Home > Ubat & Anda > Rosell

Rosell

Pengenalan

Sejak dari dulu lagi, tumbuh-tumbuhan telah digunakan secara meluas sebagai makanan dan juga ubat-ubatan. Antara tumbuhan yang berpotensi dalam perubatan tradisional adalah tumbuhan Rosell. Kelopak bunga Rosell bukan sahaja mempunyai nilai perubatan tetapi boleh juga menghasilkan pelbagai produk makanan antaranya jem, sos dan minuman.

Nama tempatan tumbuhan ini adalah asam kumbang, asam susur dan asam paya. Selain itu, ia juga dikenali sebagai lou shen hua (Cina), pulichai kerai (Tamil) dan red sorrel (Inggeris). Secara saintifiknya, Rosell dipanggil Hibiscus sabdariffa L. ataupun sinonim dengan Abelmoschus cruentus dan Furcaria sabdariffa. Tumbuhan ini boleh ditemui di kawasan yang beriklim tropika dan subtropika seperti di Afrika, India dan Asia termasuk Malaysia terutamanya di Terengganu dan Kelantan.

Deskripsi

Pokok ini boleh mencapai ketinggian setinggi 8 kaki (2.4 m) dengan dahannya yang tumbuh menegak di peringkat awal dan melentur apabila banyak buah. Batang, dahan serta tangkainya berwarna merah. Daunnya pula berwarna hijau dan berbentuk tapak tangan dengan tiga cuping yang meruncing ke hujung. Bunga rosell keluar di setiap sendi daun dan terdiri daripada lima (5) kelopak yang besar berwarna merah gelap dan berbentuk bujur.

Kegunaan Tradisional

Rosell digunakan secara tradisional untuk melegakan atau merawat tekanan darah tinggi, penyakit hati dan demam. Selain itu ia juga digunakan sebagai antibakteria, antifungal, menurunkan kandungan kolesterol, agen diuretik dan laksatif ringan. Masyarakat Thai menggunakan Rosell untuk merawat penyakit batu karang. Selain itu, pigmen yang berwarna merah dari bahagian kelopak digunakan sebagai agen pewarna makanan.

Hasil Kajian Ke Atas Rosell

Seiring dengan perkembangan teknologi kesihatan, pelbagai kajian telah dijalankan untuk membuktikan kegunaan Rosell dari segi aktiviti biologikal dan farmakologikal yang disokong dengan data eksperimental dan klinikal. Hasil kajian telah menunjukkan bahawa tumbuhan Rosell mengandungi bahan-bahan kimia yang terdiri dari kumpulan asid (contohnya citric acid dan malic acid), anthrocyanins (contohnya delphinidin-3-O-sambubioside), flavonoids (contohnya quercetin-3-glucoside), protein, lemak, fiber dan minerals.

Kajian-kajian ini membuktikan bahawa bahan-bahan kimia tersebut terutamanya kumpulan anthrocyanins, boleh memberi kesan kepada manusia sebagai perlindungan nefropati diabetik, antioksidan, perlindungan hati, antiradang, antikolesterol dan anti-hipertensi

Produk Tradisional Yang Mengandungi Rosell

Produk tradisional yang bermutu tinggi dan selamat adalah produk yang dikilang mengikut Amalan Perkilangan Baik (Good Manufacturing Practice) dan menggunakan bahan mentah yang berkualiti. Oleh yang demikian, ujian pengesahan (authentication) bahan mentah Rosell perlu dilakukan oleh pihak pengilang atau pengeluar produk tradisional melalui kaedah botanikal seperti makroskopik dan mikroskopik serta kaedah analisis kimia.

Rosell boleh dikesan melalui kaedah analisis kromatografi dengan menggunakan bahan petanda kimianya (chemical marker) iaitu delphinidin-3-O-sambubioside. Kualiti produk tradisional yang mengandungi Rosell bergantung juga kepada lain-lain ujian kualiti dan keselamatan seperti yang tersenarai dalam Monograf Rosell (sesawang www.globinmed.com).

Sehingga kini tiada maklumat-maklumat mengenai kesan sampingan, kesan tindak balas negatif dan keracunan disebabkan pengambilan Rosell. Pengguna yang mengambil ubat diuretik atau ubat narrow-therapeutic (contohnya digoxin, theophylline dan phenytoin) perlu mendapat nasihat doktor terlebih dahulu sebelum mengambil produk tradsional yang mengandungi Rosell kerana terdapat laporan yang menyatakan bahawa Rosell boleh menyebabkan kesan natriuretic (perkumuhan sodium yang tinggi melalui air kencing). Tiada kajian atau maklumat mengenai kegunaan Rosell untuk kanak-kanak, ibu mengandung dan ibu yang menyusukan bayi, dengan itu, nasihat doktor diperlukan sebelum mengambil ubat tradisional ini.

Pengguna juga dinasihatkan untuk memilih produk tradisional yang telah berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia. Pengguna perlu mendapat nasihat doktor sekiranya mengalami alahan dan kesan sampingan yang berlarutan.

Rujukan

  1. Carvajal-Zarrabal et al. (2012). Hibiscus sabdariffa L., roselle calyx, from ethnobotany to pharmacology: Journal of Experimental Pharmacology 2012:4 25-39
  2. I.C. Rodriguez-Medina et al.(2009). Direct characterization of aqueous extract of Hibiscus sabdariffa using HPLC with diode array detection coupled to ESI and ion trap MS : J Sep. Sci. 2009, 32, 3441-3448
  3. Peng-Kong Wong et al. (2002). Physico-chemical characteristics of roselle (Hibiscus sabdariffa L.) : Nutrition & Food Science .Volume 32.Number 2. 2002. 68-73
  4. Fernandez-Arroyo, S., Rodriguez Medina, I.C., Beltran-Debon, R., Pasini, F., Joven,J., Micol,V., Segura-Carretero,A., & Fernandez-Gutierrez, A.,Quantification of the polyphenolic fraction and in vitro antioxidant and in-vivo antihyperlipemic activities of Hibiscus sabdariffa aqueous extract , Food Research International (2011)
  5. Lee WC, Wang CJ, Chen YH, Hsu JD, Cheng SY, Chen HC,Lee HJ. Polyphenol extracts from Hibiscus sabdariffa Linnaeus attenuate nephropathy in experimental type 1 diabetes. Journal of Agricultural and Food Chemistry .2009;57(6):2206-2210
  6. Wang CJ, Wang JM, Lin WL, Chu CY, Chou FP, Tseng TH. Protective effect of Hibiscus antocyanins against tert-butylhydroperoxide-induced hepatic toxicity in rats. Food and Chemical Toxicology .2000;(38)5:411-416
  7. Beltran-Debon, R.,Alonso-Villaverde C, Arogones G, Rodriguez Medina I, Rull A, Micol,V., Segura-Carretero,A., Fernandez-Gutierrez A, Camps J, Joven J.The aqueous extract of Hibiscus sabdariffa calices modulates the production of monocyte chemoattractant protein-1 in humans.Phytomedicine. 2010;17(3-4):186-191
  8. Chen CC, Hsu JD, Wang SF, Chiang HC, Yang MY, Kao ES, Ho YC, Wang CJ. Hibiscus sabdariffa extract inhibits the development of atherosclerosis in cholesterol-fed rabbits. Journal of Agricultural anf Food Chemistry.2003;51(18) :5472-5477
  9. Malaysian Herbal Monograph : Hibiscus sabdariffa L.
Semakan Akhir : 02 September 2014
Penulis : Aida Haryati bt. Abdul Rahim
Akreditor : Dr. Noraida bt. Mohamad Zainoor