Home > Umum > Pemulihan Perubatan (Carakerja) > Ortopedik > Senaman Tangan Di Rumah Untuk Meningkatkan Kefungsian Tangan

Senaman Tangan Di Rumah Untuk Meningkatkan Kefungsian Tangan

Pendahuluan

Tangan terdiri daripada  pelbagai jenis sendi,  ligamen, tendon dan saraf yang membantu kita melakukan aktiviti seharian. Tetapi,  penggunaan tangan yang berterusan boleh mengakibatkan risiko kecederaan sekaligus mengganggu pelaksanaan aktivti harian kita.

Definisi kefungsian tangan

Kefungsian tangan adalah di mana tangan boleh melakukan pergerakan-pergerakan atau aktiviti-aktiviti yang bermakna seperti memegang dan melepaskan  objek, mencubit, merasa sesuatu dengan tangan, dan memanipulasi objek.

Genggaman boleh dibahagikan kepada genggaman kuat dan cubitan. Genggaman kuat adalah seperti menarik tali, membawa bola besar atau membawa beg. Cubitan adalah seperti menggunakan kunci, menulis, mengangkat pinggan dan menyelak muka surat buku dan  surat khabar.

Semua genggaman ini menjadi tidak bermakna sekiranya tiada kebolehan melepaskan semula genggaman tersebut. Semua genggaman ini memerlukan kekuatan otot, koordinasi jari-jari, sensasi yang baik dan kestabilan keseluruhan anggota lengan.

Jenis-jenis kecederaan tangan

Kecederaan tangan boleh disebabkan oleh penggunaan tangan yang berlebihan, masalah degenerative dan kemalangan. Selalunya kecederaan tangan berlaku semasa:

  • Bersukan atau aktiviti rekreasi
  • Semasa bekerja
  • Terjatuh
  • Kemalangan jalan raya

Jenis-jenis kecederaan tangan  boleh berlaku akibat kemalangan adalah  seperti berikut:

  • Kepatahan tulang
  • Terseliuh
  • Kecederaan pada saraf
  • Kecederaan pada tendon
  • Sendi terkeluar

Kecederaan disebabkan penggunaan tangan yang berlebihan serta berulang-ulang tanpa mengambil langkah berjaga-jaga boleh mengakibatkan banyak tekanan diberikan ke atas sendi, selalunya aktiviti yang sama ini dilakukan secara berulang kali dalam jangka masa yang panjang. Situasi seperti ini boleh menyebabkan kondisi seperti berikut:

  • Carpal tunnel syndrome. Kondisi ini terjadi disebabkan oleh pembengkakan pada tisu di sekeliling tendon pada lengan sekaligus menekan saraf median/tendon dan mengakibatkan rasa mencucuk, kebas, lemah atau sakit pada jari dan tangan.
  • De Quervain’s tenosynovitis. Kondisi ini adalah keradangan tendon yang mengawal pergerakan ibu jari mengakibatkan sakit, lemah atau rasa kebas pada ibu jari.
  • Osteoarthritis. Kondisi ini adalah radang sendi atau tisu sendi yang menunjukkan gejala sakit sendi, kaku, bengkak dan kerosakan sendi.

Masalah yang dihadapi akibat kecederaan tangan

Selepas mengalami kecederaan tangan selalunya pesakit akan mengalami masalah dalam kefungsian tangan seperti melakukan aktiviti harian, bekerja, menjalankan hobi, bersukan, aktiviti sosial dan melaksanakan aktiviti keagamaan.

Masalah yang selalu dihadapi selepas kecederaan tangan adalah seperti berikut:

  • Bengkak
  • Keradangan/inflamasi
  • Sendi menjadi kaku
  • Sakit
  • Pergerakan sendi terhad
  • Kurang rasa
  • Hipersensitiviti/ Hyposensitiviti
  • Kecacatan
  • Kurang kekuatan tangan

Tip senaman rumah  yang betul   

Masalah kefungsian tangan boleh dipulihkan dengan mengamalkan senaman tangan yang betul.

Manfaat senaman tangan yang betul dapat membantu:

  • Mengurangkan sakit
  • Mengelak sendi daripada menjadi kaku
  • Meningkatkan pergerakan sendi
  • Mengurangkan hipersensitiviti
  • Mengelakkan berlakunya kecacatan
  • Meningkatkan kekuatan tangan
  • Mengawal bengkak

Antara senaman tangan yang sesuai dilakukan di rumah adalah seperti di bawah:

  1. Senaman Pergerakan genggam dan lepas
  • Letakkan bola di dalam tangan dan genggam kuat-kuat. Kemudian luruskan jari. Lakukan berulang kali. 

    2. Senaman Pergerakan rapat dan renggang jari

  • Luruskan dan renggangkan ibu jari dan jari. . Kemudian, genggam kuat-kuat. Letakkan gelung getah di jari dalam keadaan jari menguncup dan kemudian renggangkan jari.

    3. Senaman pergerakan mencubit

  • Temukan ibu jari dengan jari telunjuk seperti  mencubit. Untuk kuatkan cubitan gunakan ibu jari, jari telunjuk dan jari hantu dengan memicit penyepit baju.

  4. Senaman pergerakan pergelangan sendi tangan

  • Letakkan tangan di atas balang secara melintang . Lakukan pergerakan ke depan dan ke belakang bagi senaman pergelangan tangan.
  • Buka dan tutup botol untuk menggerakkan pergelangan tangan ke kiri dan  ke kanan.

   5. Senaman Pergerakan Ibu Jari

  • Untuk senaman ibu jari tekan penutup pam ke atas dan ke bawah.

  6. Senaman manipulasi objek

 
  • Ambil duit siling dengan menggunakan ibu jari dan jari telunjuk. . Kemudian, masukkan duit siling ke dalam bekas seperti tabung duit siling satu persatu.
  • Ambil 3 tali dan silangkan tali seperti mengikat rambut.

  7. Senaman menambahbaikan fungsi sensori tangan/ deria sentuhan

  • Ambil kapas atau tuala dan gosokkan perlahan-lahan di kawasan yang hypersensitif atau hyposensitif.
  • Masukkan kacang atau beras ke dalam bekas. Kacau kacang atau beras dengan tangan.

  8. Senaman pergerakan tendon tangan

  • Senaman ini membolehkan setiap tendon tangan bergerak di tahap maksima. Ia juga boleh membantu mengurangkan gejala bengkak di tangan.
  • Mulakan dengan jari anda lurus setiap kali anda melakukan senaman ini.
  • Kemudian hanya bengkokkan pergelangan tangan dan buku jari. Rehat dan ulang.

  • Lakukan setiap jenis genggaman yang ditunjukkan di bawah, satu demi satu.
Genggaman cangkuk Genggaman lurus Genggaman penuh-penuh
  • Bengkokkan ibu jari anda ke dalam  tapak tangan sejauh yang boleh, kemudian luruskan ibu jari.

Rujukan

  1. Hand and Upper Extremity Rehabilitation- A Practical Guide Third Edition
  2. Hand Rehabilitation- A Practical Guide Second Edition, Churchill Livingston
  3. http://www.healthlinkbc.ca/healthtopics/content.asp?hwid=handi
  4. The Practice of Occupational Therapy- An Introduction To The Treatment Of Physical Dysfunction, Edited by Ann Turner

 

Semakan Akhir : 20 Jun 2017
Penulis : Zarina Binti Ghazali
Akreditor : Ooi Siew Chen