Home > Laman Utama > Satu produk makanan Taiwan sah tercemar

Satu produk makanan Taiwan sah tercemar

Utusan Malaysia

Isnin, 20/06/2011

Satu produk makanan Taiwan sah tercemar

KUANTAN 19 Jun – Produk makanan yang diimport dari Taiwan iaitu Natural Beauty Fruit and Vegetable Powder disahkan dicemari bahan kimia Di-(2 ethylhexyl) phthalate (DEHP).

Sehubungan itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai menggesa semua penjual produk itu menghentikan penjualannya serta-merta.

"Hasil analisis ke atas dua produk dari negara itu termasuk Natural Beauty Drink Powder kerana dipercayai dicemari bahan kimia mendapati Natural Beauty Fruit and Vegetable Powder tercemar dengan DEHP.

"Pengguna yang telah membeli produk makanan tersebut dinasihatkan tidak memakannya kerana dikhuatiri akan mendatangkan kesan sampingan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat MCA Bahagian Kuantan di sini, hari ini.

Semalam, akhbar melaporkan beberapa produk dari Taiwan dipercayai tercemar dengan bahan kimia DEHP termasuk produk keluaran Chuang's King Tai Chang Food. Co. Ltd., Taiwan yang diimport oleh Nguan Seng Sdn. Bhd.; dan juga Natural Beauty Drink Powder serta Natural Beauty Fruit and Vegetable Powder keluaran Prince Pharmaceutical Co. Lt. yang diimport oleh Billion Synergy Sdn. Bhd.

Menurut Tiong Lai, hasil analisis tersebut mendapati produk Natural Beauty Drink Powder tidak mengandungi DEHP.

"Selain itu, produk Chuang's Square Cookies berperisa gula perang, gandum, badam dan bijan keluaran Chuang's King Tai Chang Food juga tidak dicemari DEHP.

"Justeru, orang ramai tidak perlu bimbang kerana kementerian akan terus memantau makanan yang diimport dari negara tersebut," jelasnya.

Sebarang maklumat lanjut mengenai produk makanan Taiwan boleh layari "http://moh.gov.my atau http:/fsq.moh.gov.my.

 

 

{module berita:news}