A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Remaja dan Masalah Pendengaran

Remaja adalah zaman peralihan di mana kanak-kanak menjadi dewasa. Pada ketika ini, kanak-kanak akan melalui pelbagai perubahan iaitu dari segi fizikal, pemikiran, perasaan dan kepercayaan. Remaja boleh menjadi sangat sensitif terhadap sesuatu yang menyebabkan mereka berbeza daripada yang lain termasuklah masalah pendengaran.

Masalah pendengaran ialah kecacatan yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar. Namun, ianya boleh memberi impak yang sangat besar kepada seseorang remaja. Kajian menunjukkan, dalam setiap 1000 kelahiran bayi, seorang daripadanya dikesan mempunyai masalah pendengaran. Ianya boleh terjadi melalui dua cara iaitu secara semulajadi (kongenital) ataupun selepas kelahiran (acquired).

Masalah pendengaran kongenital ialah masalah pendengaran yang diperolehi sejak lahir. Ianya termasuklah masalah pendengaran yang diwarisi (disebabkan keturunan) dan faktor-faktor lain yang hadir semasa dalam kandungan ataupun ketika kelahiran. Faktor genetik seperti sindrom menyumbang kepada lebih 50% insiden bagi masalah pendengaran kongenital.

Masalah pendengaran acquired pula ialah kurang pendengaran yang diperolehi pada bila-bila masa selepas kelahiran. Ianya boleh disebabkan oleh:

  • Kesan kepada penyakit. Contoh: meningitis
  • Jangkitan pada telinga. Contoh: otitis media
  • Kesan kepada keadaan. Contoh: terdedah kepada bunyi bising
  • Kesan kecederaan. Contoh: kecederaan kepala

Apabila masalah pendengaran diperolehi ketika remaja atau dewasa, kesannya tidaklah seteruk bayi atau kanak-kanak walaupun tahap pendengaran mereka adalah sama. Kebiasaannya, remaja boleh mengatasi masalah pendengaran yang dihadapi dengan lebih efisyen berbanding dengan kanak-kanak kecil kerana mereka telah mempunyai bahasa dan skil sosial yang mebolehkan mereka meneka atau mengagak maklumat-maklumat yang kurang jelas didengari.

Masalah pendengaran yang tidak dirawat atau di atasi boleh menimbulkan perasaan malu, tekanan perasaan dan juga keletihan. Bukan sahaja pada individu yang kurang pendengaran malah turut melibatkan ahli keluarga dan juga rakan-rakan.

Dianggarkan lebih kurang 5-10% masalah pendengaran boleh dirawat dengan pengambilan ubat-ubatan atau secara pembedahan. Contohnya ialah masalah pendengaran yang disebabkan oleh  telinga tengah. Namun, jika pemeriksaan pendengaran mendapati keadaan pesakit tidak boleh diubati, maka penggunaan alat bantu pendengaran (hearing aids) perlulah dipertimbangkan.

Alat bantu pendengaran ialah peranti elektroakustik yang direka untuk menguatkan bunyi kepada pemakainya. Terdapat pelbagai saiz dan bentuk alat bantu dengar yang boleh dipilih bergantung kepada keperluan pendengaran, tahap masalah pendengaran dan juga gaya hidup individu. Antaranya ialah jenis belakang telinga (BTE), di dalam telinga (ITE), di dalam salur telinga (ITC) dan juga di dalam salur telinga sepenuhnya (CIC).

Jika masalah pendengarangan yang dihadapi adalah dikedua-dua belah telinga, maka penggunaan alat bantu dengar secara binaural adalah digalakkan. Ini adalah kerana, ianya:

  • membantu dalam menentukan arah bunyi
  • memperbaiki pemahaman pertuturan di dalam  situasi bising
  • menjadikan pendengaran lebih baik secara keseluruhannya

Selain daripada alat bantuan pendengaran, terdapat juga alat bantu mendengar (assisstive listening device, ALD) yang boleh digunakan bersama alat bantu pendengaran atau secara berasingan. Alat bantuan ini dapat membantu untuk memisahkan bunyi (seperti pertuturan atau muzik) yang ingin didengari daripada bunyi bising latar belakang. Alat ini juga membolehkan pemakainya mendengar walaupun sumber bunyi/penutur berada pada jarak yang jauh.

Antara kemudahan ALD yang boleh digunakan ialah:

  1. Telefon
      • Peranti telefon yang menguatkan bunyi deringan telefon dan mempunyai pelaras suara untuk menguatkan suara yang masuk.
      • Induction loops yang meminimumkan bunyi bising latar belakang dan memperbaiki kejelasan suara yang masuk. Alat ini digunakan bersama alat bantu pendengaran.
      • Induction loops TTY (teletypewriters) ialah alat yang berasaskan teks yang membolehkan individu yang mempunyai masalah pendengaran teruk atau sangat teruk berkomunikasi menggunakan talian telefon.
  2. Televisyen
    • Earphones/headphones disambung terus kepada soket earphones bagi membolehkan bunyi terus masuk ke telinga pendengar. Ini memudahkan individu untuk mendengar televisyen apabila berseorangan.
    • Amplifier televisyen boleh digunakan bersama atau tanpa alat bantu pendengaran. Ianya tidak memerlukan soket earphones. Ia juga tidak melibatkan pelaras suara televisyen dan sesuai untuk digunakan ketika menonton bermai-ramai. Mikrofon kecil dilekatkan pada pembesar suara televisyen dan dihubungkan melalui wayar kepada earphones atau neckloop (jika digunakan bersama alat bantu pendengaran).
    • Induction loops
    • Sistem infra merah boleh dipasangkan kepada televisyen, radio dan stereo secara serentak. Sistem ini adalah tanpa wayar dan melibatkan penghantaran signal secara infra merah. Ia boleh digunakan bersama atau tanpa alat bantu pendengaran.
  3. Muzik dan hiburan
    • Induction loops boleh digunakan untuk mendengar stereo peribadi, iPods, pemain MP3, sistem suara komputer dan juga permainan televisyen seperti Xbox atau Playstation.
  4. Sistem amaran
    • Untuk pintu : alat kawalan akan memancarkan lampu menandakan terdapat seseorang di pintu.
    • Untuk telefon : telekilat bersama cahaya amaran yang terang dan bunyi yang ekstra kuat untuk telefon bagi menandakan terdapat panggilan masuk.
    • Alat penggetar : biasanya digunakan untuk mengejutkan individu daripada tidur.
    • Keselamatan : alat kawalan akan memancarkan lampu menandakan terdapat asap di dalam rumah.
  5. Tempat awam
    • Induction loop adalah system yang boleh digunakan di tempat awam seperti di pawagam/teater dan juga dewan komuniti. Namun, ianya perlu digunakan bersama alat bantu pendengaran.
  6. Sistem FM
    • Digunakan untuk menyalurkan bunyi dari seorang individu kepada individu lain tanpa mengira jarak dan juga kebisingan. Ianya boleh digunakan bersama atau tanpa alat bantu pendengaran. Sistem FM ini memberikan pendengaran yang lebih baik dalam sesuatu situasi di mana ianya adalah mustahil untuk duduk berdekatan dengan penutur yang ingin didengari. Sistem ini amat bermanfaat untuk membantu pelajar yang bermasalah pendengaran bagi menangani kondisi mendengar yang lemah ketika sesi pembelajaran. Namun, sistem ini juga amat berguna kepada golongan dewasa bagi membantu mereka mendengar dalam mesyuarat ataupun ceramah.
Semakan akhir : 07 Mac 2014
Penulis : Norasmah bt. Mohammed
Akreditor : Nur Azyani bt. Amri

 

Artikel Berkaitan

Muzik Berbahaya kepada Telinga?

Tahukah anda muzik mampu memberi kesan yang berbahaya kepada telinga manusia? Pernahkah anda terdedah kepada bunyi muzik seperti Konsert, Disko, Pusat karaoke, Pemain muzik peribadi seperti pemain kaset atau pemain cakera. Sesudah itu adakah anda mengalami situasi seperti sukar untuk mendengar sesuatu bunyi ataupun sukar untuk memahami pertuturan orang lain atau telinga terasa berdesing atau berdengung.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,343,278

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-25 09:58:35
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia