Home > Dewasa > Risiko Kesihatan di Tempat Kerja

Risiko Kesihatan di Tempat Kerja

Pengenalan

Malaysia mempunyai seramai 13 juta tenaga kerja yang bekerja di pelbagai sektor pada tahun 2011.Golongan pekerja mempunyai risiko untuk mendapat kecederaan dan penyakit disebabkan mereka terdedah kepada pelbagai hazad di tempat kerja.

Apakah hazad ?

  • Hazad adalah keupayaan sesuatu bahan untuk mencederakan kita.

Apakah risiko ?

  • Risiko adalah merupakan kebarangkalian sesuatu hazad menyebabkan kecederaan kepada kita semasa pengunaannya

Jenis-Jenis Hazad

Terdapat 5 jenis hazad iaitu:

  • Hazad Kimia contohnya seperti bahan alkali, bahan asid, bahan pelarut organik, wap dan gas beracun.

  • Hazad Fizikal contohnya seperti kebisingan, getaran, radiasi, suhu panas, suhu sejuk,aliran elektrik dan tekanan berlebihan.

  • Hazad biologi contohnya seperti bakteria, virus, serangga dan hama.


Gigitan Nyamuk

  • Hazad Ergonomik contohnya seperti tugas berat yang mengunakan tangan, keadaan badan yang kekok, tugas yang memerlukan pergerakan berulang-ulang yang kerap.


Tugas berat mengunakan tangan.

  • Hazad psikososial contohnya seperti tekanan kerja, beban kerja berlebihan, tiada sokongan rakan kerja, tiada kepelbagaian kerja dan kerja pada waktu malam.


Beban kerja berlebihan.

Kesan-Kesan Kesihatan

Kesan kesihatan yang boleh terjadi kepada pekerja akibat pendedahan kepada hazad bergantung kepada faktor-faktor seperti berikut:

  • Jenis hazad
  • Jangkamasa pendedahan
  • Banyaknya jumlah hazad yang didedahkan.
  • Faktor-faktor sosial demografi pekerja seperti umur, jantina, keturunan dan status kesihatannya.
  • Langkah-langkah kawalan yang sedia ada di tempat kerja seperti pelindung mesin, penyedut udara dan pemakaian alat pelindung diri.

Kesan-kesan kesihatan yang boleh terjadi adalah:

  • Kesan serta-merta seperti terbakar, keracunan dan kecederaan.


Kecederaan mata akibat bahan kimia.

  • Kesan jangkamasa panjang terjadinya penyakit-penyakit pekerjaan seperti, hilang pendengaran akibat bunyi bising, penyakit paru-paru, kegagalan buah pinggang, penyakit saraf, dan kanser.


Asma pekerjaan

Pencegahan

Aktiviti-aktiviti pencegahan penyakit pekerjaan dan kecederaan yang menyeluruh di tempat kerja memerlukan penglibatan majikan dan pekerja. Majikan dan pekerja perlu melaksanakan tanggung jawab masing-masing secara bersungguh-sungguh.

  • Tanggung jawab majikan ialah:
    • Mematuhi undang-undang dan peraturan yang berkaitan
    • Menjalankan penilaian risiko untuk menilai hazad dan risiko di tempat kerja
    • Melaksanakan langkah-langkah kawalan untuk memastikan tempat kerja adalah selamat dan sihat berdasarkan hasil penilaian risiko dijalankan
    • Menjalankan pemeriksaan perubatan/kesihatan kepada pekerja seperti yang dikehendaki oleh undang-undang
    • Memberikan latihan kepada pekerja mengenai keselamatan dan kesihatan
  • Tanggung jawab pekerja
    • Mematuhi setiap arahan dan prosedur kerja selamat
    • Bekerjasama dengan majikan untuk memastikan keselamatan dan kesihatan terjamin
    • Memakai alat-alat pelindung diri yang sesuai secara yang betul

Undang-Undang dan Peraturan yang berkaitan.

  • Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994
  • Akta Kilang dan Jentera 1967
  • Akta Racun Makhluk Perosak 1974
  • Akta Keselamatan Sosial 1969

Pampasan

Pekerja yang mencarum kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) adalah layak untuk mendapat bayaran pampasan dan juga rawatan pemulihan jika:

  • Mereka disahkan mendapat Penyakit Pekerjaan.
  • Mereka mengalami kemalangan semasa bekerja termasuk semasa perjalanan pergi dan balik dari bekerja.
  • Mereka disahkan mendapat keilatan disebabkan penyakit kronik tertentu.

Soalan-soalan yang sering disoal

  • Apakah penyakit pekerjaan?Penyakit pekerjaan adalah penyakit yang terjadi akibat pendedahan kepada hazad di tempat kerja. Contoh-contoh penyakit pekerjaan ialah penyakit silikosis, yang disebabkan oleh pendedahan terhadap debu-debu, batu, dan pasir, penyakit kulit akibat alahan terhadap pemakaian sarung tangan getah, Pekak akibat pendedahan terhadap bunyi bising yang berpanjangan dan kesakitan kepada otot serta sendi akibat pendedahan terhadap kerja yang berat dengan menggunakan tangan.
  • Apakah kemalangan pekerjaan? Kemalangan pekerjaan adalah kemalangan yang berlaku semasa bekerja termasuklah kemalangan semasa perjalanan pergi dan balik dari bekerja yang menyebabkan kecederaan.
  • Bagaimanakah caranya saya ingin mengawal hazad di tempat kerja? Hazad di tempat kerja boleh dikawal mengikut kaedah-kaedah berikut:

1. Menghapuskan hazad tersebut dengan tidak mengunakannya lagi atau menggunakan cara-cara yang lain.
2. Mengantikan bahan yang berhazad dengan bahan yang kurang bahaya.
3. Mengunakan kaedah kawalan kejuruteraan seperti mengunakan peralatan automatik, penghadang mesin dan penyedut udara setempat (Local exhaust ventilation).

Penggunaan penghadang mesin
Penggunaan penyedut udara setempat

4. Menggunakan kaedah kawalan pentadbiran seperti giliran kerja, mengamalkan prosedur kerja selamat serta penguatkuasaan undang-undang serta peraturan.
5. Pengunaan alat-alat pelindung diri seperti topeng pernafasan, pemalam telinga, kacamata keselamatan, kasut keselamatan, topi keselamatan,sarung tangan dan pakaian pelindung bahagian depan.

Topi keselamatan dan pemalam telinga
Alat penapis pernafasan (respirator)

 

    • Siapakah yang bertanggung jawab untuk membekalkan alat pelindung diri kepada pekerja?
      Adalah menjadi tanggungjawab majikan untuk membekalkan alat pelindung diri yang bersesuaian secara percuma kepada pekerja.

 

  • Dimanakah saya boleh mendapat nasihat dan rawatan jika saya mengalami masalah kesihatan yang berkaitan dengan pekerjaan?
    Anda boleh berjumpa Doktor Kesihatan Pekerjaan untuk mendapatkan nasihat dan rawatan.

Alamat Perhubungan:

  • Untuk mendapatkan maklumat lanjut, sila hantarkan e-mail ke alamat berikut : ohealth@dph.gov.my
Semakan Akhir : 10 Mei 2012
Penulis : Dr. Sirajuddin Hashim
: Dr. Nor’Aishah Abu Bakar
: Dr. Abu Hassan Shaari Abd Kadir
Penyemak : Wong Swee Fong