Home > Bayi & Kanak-Kanak > Perut > Sembelit > Sembelit di kalangan Bayi

Sembelit di kalangan Bayi

Sembelit adalah keadaan di mana seorang kanak-kanak atau bayi menghasilkan najis yang keras atau kurang kekerapan ke tandas membuang najis. Frekuensi pembuangan najis untuk pelbagai peringkat umur adalah seperti berikut :

  1. Bayi yang menyusu badan mungkin membuang air besar selepas setiap penyusuan atau sekali dalam tempoh 7 hari.
  2. Bayi menyusu formula atau kanak-kanak mungkin membuang najis sekali setiap 2-3 hari.

Apa yang lebih penting adalah konsistensi najis daripada kekerapan pembuangan air besar. Masalah ini sering terjadi di kalangan kanak-kanak yang sedang belajar mengawal pembuangan najis dan selepas keadaan yang menyakitkan atau menakutkan sewaktu pembuangan najis.

Sembelit boleh menyebabkan :

  • Sakit perut yang datang dan pergi (“abdominal cramps”).
  • Rasa tidak selesa.
  • Luka di dubur (“anal fissure”) yang boleh menyebabkan kesakitan dan pendarahan sewaktu membuang najis.
  • Sering terjadi di mana kanak-kanak yang mengalami masalah ini cuba menahan pembuangan najis untuk mengelakkan rasa sakit. Contohnya, mereka mungkin mencangkung (“squatting”), duduk sambil menyilangkan kaki atau enggan untuk duduk di mangkuk tandas.
  • Kadang-kala ketulan najis yang keras boleh dirasa di abdomen (perut).

Masalah sembelit berpanjangan boleh menyebabkan :

  • Enkoparesis atau keadaan di mana najis keluar tanpa sedar. Selalunya dilaporkan oleh ibu bapa sebagai tompokan najis cair di seluar dalam anak mereka.

Sebab terjadinya sembelit :

  • Semula jadi iaitu sesetengah kanak-kanak mengalami keadaan di mana usus besar mereka kurang aktif daripada biasa (slow colonic transit).
  • Boleh terjadi apabila kanak-kanak tidak mengendahkan rasa (urge) untuk membuang air besar kerana terlalu sibuk bermain atau mungkin enggan menggunakan tandas yang tidak biasa mereka gunakan contohnya sewaktu di sekolah.
  • Akibat menahan pembuangan najis untuk mengelakkan rasa sakit. Ini akan memburukkan lagi masalah sembelit yang dialami.
  • Ianya boleh diburukkan lagi dengan tabiat pemakanan yang kurang serat, kurang air atau terlampau banyak produk tenusu.
  • Jarang berlaku di mana sembelit disebabkan oleh penyakit seperti ketiadaan saraf di usus besar (Hirschprung’s disease), masalah saraf tunjang (spinal cord defect), masalah kurang hormon tiroid (hypothyroidism) dan masalah metabolik seperti tinggi tahap kalsium di dalam darah (hypercalcaemia).

Rawatan :

  1. Latihan pembuangan najis : Selalunya dilakukan selepas waktu sarapan, makan tengah hari dan makan malam. Biasanya, seseorang akan mengalami rasa untuk membuang najis selepas makan kerana “gastrocolic reflex”. Kanak-kanak digalakkan duduk di mangkuk tandas yang bersesuaian saiznya dengan saiz kanak-kanak tersebut (penggunaan potty amat digalakkan jika perlu). Mereka perlu duduk di mangkuk tandas selama 2-3 minit walaupun telah membuang najis sebelum itu. Penggunaan “sticker” yang dilekatkan di diari atau carta yang direka dengan kreatif untuk memberikan motivasi boleh membantu.
  2. Penggunaan mangkuk tandas yang bersesuaian atau “potty” boleh mengelakkan rasa takut untuk jatuh apabila menggunakan tandas biasa. Ubat julap turut membantu mengelakkan rasa sakit apabila membuang najis yang keras.
  3. Pengambilan makanan tinggi serat seperti buah-buahan dan sayur-sayuran adalah digalakkan. Mengehadkan pengambilan susu lembu kepada 500ml sehari (untuk kanak-kanak lebih daripada 18 bulan) mungkin boleh membantu terutamanya pada kanak-kanak yang banyak mengambil produk tenusu.
  4. Untuk bayi yang mengalami sembelit, sila hubungi doktor anda kerana ada di antara mereka mungkin mengalami masalah alahan kepada susu lembu dan perlu intervensi khas. Untuk bayi berumur 6 bulan ke atas, ibu bapa boleh mencuba menambah sayur-sayuran dan buah-buahan di dalam diet mereka.
  5. Penggunaan ubat-ubatan (laxatives) di bolehkan atas nasihat doktor anda.

Kesimpulan :

  • Konsistensi najis adalah lebih penting daripada frekuensi pembuangan najis.
  • Masalah ini boleh dikawal dengan pelbagai teknik atau strategi rawatan yang ringkas.
  • Ubat ubatan mungkin diperlukan untuk kes-kes tertentu.
  • Sembelit disebabkan oleh masalah kesihatan yang serius jarang berlaku.
Tarikh Semakan Akhir : 03 Disember 2013
Penulis : Dr. Nazrul Neezam bin Nordin