, merupakan satu lagi cara untuk merawat masalah ini.
Semakan Akhir : 28 Ogos 2020
Penulis : Dr. Sanidah binti Md. Ali
Penyemak : Dr. Ho Bee Kiau