Home > Umum > Psikologi Kaunseling > Umum > Lain-lain > Self-Estreem di kalangan Penagih Alkohol

Self-Estreem di kalangan Penagih Alkohol

Pengenalan

Konsep kendiri atau lebih dikenali dengan “self-estreem” merangkumi tentang pengetahuan, andaian dan perasaan tentang diri dan ia merupakan satu konsep terpenting dalam bidang psikologi. Penghargaan kendiri setiap individu adalah berbeza antara satu sama lain.

Ketagihan merupakan suatu keadaan kebergantungan pada sesuatu bahan atau corak perilaku. Kebergantungan ini semakin lama akan bertambah buruk kesannya.

Ketagih pada alkohol atau arak yang merupakan minuman keras yang lazimnya disalah gunakan dan  mendatangkan pelbagai kesan buruk. Penyalahgunaan alkohol juga diklasifikasikan sebagai penyalahgunaan dadah kerana tahap kebergantungan terhadap bahan kimia yang tinggi.

Definisi : Self- Esteem

Carl Rogers (1987) menyatakan bahawa penghargaan kendiri ialah suatu gambaran persepsi kendiri yang tersusun yang boleh dibawa ke peringkat sedar termasuk juga persepsi seseorang tentang kebolehannya, persepsi dan konsep kendiri berbanding dengan orang lain dan juga persekitarannya serta tentang kebolehannya. Ianya juga mungkin bersifat positif atau negatif. Pada dasarnya penghargaan kendiri mempunyai tiga tujuan iaitu kecekalan dalaman, menentukan interpretasi pengalaman dan juga membekal ekspektasi menurut Felker (1974).

Penghargaan kendiri merujuk kepada sejauh mana individu merasakan dirinya baik atau buruk ataupun sejauh mana mereka merasakan diri mereka mempunyai nilai. Penilaian individu terhadap dirinya akan memberikan reflek kepada nilai yang diletakkan kepada diri seseorang . Oleh itu, untuk meningkatkan penghargaan kendiri bermakna, akan membantu seseorang berfungsi secara lebih efektif khususnya di dalam hubungan interpersonal kerana individu yang mempunyai penghargaan kendiri yang tinggi akan membantu seseorang berfungsi dengan lebih berkesan dalam persekitaran organisasi, hubungan interpersonal dan juga kerjaya.

Dengan ini, dapat disimpulkan bahawa penghargaan kendiri merupakan perasaan, nilai, matlamat dan kepercayaan seseorang terhadap dirinya sebagai seorang yang unik. Penghargaan kendiri juga merupakan perasaan penghargaan kendiri dan cara ia melibatkan persepsi terhadap diri di sisi masyarakat. Penghargaan kendiri juga adalah berkait rapat dengan kekuatan dan kelemahan seseorang individu.

Rutin Kehidupan Seorang Penagih Alkohol

Penagihan alkohol bukan satu masalah yang baru. Usaha untuk mengatasinya telah lama dijalankan, namun masalah ini masih membelenggu kitaran hidup masyarakat. Rutin kehidupan seharian penagih alkohol sentiasa berkaitan dengan alkohol. Bagi penagih alkohol yang tidak mempunyai pekerjaan tetap dan mengganggur, mereka akan tidur seharian sehingga kesan alkohol tersebut hilang. Selain itu, alkohol juga mempunyai kesan yang berbeza bukan mengikut jenis alkohol yang diambil, tetapi kepada jumlah alkohol yang diambil. Terdapat alkohol yang hanya memberi kesan khayal kepada peminumnya. Namun, terdapat juga alkohol yang memberikan kesan yang lebih bahaya dan berpanjangan kepada peminum tegar. Antara kesan berpanjangan yang akan dihadapi ialah akan sentiasa berada dalam khayalan dan akan merasa berat di bahagian kepala. Kadang-kala, apabila terdapat penagih alkohol yang meminum alkohol secara berlebihan, mereka akan mengalami sindrom muntah. Mereka akan memuntahkan sisa alkohol yang diminum.

Sementara itu, bagi penagih alkohol yang mempunyai pekerjaan, rutin harian mereka adalah sama dengan individu yang lain. Mereka akan keluar bekerja pada waktu yang telah ditetapkan. Mereka akan melaksanakan tugasan dan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada mereka. Namun, mereka akan tetap mendapatkan alkohol pada waktu mereka merasa ketagih. Mereka mungkin akan mendapatkan alkohol di kelab-kelab malam pada waktu malam setelah pulang bekerja. Perbezaan rutin harian antara pekerja yang mengalami ketagihan alkohol dan pekerja normal adalah aktiviti pada waktu malam.

Seseorang penagih alkohol juga akan merasa malas untuk melakukan pekerjaan dan akan sedar apabila merasakan mereka kembali bertenaga. Kesan alkohol akan dirasai dengan lebih lama sekiranya jumlah alkohol diambil dalam kadar yang lebih banyak. Rutin harian penagih alkohol juga ialah pemikiran mereka akan sentiasa berkisar dengan alkohol.

Persepsi Keluarga

Keluarga adalah individu yang terdekat berada dengan penagih alkohol. Keluarga juga perlu berusaha bersama-sama dengan penagih alkohol bagi menangani masalah penagihan alkohol.

  1. Persepsi Positif – bagi keluarga dalam kategori ini akan terus memantau dan mengawal anak-anak mereka yang merupakan penagih alkohol dengan lebih kerap. Keluarga jenis ini akan sentiasa menerapkan dan mengingkatkan bekas penagih iaitu merujuk kepada anak mereka atau saudara mereka berkaitan dengan bahaya dan kesan yang akan dihadapi apabila mengambil alkohol ini terhadap tubuh badan, kesihatan, keluarga dan juga masyarakat.

  1. Persepsi Negatif – bagi keluarga dalam kategori ini, keluarga tidak dapat menerima seorang penagih alkohol dalam keluarga kerana beranggapan nama baik keluarga tercemar di kalangan masyarakat. Penagih alkohol dianggap sebagai beban kerana tepaksa mengeluarkan wang ringgit bagi proses rawatan dan pemulihan yang tidak berbaloi. Sekiranya penagih tersebut sudah berkeluarga, rumahtangga akan menjadi porak peranda.

Keluarga adalah institusi sosial yang berkuasa serta boleh mempengaruhi perlakuan masalah. Sokongan serta dorongan daripada keluarga amat penting untuk menimbulkan kesedaran bagi penagih yang ingin berubah atau berhenti menagih alkohol. Bimbingan, dorongan dan kasih sayang yang dihulur membantu penagih alkohol sembuh dan meninggalkan tabiat yang tidak berfaedah ini.

Persepsi Masyarakat

Setiap amalan agama di dunia turut melarang tabiat menagih alkohol dalam kalangan penganutnya. Persepsi masyarakat terhadap penagih alkohol ialah masalah penagihan ini sudah tidak boleh di atasi. Di negara barat ketagihan alkohol dianggap sebagai penyakit.

Masyarakat budaya timur selalu menganggap bahawa masalah penagihan bukan masalah mereka tetapi masalah orang lain dan kurang memberikan kerjasama terhadap kempen-kempen serta melibatkan diri dalam akiviti kemasyarakatan dan kesihatan yang melibatkan golongan penagih alkohol.

Tips Untuk Meningkatkan Penghargaan Kendiri

Setiap individu adalah bertanggungjawab untuk membentuk harga diri yang positif sekiranya ia jelas dengan matlamat anda. Bagi individu yang mengalami masalah ketagihan alkohol boleh menerapkan beberapa cara untuk meningkatkan penghargaan kendiri. Antaranya :

  • Membina dan meningkatkan keyakinan diri.
  • Berfikiran positif dan idamkan kejayaan.

  • Berdampingan dengan orang-orang yang mampu tingkatkan kendiri individu.

  • Ketahui potensi diri anda, kekuatan serta kelemahan anda.

  • Penampilan diri kerana ia faktor kritikal dalam pembinaan penghargaan kendiri.

  • Hargai dan hormati diri sendiri kerana ia salah satu motivasi.

  • Hindari sikap prasangka terhadap orang lain.

  • Teroka nilai diri dan amalkan sikap prihatin.

Kesimpulannya, sekiranya terdapat ahli keluarga mahupun keluarga yang terdekat mempunyai masalah dalam penagihan ini, kita seharusnya menghulurkan bantuan kepada mereka. Tiada manusia yang sempurna, namun semua akan berusaha ke arah kesempurnaan. Kendiri sihat mampu mengeluarkan pergantungan kepada alkohol dan seterusnya anda akan bebas dari ketagihan ini.

Semakan Akhir : 16 Januari 2014
Penulis : Kasturi Bai