A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Saya selalu rasa sakit dada. Apakah puncanya?

Apa-apa juga organ mahupun tisu di dalam dada anda boleh menjadi punca sakit dada terutamanya dari jantung, paru-paru, perut, otot-otot, tulang rusuk, tendon, hinggalah ke saraf dan kulit.

Kadangkala, sukar untuk menentukan samada seseorang pesakit itu diserang penyakit jantung atau disebabkan oleh penyakit lain.

Antara punca sakit dada adalah seperti berikut:

  • Keradangan rawan di dalam tulang dada, satu keadaan yang dikenali sebagai costochondritis (sakit sendi rusuk) boleh mencetuskan rasa sakit dada terutamanya semasa dada ditekan atau semasa menarik nafas. Kesakitan dinding dada lazimnya mengambil masa beberapa hari sahaja dan boleh dirawat dengan ubat.
  • Keradangan pada selaput paru-paru (pleurisi) dan radang paru-paru (pneumonia). Kedua-duanya boleh menjadi bertambah teruk ketika batuk.
  • Hiperventilasi atau pernafasan pada kadar yang terlalu cepat boleh menyebabkan sakit dada dan juga kebas pada anggota badan, sesak nafas dan kejang otot.
  • Ulser pada lapisan perut (gastritis) atau usus kecil selalunya menyebabkan kesakitan di bahagian tengah dada dan pedih ulu hati. Sakit ini disebabkan asid perut bergerak songsang ke atas memasuki esofagus dan menjadi lebih teruk semasa perut kosong.
  • Batu hempedu boleh menyebabkan kesakitan di sebelah kanan dada atau sekitar bahu yang bertambah teruk selepas makan makanan berlemak.
  • Kayap (Herpes zoster) juga boleh menyebabkan sakit yang terasa menusuk, panas terbakar atau digigit, seperti getah yang diikat ketat pada dada.
  • Darah gemuruh atau serangan panik (panic attack) adalah salah satu punca sakit dada yang berlaku bersama sesak nafas, berdebar dan kebas anggota badan.
  • Serangan sakit jantung (penyakit arteri koronari) adalah punca sakit dada yang serius. Ia berlaku apabila otot jantung tidak mendapat bekalan darah yang mencukupi disebabkan oleh saluran darah ke jantung menjadi sempit. Sila layari Portal MyHEALTH : Penyakit arteri koronari

Justeru, walau apa pun kesakitan dada yang anda alami, ia tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Melengahkan masa untuk mendapatkan rawatan boleh menyebabkan kematian dan kerosakan yang kekal pada jantung anda.

Anda dinasihatkan berjumpa dengan doktor di klinik kesihatan yang berhampiran dengan kadar segera supaya sejarah riwayat penyakit dan penilaian kesihatan yang lengkap dapat dilakukan. Pemeriksaan fizikal yang teliti perlu dijalankan termasuk pemeriksaan tekanan darah anda, pemeriksaan dada dan beberapa ujian lain yang difikirkan perlu seperti ECG dan x-ray dada. Apabila punca sakit dada dapat dikenalpasti, rawatan sewajarnya dapat diberi.

Untuk maklumat lanjut, sila layari Portal MyHEALTH: Sakit Dada

 

  1. Saya selalu rasa sakit dada sebelah kiri. Apakah puncanya?

Antara punca utama sakit dada sebelah kiri yang perlu diberi perhatian segera adalah serangan sakit jantung. Antara gejala sakit dada disebabkan oleh serangan sakit jantung adalah:

  • rasa sakit dada bahagian kiri atau tengah dada yang menular ke bahu, lengan kiri, leher, dagu dan belakang badan
  • sesak nafas
  • keletihan
  • badan berpeluh
  • kadangkala terasa loya
  • jantung berdebar
  • pitam/pening
  • kadangkala sakit di ulu hati sebagai gejala utama
  • sakit dada bermula selepas menjalankan aktiviti seperti naik tangga atau emosi yang kuat

Punca sakit dada adalah pelbagai dan maklumat yang diberikan adalah terhad. Anda dinasihatkan berjumpa dengan doktor di klinik kesihatan yang berhampiran dengan kadar segera supaya sejarah riwayat penyakit dan penilaian kesihatan yang lengkap dapat dilakukan. Pemeriksaan fizikal yang teliti perlu dijalankan termasuk pemeriksaan tekanan darah anda, pemeriksaan dada dan beberapa ujian lain yang difikirkan perlu seperti ECG dan x-ray dada. Apabila punca sakit dada dapat dikenalpasti maka rawatan sewajarnya dapat diberikan.

Adalah diharapkan anda tidak memandang ringan tentang masalah sakit dada anda dan silalah berjumpa dengan doktor.

Untuk maklumat lanjut, sila layari Portal MyHEALTH: Sakit Dada, Penyakit arteri koronari

 

  1. Saya selalu rasa sakit dada diikuti dengan sesak nafas dan kebas tangan. Apakah puncanya?

Antara punca utama sakit dada diikuti dengan sesak nafas dan kebas tangan. Keadaan ini perlu diberi perhatian segera kerana ia ada kaitan dengan serangan sakit jantung. Antara gejala sakit dada disebabkan oleh serangan sakit jantung adalah:

  • rasa sakit dada bahagian kiri atau tengah dada yang menular ke bahu, lengan kiri, leher, dagu dan belakang badan
  • kadangkala terasa kebas bahu, lengan kiri, leher, dagu dan belakang badan
  • sesak nafas
  • keletihan
  • badan berpeluh
  • kadangkala terasa loya
  • jantung berdebar
  • pitam/pening
  • kadangkala sakit di ulu hati sebagai gejala utama
  • sakit dada bermula selepas menjalankan aktiviti seperti naik tangga atau emosi yang kuat

Punca sakit dada adalah pelbagai dan maklumat yang diberikan adalah terhad. Anda dinasihatkan berjumpa dengan doktor di klinik kesihatan yang berhampiran dengan kadar segera supaya sejarah riwayat penyakit dan penilaian kesihatan yang lengkap dapat dilakukan. Pemeriksaan fizikal yang teliti perlu dijalankan termasuk pemeriksaan tekanan darah anda, pemeriksaan dada dan beberapa ujian lain yang difikirkan perlu seperti ECG dan x-ray dada. Apabila punca sakit dada dapat dikenalpasti, rawatan sewajarnya dapat diberi.

Adalah diharapkan anda tidak memandang ringan tentang masalah sakit dada anda dan silalah berjumpa dengan doktor anda.

Untuk maklumat lanjut, sila layari Portal MyHEALTH: Sakit Dada, Penyakit arteri koronari

 

  1. Saya selalu rasa sakit tulang rusuk. Apakah puncanya?

Rasa sakit pada bahagian tertentu di rusuk berkemungkinan disebabkan anda pernah cedera di bahagian dada atau disebabkan oleh keradangan pada bahagian sambungan rawan dan tulang rusuk (costochondritis).

Sakit ini boleh menyerang pada bila-bila masa sahaja. Pada kebiasaannya kesakitan berlaku secara spontan dan tidak ada punca khusus kenapa ia berlaku. Di setiap bahagian rusuk terdapat jaringan saraf yang kompleks. Apabila kesakitan dirasai pada bahagian rusuk terbabit, rangsangan sakit tersebut boleh menular ke bahagian lain badan. Terdapat banyak punca sakit dada termasuk sakit tulang rusuk dan maklumat yang diberikan adalah terhad. Anda dinasihatkan berjumpa dengan doktor di klinik kesihatan yang berhampiran dengan kadar segera supaya sejarah riwayat penyakit dan penilaian kesihatan yang lengkap dapat dilakukan. Pemeriksaan fizikal yang teliti perlu dijalankan termasuk pemeriksaan tekanan darah anda, pemeriksaan dada dan beberapa ujian lain yang difikirkan perlu seperti ECG dan x-ray dada. Apabila punca kesakitan dapat dikenalpasti, rawatan sewajarnya dapat diberi.

  1. Saya selalu rasa sakit dada dan sakit ulu hati. Apakah puncanya?

Antara punca utama sakit dada sebelah kiri dan sakit ulu hati yang perlu diberi perhatian segera adalah serangan sakit jantung. Antara gejala sakit dada disebabkan oleh serangan sakit jantung adalah:

  • rasa sakit dada bahagian kiri atau tengah dada yang menular ke bahu, lengan kiri, leher, dagu dan belakang badan
  • sesak nafas
  • keletihan
  • badan berpeluh
  • kadangkala terasa loya
  • jantung berdebar
  • pitam/pening
  • kadangkala sakit di ulu hati sebagai gejala utama
  • sakit dada bermula selepas menjalankan aktiviti seperti naik tangga atau emosi yang kuat

Punca sakit dada dan sakit ulu hati adalah pelbagai dan maklumat yang diberikan adalah terhad. Anda dinasihatkan berjumpa dengan doktor di klinik kesihatan yang berhampiran dengan kadar segera supaya sejarah riwayat penyakit dan penilaian kesihatan yang lengkap dapat dilakukan. Pemeriksaan fizikal yang teliti perlu dijalankan termasuk pemeriksaan tekanan darah anda, pemeriksaan dada dan beberapa ujian lain yang difikirkan perlu seperti ECG dan x-ray dada. Apabila punca sakit dada dapat dikenalpasti, rawatan sewajarnya dapat diberi.

Untuk maklumat lanjut, sila layari Portal MyHEALTH: Sakit Dada, Penyakit arteri koronari

 

  1. Adakah rasa sakit dada diikuti dengan sakit ulu hati berkaitan dengan masalah gastritis?

Ada kemungkinan tanda/gejala yang anda nyatakan adalah berkaitan masalah gastritis (penyakit gastrik):

Penyakit gastrik atau gastritis merujuk kepada inflamasi (radang) pada bahagian lapisan perut (mukosa). Dalam keadaan biasa, lapisan dalam perut dan usus berupaya menahan asid yang dihasilkan oleh perut, oleh kerana ada sebab tertentu mekanisma ini rosak dan menyebabkan radang.

Antara punca penyakit gastrik ialah:

  • jangkitan kuman Helicobacter pylori
  • merokok
  • tekanan
  • pengambilan minuma berkafein seperti kopi
  • pengambilan alkohol berlebihan
  • pengambilan ubat -ubatan penahan sakit dan aspirin

Jika tidak dirawat ia akan menyebabkan ulser atau luka di perut.

Tip untuk individu mempunyai masalah gastrik & angin:

  • Ambil makanan sedikit tetapi kerap :
  • Contoh; sarapan pagi, minum pagi, makan tengahari, minum petang dan makan malam serta diakhiri minum malam (supper).
  • Beza antaranya adalah 2-3 jam bagi selang masa setiap masa makan
  • Hadkan supper sekurang-kurangnya 2 jam sebelum tidur
  • Tidak melangkau masa makan

Makanan yang tidak digalakkan adalah:

  • Jenis berempah /pedas
  • Jenis berasid seperti tomato, jenis-jenis limau
  • Makanan terproses seperti sosej , nuget , bebola ikan (kerana kandungan bahan kimia)
  • Minuman berasaskan kopi atau coklat
  • Beberapa jenis teh : peppermint/green/black
  • Bawang/bawang putih
  • Makanan mengandungi laktosa dan hasil-hasilannya (dalam susu penuh krim, keju, produk hasilan seperti biskut, roti atau makanan lain yang mengandungi laktosa)

Makanan yang digalakkan adalah:

  • Buah-buahan (*selain jenis-jenis berasid) dan sayur-sayuran segar
  • Bahan makanan berasaskan wholegrain
  • Makanan rendah lemak/minyak

Justeru, sakit dada berserta pedih ulu hati tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Melengahkan masa untuk mendapatkan rawatan boleh menyebabkan kematian dan kerosakan yang kekal pada jantung anda.

Anda dinasihatkan berjumpa dengan doktor di klinik kesihatan yang berhampiran dengan kadar segera supaya sejarah riwayat penyakit dan penilaian kesihatan yang lengkap dapat dilakukan. Pemeriksaan fizikal yang teliti perlu dijalankan termasuk pemeriksaan tekanan darah anda, pemeriksaan dada dan beberapa ujian lain yang difikirkan perlu seperti ECG dan x-ray dada. Apabila punca sakit dada dapat dikenalpasti, rawatan sewajarnya dapat diberi.

Untuk maklumat lanjut, sila layari Portal MyHEALTH: Sakit Dada, Pedih ulu hati

 

  1. Apakah gejala sakit dada yang disebabkan serangan jantung (heart attack)?

Antara gejala sakit dada disebabkan oleh serangan jantung adalah:

  • rasa sakit dada bahagian kiri atau tengah dada yang menular ke bahu, lengan kiri, leher, dagu dan belakang badan
  • kadangkala terasa kebas bahu, lengan kiri, leher, dagu dan belakang badan
  • sakit dada bermula semasa/selepas menjalankan aktiviti seperti berjalan atau naik tangga atau semasa terlalu beremosi
  • sesak nafas
  • keletihan
  • badan berpeluh
  • kadangkala terasa loya
  • jantung berdebar
  • pitam/pening

Justeru, walau apapun kesakitan dada yang anda alami, ia tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Melengahkan masa untuk mendapatkan rawatan boleh menyebabkan kematian dan kerosakan yang kekal pada jantung anda.

Serangan jantung adalah serius dan perlu dirawat dengan segera. Anda dinasihatkan berjumpa dengan doktor di klinik kesihatan atau hospital (Jabatan Kecemasan) yang berhampiran dengan kadar segera supaya sejarah riwayat penyakit dan penilaian kesihatan yang lengkap dapat dilakukan. Pemeriksaan fizikal yang teliti perlu dijalankan termasuk pemeriksaan tekanan darah anda, pemeriksaan dada dan beberapa ujian lain yang difikirkan perlu seperti ujian darah, ECG dan x-ray dada.

Untuk maklumat lanjut, sila layari Portal MyHEALTH: Penyakit arteri koronari

 

  1. Adakah penyakit Anemia / Kurang Darah boleh menjadi punca sakit dada?

Kurang darah atau dalam istilah perubatannya Anemia, juga boleh memberi tekanan kepada fungsi jantung dan menyebabkan sakit dada.

Anemia bermaksud kekurangan haemoglobin di dalam sel darah merah. Fungsi haemoglobin adalah pengangkut oksigen untuk dibekalkan kepada semua tisu dalam badan termasuk jantung.

Antara penyebab anemia/kurang darah:-

  • Kehamilan salah satu punca menyebabkan faktor utama kurang darah kerana semasa mengandung memerlukan banyak darah untuk ibu dan bayi dalam kandungan.
  • Kehilangan darah (samada akut atau kronik) seperti haid yang berlebihan, pembedahan dan lain-lain
  • Kurang penghasilan sel darah merah di dalam sum-sum tulang
  • Pemusnahan sel darah merah yang berlebihan

Punca sakit dada adalah pelbagai dan maklumat yang diberikan adalah terhad. Anda dinasihatkan berjumpa dengan doktor di klinik kesihatan yang berhampiran dengan kadar segera supaya sejarah riwayat penyakit dan penilaian kesihatan yang lengkap dapat dilakukan. Pemeriksaan fizikal yang teliti perlu dijalankan termasuk pemeriksaan tekanan darah anda, pemeriksaan dada dan beberapa ujian lain yang difikirkan perlu seperti ECG dan x-ray dada. Apabila punca sakit dada dapat dikenalpasti, rawatan sewajarnya dapat diberi.

Adalah diharapkan anda tidak memandang ringan tentang masalah kesihatan anda dan silalah berjumpa dengan doktor anda.

Untuk maklumat lanjut, sila layari Portal MyHEALTH: Sakit Dada , Anemia bagi dewasa

 

  1. Adakah tekanan (stress) boleh menjadi punca sakit dada?

Salah satu punca sakit dada adalah tekanan (stress).

Seseorang yang mengalami stress mungkin mengalami gejala-gejala berikut:

  • sakit dada
  • jantung berdebar
  • sakit-sakit badan
  • sakit kepala
  • loya
  • sukar menelan
  • sesak nafas

Stress yang melampau boleh menyebabkan kepada masalah kemurungan (depression).

Antara gejala kemurungan adalah seperti berikut:-

  • perasaan sedih tanpa sebab
  • hilang minat terhadap aktiviti yang menjadi kesukaan sebelum ini
  • kurang tumpuan
  • cepat marah
  • kurang atau tidur berlebihan
  • kurang selera atau bertambah selera makan

Gejala-gejala ini boleh memberi kesan negatif kepada aktiviti harian dan kualiti hidup anda.

Punca sakit dada adalah pelbagai dan maklumat yang berikan adalah terhad. Anda dinasihatkan berjumpa dengan doktor di klinik kesihatan yang berhampiran dengan kadar segera supaya sejarah riwayat penyakit dan penilaian kesihatan yang lengkap dapat dilakukan. Pemeriksaan fizikal yang teliti perlu dijalankan termasuk pemeriksaan tekanan darah anda, pemeriksaan dada dan beberapa ujian lain yang difikirkan perlu seperti ECG dan x-ray dada. Apabila punca sakit dada dapat dikenalpasti, rawatan sewajarnya dapat diberi.

Adalah diharapkan anda tidak memandang ringan tentang masalah kesihatan anda dan silalah berjumpa dengan doktor anda.

Untuk maklumat lanjut, sila layari Portal MyHEALTH:Sakit Dada, Sihat Mental

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,099,687

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-05 09:12:40
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia