Home > Remaja > Kesihatan Fizikal > Sakit Tulang

Sakit Tulang

Pengenalan

Ramai remaja mengalami sakit tulang terutama sakit pada anggota badan. Kadang-kadang kesakitan dialami dalam tempoh yang singkat dan adakalanya berlanjutan selama beberapa bulan.

Sesetengah rasa sakit mungkin berpunca dari tulang, otot, sendi atau tisu-tisu lain dalam sendi.

Penyebab sakit tulang

Penyebab sakit tulang kebanyakannya tidak serius. Walau bagaimanapun, remaja perlu berjumpa doktor untuk tujuan pengesahan. Setelah penyakit disahkan bukan penyakit yang serius, remaja dan ibu bapa perlu diyakinkan agar tidak berasa bimbang. Nasihat doktor tentang sakit yang dialami adalah normal dan tidak berbahaya, boleh mengurangkan rasa bimbang dan cemas.

  • “Sakit kerana hendak membesar”

    Pertumbuhan merupakan penyebab utama remaja mengalami sakit tulang. Keadaan ini berlaku di kalangan remaja yang berumur antara 12 hingga 17 tahun. Remaja mengalami rasa sakit tahap ringan hingga sederhana (kadang-kadang rasa teramat sakit) di bahagian betis, tulang kering, lutut atau paha.

    Sakit tulang tidak terhad di satu tempat atau bahagian sahaja tetapi memberi kesan pada seluruh kaki. Sakit tulang menjadi bertambah teruk pada waktu malam dan boleh berlanjutan selama 10 hingga 15 minit. Namun, jarang sekali rasa sakit ini menyukarkan remaja untuk berjalan, berlari atau menyertai sebarang acara sukan.

    Sakit tulang biasanya tidak disertai dengan demam, kemerahan pada kulit, atau bengkak. Malah, kaki dan anggota yang lain yang rasa sakit kelihatan normal. Sakit tulang boleh berlanjutan selama beberapa minggu atau bulan, tetapi jarang menjadi kronik. Sama seperti kemunculannya yang penuh misteri, rasa sakit akan hilang dengan sendirinya.

    Sebelum ini, ramai orang menyangka sakit tulang disebabkan oleh pertumbuhan pesat dan beberapa kekurangan nutrien dalam tubuh. Sakit tulang juga diperhatikan berlaku dalam kalangan remaja yang lebih tinggi. Namun kajian menunjukkan tiada sebarang hubung kait antara sakit tulang dan pertumbuhan.

    Sesetengah pakar mengesyaki “sakit kerana hendak membesar” berlaku akibat kecederaan otot, ketegangan atau bahkan koyak kecil yang berlaku semasa remaja melakukan aktiviti. Jika benar kecederaan adalah disebabkan oleh “sakit kerana hendak membesar”, sering kali kecederaan tersebut tidak dapat dikenalpasti.

  • Trauma (Cedera)

    Kecederaan yang sering dialami remaja adalah teregang, terseliuh serta kecederaan ringan yang lain. Remaja biasanya sangat aktif dan cenderung mendapat kecederaan.

  • Osteokondrosis

    Penyakit ini biasanya dialami oleh individu yang mempunyai rangka yang tidak matang. Osteokondrosis berpunca dari pertumbuhan yang tidak normal, kecederaan atau penggunaan plat pertumbuhan dan sekitar pusat osifikasi secara berlebihan. Secara keseluruhannya, penyakit ini berlaku di kalangan remaja lelaki dan gejala penyakit muncul antara umur 10 hingga 14 tahun.

  • Osteosarkoma

    Penyakit ini adalah sejenis kanser tulang yang paling kerap berlaku. Penyakit ini kadang-kadang muncul semasa proses pertumbuhan remaja dan cenderung berlaku di kalangan remaja yang mempunyai ketinggian yang luar biasa.

    Gejala umum penyakit osteosarkoma adalah sakit dan bengkak pada tangan atau kaki dan kadangkala disertai dengan benjolan. Sesetengah remaja mengalami kesakitan pada sebelah malam atau ketika bersenam.

  • Penyebab sakit tulang yang lain

    Artritis reumatoid, patah tulang, jangkitan tulang dan sendi serta leukemia adalah beberapa penyebab sakit tulang yang lain. Penyakit ini menunjukkan gejala lain seperti rasa sakit sepanjang hari, kesukaran berjalan, demam, bengkak, hilang selera makan, keletihan, ruam atau tingkah laku luar biasa. Gejala ini tidak berlaku jika sakit tulang disebabkan oleh “sakit kerana hendak membesar” dan pemeriksaan kesihatan perlu segera dilakukan.

    Saringan gejala penyakit, sejarah kesihatan, pemeriksaan terperinci, serta ujian ringkas biasanya dapat membantu mengenal pasti penyebab sakit tulang.

Apa yang perlu dilakukan?

Berjumpa doktor untuk memastikan kesakitan bukan disebabkan oleh penyakit yang serius.

Bahagian yang mengalami rasa sakit, jenis dan pola kesakitan serta kemunculan gejala-gejala lain boleh membantu untuk menentukan penyebab rasa sakit tulang.

Apa yang doktor akan lakukan?

Doktor akan bertanya tentang sejarah perubatan remaja dan melakukan pemeriksaan fizikal. Kadang-kadang, ujian diagnostik turut dilaksanakan termasuk beberapa ujian darah, x-ray, imbasan CT atau pengimejan resonans magnetik (MRI).

Rawatan

  • Rawatan bergantung kepada penyebab sakit tulang.

  • Jika terdapat beberapa jangkitan sendi atau tulang, doktor akan memberi preskripsi antibiotik. Antibiotik biasanya perlu diambil dalam tempoh masa yang panjang.

  • Jika patah tulang, sendi mungkin tidak boleh bergerak dan ubat penahan sakit akan dibekalkan. Rawatan susulan perlu diberikan.

  • Doktor akan memberi preskripsi ubat penahan sakit jika punca penyakit tidak dapat dikesan.

  • Elakkan mengambil ubat tanpa mendapatkan nasihat doktor.

  • Jika penyebab sakit tulang masih belum ditemui, kaedah urutan, tuaman sejuk atau panas boleh membantu melegakan kesakitan.

Last Reviewed : 26 November 2014
Writer : Dr. Hargeet Kaur A/P Basant Singh
Translator : Noorhayati bte. Kassim
Accreditor : Lt. Kol. Dr. Ridzuan bin Azmi