A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Sealan Perlindungan Untuk Kanak-Kanak

 

Apakah sealan perlindungan?

Sealan perlindungan juga dikenali sebagai sealan fisur. Sealan fisur ialah suatu bahan yang dilekatkan pada pit dan fisur gigi bagi mencegah karies.Ianya juga digunakan untuk mencegah karies awal daripada berkembang membentuk kaviti. Pit dan fisur gigi yang dalam akan mudah di lekati makanan dan bakteria. Dengan ada perlindungan lapisan sealan pada pit dan fisur, gigi tidak mudah mendapat karies. Sealan merupakan kaedah rawatan pencegahan yang sering dilakukan oleh doktor pergigian untuk kanak-kanak dan boleh mudah di dapati di mana-mana klinik gigi.

Sebelum sealan

Selepas sealan

Tujuan sealan

Kerosakan gigi atau karies adalah penyakit jangkitan mulut yang paling sering berlaku di kalangan kanak-kanak di negara kita. Walau bagaimanapun, jangkitan ini selalunya dapat dicegah dan dikawal pada peringkat awal. Kira-kira 90 peratus daripada lesi karies terdapat pada pit dan fisur gigi geraham kekal.

Selain geraham kekal, gigi premolar dan geraham susu juga mudah terdedah kepada karies.Ini adalah kerana gigi-gigi tersebut selalunya mempunyai struktur pit dan fisur yang dalam dan kompleks. Oleh itu, kawasan tersebut memudahkan pengumpulan plak dan sukar untuk dibersihkan.Waktu di mana plak paling mudah berkumpul dan gigi lebih cenderung berkaries adalah semasa pertumbuhan gigi geraham. Sebagai contoh gigi geraham kekal mengambil secara purata 18 bulan untuk tumbuh sepenuhnya di dalam mulut. Oleh itu,individu yang berisiko karies perlu disapukan sealan secepat mungkin.

Pada masa sekarang, kaedah yang kos efektif dan kurang invasif untuk mengurangkan karies pada permukaan pengunyahan adalah sealan pit dan fisur. Indikasinya adalah seperti berikut:

Siapa yang memerlukan sealan fisur?

Kanak-kanak dan remaja yang berisiko

  • Bermasalah perubatan, fizikal atau emosi yang berisiko mendapat penyakit atau rawatan pergigian
  • Berpengalaman karies pada gigi susu atau gigi geraham kekal yang lain
  • Dikenal pasti sebagai berisiko tinggi karies iaitu kanak-kanak yang menjalani terapi applian ortodontik, yang tahap higin mulut rendah dan yang makan makanan dan minuman manis lebih daripada 3 kali sehari.

Gigi manakah yang memerlukan sealan fisur?

Gigi yang berisiko

  • Gigi dengan pit atau fisur yang sangat dalam, sempit atau kompleks
  • Gigi dengan kecacatan enamel (lapisan putih gigi) pit dan fisur gigi yang berisiko termasuk gigi susu bagi kanak-kanak berisiko karies tinggi.

Jenis-jenis sealan perlindungan

Bahan yang biasa digunakan untuk menutup pit dan fisur ialah bahan yang berasaskan resin atau simen kaca ionomer. Kesan sampingan atau alahan yang berkaitan dengan sealan fisur adalah tidak signifikan kerana tidak dapat dikesan dalam darah.

Kejayaan sealan fisur adalah bergantung kepada pelekatan jangka panjangnya. Secara amnya,pemilihan bahan bergantung kepada tahap pertumbuhan gigi. Sealan berasaskan resin sesuai untuk gigi yang tumbuh sepenuhnya. Manakala, bagi gigi separa tumbuh, sealan berasaskan simen kaca ionomer adalah pilihan terbaik.

Kajian menunjukan bahawa kadar karies pada gigi yang bersealan dalam 12 bulan adalah sangat rendah, iaitu 2.5%. Walau bagaimanapun, adalah amat disyorkan pemeriksaan susulan berkala dilakukan antara 6 dan 12 bulan.

Prosedur

  1. Gigi dibersihkan, dikeringkan dan diasingkan dari air liur
  2. Menyapu etsa asid (bagi sealan berasaskan resin)
  3. Menyapu konditioner (bagi sealan berasaskan simen kaca ionomer)
  4. Membilas gigi dengan air
  5. Keringkan
  6. Menyapu sealan
  7. Cahaya dikenakan untuk mengeraskanya (bagi sealan berasaskan resin).
  8. Sealan dibiarkan mengeras untuk beberapa minit (bagi sealan berasaskan simen kaca ionomer)
  9. Sealan diperiksa secara berkala

Bersih, kering & diasingkan

Etsa asid

Menyapu sealan

Mengenakan cahaya

Peringkat rawatan prosedur sealan fisur

Rujukan

  1. Condo R, Cioffi A, Riccio A, et al: Sealants in dentistry: a Systematic review of the literature. Oral & Implantology – anno VI – n. 3/2013; 67-74.
  2. Beauchamp J, Caufield PW, Crall JJ, et al: Evidence-based clinical recommendations for the use of pit-and-fissure sealants. A report of the American Dental Association Council on Scientific Affairs. J Am Dent Assoc 2008; Mar;139(3):257-68.
  3. Muntean A, Mesaros AS, Festila D, Mesaros M.Modern management of dental decay in children and adolescents – a review. Clujul Medical 2015; 88(2):137-139.
  4. Small Ridge J. UK National Clinical Guidelines in Paediatric Dentistry. Use of fissure sealants including management of the stained fissure in first permanent molars. International Journal of Paediatric Dentistry 2010; 1-9.
  5. Welbury R, Raadal M, lygidakis N.A: EAPD guidelines for the use of pit and fissure sealants. European Journal of Paediatric Dentistry 3/2004; 179-184.

 

Semakan Akhir : 13 Februari 2017
Penulis / Penterjemah : Dr. Norita bt. Abdul Rahim
Akreditor : Dr. Laila bt. Abd. Jalil

Artikel Berkaitan

Obesiti dan Penyakit Periodontitis

Kajian mendapati ada kaitan antara penyakit periodontitis dengan penyakit sistemik seperti kencing manis (diabetes mellitus), penyakit jantung, kelahiran bayi pra-matang dan kurang berat badan serta masalah obesiti.

Bagaimana Menjaga Prostesis Korona & Jambatan Anda

Korona adalah sejenis restorasi/prostesis pergigian yang menyarung atau mengelilingi gigi atau implan pergigian; menyerupai saiz dan bentuk asal gigi atau direka bentuk mengikut saiz, bentuk dan warna yang dikehendaki/dipilih.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 222,954,152

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-05 09:12:40
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia