A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Ubat & Anda
  4. /
  5. Kawalan Iklan
  6. /
  7. Saringan iklan di media...

Saringan iklan di media massa

Iklan merupakan satu medium yang paling berkesan dalam mempromosi sesuatu produk. Tidak terkecuali produk ubat-ubatan juga sering diiklankan di media massa sama ada di media cetak, media elektronik mahu pun media baru seperti laman web, laman sosial dan lain-lain. Persoalannya di sini, sejauh manakah iklan berkaitan ubat-ubatan boleh diiklankan dan apakah batas-batas yang perlu dipatuhi oleh peniaga, pengedar, agen-agen jualan dan semua pihak terlibat dalam mengiklankan produk mereka.

Bahagian Penguatkuasaan Farmasi (BPF) di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia mempunyai peranan sebagai Bahagian yang mengawalselia hal ehwal berkaitan pengiklanan ubatan di Malaysia. Ramai yang tidak menyedari bahawa setiap iklan ubat yang disiarkan mesti mendapatkan kelulusan daripada Lembaga Iklan Ubat (LIU) , iaitu satu badan yang ditubuhkan berdasarkan peruntukan di bawah Undang Undang Akta Ubat (Iklan dan Penjualan) 1956. Namun, iklan bagi produk selain ubat seperti produk dalam kategori makanan, kosmetik dan peralatan perubatan, pengiklanan adalah secara kawalan kendiri (self-regulatory) di bawah Akta yang berbeza dan tidak memerlukan kelulusan LIU.

Bahagian Penguatkuasa Farmasi berperanan sebagai sekretariat kepada Lembaga Iklan Ubat. Antara fungsi LIU adalah untuk memberi kelulusan atau membatalkan sesuatu kelulusan iklan ubat, menyediakan garis panduan dan menetapkan polisi berkaitan pengiklanan ubat di Malaysia. BPF selaku urusetia kepada pihak LIU pula bertindak sebagai badan penguatkuasa kawalan iklan dan akan memastikan iklan ubatan yang disiarkan di media massa mempunyai kelulusan iklan dari LIU serta patuh dan tidak melanggar polisi yang telah ditetapkan. Contoh nombor kelulusan yang diberikan oleh LIU adalah KKLIU 1234/2016.

Aktiviti pemonitoran dan saringan iklan merupakan salah satu aktiviti utama yang dijalankan secara berterusan oleh Bahagian Penguatkuasa Farmasi. Media massa yang disaring termasuklah media cetak seperti akhbar harian utama dan tabloid di seluruh negara termasuk akhbar tempatan di Sabah dan Sarawak. Majalah tempatan juga disaring secara berkala berdasarkan edisi penerbitan bulanan atau mingguan bagi memastikan iklan ubatan yang disiarkan dalam majalah telah mendapat kelulusan dan tidak melanggar mana-mana peruntukan undang-undang yang dikuatkuasa.

Saringan iklan di dalam media elektronik iaitu iklan di televisyen dan radio turut dijalankan. Iklan-iklan yang disiarkan di dalam radio atau televisyen dapat ditonton dan didengari mengunakan pelbagai aplikasi maya pada masa kini serta terdapat perkhidmatan pihak swasta yang merekodkan iklan berterusan selama 24 jam setiap hari yang boleh dilanggan dengan bayaran yang berpatutan. Rancangan-rancangan berbentuk bual bicara dan segmen tajaan terutamanya juga telah dikenalpasti masa siarannya supaya dapat dipantau iklan dan tuntutan yang dibuat.

Penyaringan iklan bagi media baru yang menggunakan internet adalah paling mencabar dan sukar dijalankan. Jaringan internet sekarang adalah sangat meluas yang mana segala maklumat hanya berada di hujung jari dan boleh diakses hanya dengan satu klik. Iklan-iklan yang disiarkan di dalam laman web, laman sosial seperti facebook, twitter serta aplikasi whatsapp, wechat dan lain-lain lagi amat senang dan cepat disebarkan. Apatah lagi media ini tidak memerlukan kos yang tinggi dan bayaran pengiklanan yang mahal berbanding pengiklanan menggunakan media cetak dan elektronik. Walaupun sukar, pegawai-pegawai penguatkuasa sentiasa menyaring iklan di dalam media baru dan akan bertindak segera melakukan pemantauan dan menjalankan siasatan lanjut sekiranya menerima aduan dari pengguna berkenaan iklan ubat yang tidak benar atau mengelirukan.

saringan-iklan-1

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Bahagian Perkhidmatan Farmasi, KKM jumlah saringan dan tindakan yang telah diambil di seluruh negara terhadap iklan ubat yang melanggar Akta yang dikuatkuasa adalah seperti dalam jadual di bawah:

Tahun
Jumlah iklan disaring
Bil surat amaran
Siasatan kes Iklan untuk Pendakwaan di Mahkamah
2013
15,125
334
97
2014
21,353
558
99
2015
16,409
599
61

saringan-iklan-2

Walaupun Bahagian Penguatkuasa Farmasi sentiasa melakukan pemonitoran dan saringan iklan di semua media massa, pengguna masih perlu melakukan saringan dan tapisan secara kendiri. Kuasa pengguna amat penting sebagai mata-mata kepada Badan Penguatkuasa untuk memastikan hanya iklan ubatan yang berdaftar dan selamat disiarkan di luar sana , di samping memastikan iklan tersebut adalah benar, tidak mengelirukan dan tidak mempengaruhi dengan cara yang tidak beretika. Sebarang maklumat berkenaan iklan yang disyaki palsu, mengelirukan atau tidak beretika boleh disalurkan kepada Bahagian Penguatkuasa Farmasi di alamat Lot 36, Jalan Universiti, 46350 Petaling Jaya, Selangor atau menghubungi pegawai Cawangan Kawalan Iklan di talian 03-78413200/3320. Aduan juga boleh dihantar melalui sistem integrasi Pemantauan Aduan Agensi Awam ( I-SPAAA) yang boleh diakses secara terus atau melalui laman web Kementerian Kesihatan Malaysia (moh.spab.gov.my / www.pharmacy.gov.my)

saringan-iklan-3

Semakan Akhir : 05 Oktober 2016
Penulis : Rohaizam bt. Ali
Akreditor : Umikalsom bt. Ibrahim

Artikel Berkaitan

Paracetamol

Pengenalan Paracetamol atau lebih dikenali dengan pelbagai nama dagang contohnya

Penggunaan bahan pengawet dalam sediaan kosmetik

Bahan pengawet merupakan salah satu bahan yang penting dalam suatu sediaan kosmetik, terutamanya sediaan yang mengandungi kandungan air yang tinggi. Ini adalah kerana sediaan sebegini merupakan media yang sesuai untuk pertumbuhan mikroorganisma seperti bakteria dan kulat.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,025,310

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-05 09:12:40
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia