Home > Bayi & Kanak-Kanak > Perut > Sakit Perut Kronik

Sakit Perut Kronik

Pengenalan

Sakit perut kronik (CAP) agak kerap berlaku di kalangan kanak-kanak. Sebanyak 9 hingga 15 peratus daripada kanak-kanak berkemungkinan mengalami keadaan ini. Pada kebiasaannya, ia lebih kerap berlaku di antara umur 5 hingga 6 tahun di kalangan kanak-kanak lelaki. Manakala, di kalangan kanak-kanak perempuan, ia lebih kerap berlaku pada umur 5 hingga 6 tahun dan 9 hingga 10 tahun. Kanak-kanak yang mengalami CAP sering mengadu sakit perut yang berterusan, ataupun sekurang-kurangnya sekali seminggu, untuk sekurang-kurangnya 2 bulan. Pada kebanyakan masa, sakit perut kronik adalah tidak serius, dan kanak-kanak yang mengalaminya sembuh tanpa rawatan. Akan tetapi, sakit perut yang dialami boleh menjejaskan kualiti kehidupan kanak-kanak yang mengalaminya; seperti tidak hadir sekolah dan menyertai aktiviti-aktiviti. Selain itu, untuk kebanyakan kanak- kanak yang mengalami CAP, tiada penyakit yang dapat dikesan walaupun setelah menjalani pemeriksaan dan siasatan teliti. Untuk golongan kanak-kanak ini, mereka dikatakan mengalami “Functional Abdominal Pain” – iaitu sakit perut yang tidak boleh dikesan puncanya.

Tanda-tanda bahawa sakit perut kronik disebabkan penyakit-penyakit tertentu :

  • Sakit perut yang mengejutkan anak anda daripada tidur.
  • Muntah-muntah, sembelit, cirit-birit, kembung perut.
  • Najis berdarah.
  • Demam berpanjangan ataupun berulang.
  • Kurang berat badan, ataupun tumbesaran yang terbantut.
  • Tabiat buang air besar yang berubah – lebih kerap ataupun terlepas sebelum sampai di tandas.
  • Sakit semasa kencing ataupun kencing berdarah.

Jikalau anak anda mengalami tanda-tanda di atas, anda dinasihati mendapatkan rawatan daripada doktor.

Functional Abdominal Pain (FAP)

Gejala sakit perut di mana tiada penyakit yang boleh dikesan sebagai puncanya. Selain dari sakit perut, kanak-kanak yang mengalaminya kerap kali tiada tanda-tanda yang membimbangkan (seperti yang tertera di atas). FAP boleh dicetuskan apabila kanak-kanak mengalami tekanan hidup ataupun kerisauan.Contohnya, kelahiran baru, ahli keluarga mengalami penyakit, peperiksaan di sekolah dan sebagainya. Walaupun tidak disebabkan oleh penyakit, adalah penting untuk memahami bahawa sakit perut yang dialami betul-betul dirasai oleh kanak-kanak yang terjejas. Sehingga kini, sains tidak dapat menerangkan kenapa kanak-kanak ini mengalaminya. Ia dipercayai berkait rapat dengan faktor psikologi. Otot-otot di perut mempunyai banyak bekalan saraf yang berhubung dengan otak. Sebarang tekanan emosi kepada otak boleh menyebabkan otot-otot ini bekerja atau mengecut dengan lebih kuat menyebabkan datangnya rasa sakit.

Rawatan

Anda digalakkan menyimpan sebuah diari (Pain Diary) untuk merekod sakit perut yang dialami oleh anak anda. Rekodkan butir-butir seperti :

  • Bila sakit berlaku.
  • Berapa lama mengalami kesakitan.
  • Lokasi sakit perut.
  • Sama ada factor pencetus: (makanan, aktiviti, stress dsb).
  • Sama ada mengganggu aktiviti harian (persekolahan, bersukan).
  • Perkara yang boleh mengurangkan sakit perut yang dialami.

Jika sakit perut anak anda disebabkan oleh penyakit tertentu, pihak doktor akan memberi rawatan yang berkaitan. Walau bagaimanapun, kebanyakan penyebab sakit perut disebabkan oleh “Functional Abdominal Pain”. Rawatan yang biasanya dicadangkan melibatkan teknik relaksasi (relaxation techniques) dan perubahan tingkah-laku (behavioral therapy).Fokus utama rawatan adalah supaya anak anda boleh meneruskan aktiviti harian seperti biasa. (seperti hadir sekolah, bersukan). Antara petua-petua yang boleh diamalkan adalah :

  • Tunjukkan yang anda mengambil berat tentang keadaan anak anda contohnya dengan menggunakan kain suam yang dituam ke perut untuk mengurangkan rasa tidak selesa. Tetapi pada masa yang sama anda tidak boleh terlampau memberikan perhatian kepada mereka kerana ini mungkin boleh menyebabkan sakit perut mereka bertambah kerap untuk menarik perhatian anda. Cuba berikan perhatian lebih kepada anak anda sewaktu dia tidak mengalami sakit perut.
  • Mungkin anak anda perlu lebih masa untuk rehat dan bermain. Ramai kanak-kanak yang mengalami tekanan akibat jadual harian yang terlalu padat dan akhirnya menyebabkan mereka mengalami masalah ini.
  • Jangan sesekali membincangkan masalah anak anda dengan orang lain di hadapan mereka.
  • Galakkan anak anda meluahkan apa sahaja masalah kepada anda. Sediakan waktu untuk anda bersama mereka berbincang tentang apa sahaja. Jadilah seorang pendengar yang baik.

Perubahan diet

Makanan tertentu boleh mencetuskan sakit perut. Contohnya, susu, makanan pedas, kopi, makanan berlemak, coklat. Jika anda dapat mengenalpasti makanan yang mencetus sakit perut, langkah terbaik ialah elakkan diri dari mengambilnya.

Ubat

Anak anda mungkin diberi ubat untuk mengurang sakit perut yang dialami. Adalah penting untuk berbincang dengan doktor anda sebelum memulakan sebarang rawatan.

Semakan Akhir : 03 Januari 2014
Penulis : Dr. Alvin Khoh Kim Mun