Home > Umum > Psikologi Kaunseling > Remaja dan Ketagihan Internet

Remaja dan Ketagihan Internet

Definisi Remaja

 WHO (World Health Organization) mendefinisikan remaja sebagai individu yang berumur 10 tahun hingga 21 tahun.

Ketagihan Internet

Ketagihan internet terjadi apabila seseorang tidak lagi dapat mengawal dirinya daripada kehendak untuk melayari internet. Pada ketika itu, melayari internet sudah menjadi satu keperluan dan bukan lagi kehendak.

Fenomena : Kes Ketagihan Internet di kalangan Remaja

Kes  Remaja Ketagih Internet

Amin ( bukan nama sebenar) merupakan seorang pelajar tingkatan 3 di sebuah sekolah di pinggir bandar. Beliau telah dirujuk oleh guru kaunseling di sekolahnya kepada perhatian hospital kerana enggan ke sekolah selama beberapa bulan. Pihak sekolah telah sedaya upaya membantu namun masih gagal. Beliau telah dibawa oleh ibu dan  bapanya untuk perhatian pasukan psikiatri dan kesihatan mental.Hasil sesi kaunseling mendapati beliau mengalami masalah ketagihan melayari internet. Beliau menghabiskan kebanyakan masa untuk melayari internet termasuk mengorbankan masa tidur beliau. Keadaan diri beliau juga tidak terurus, berambut panjang dan menghadapi masalah penglihatan. Tambahan lagi, menurut ibu bapa, beliau sudah tidak berkomunikasi dengan ahli keluarga kerana kebanyakan masa dihabiskan dengan melayari internet. Kerana ketagihan, beliau mengorbankan masa tidur dan tidak pergi kesekolah. Akhirnya, beliau tidak lagi berminat untuk ke sekolah kerana menurut beliau  suasana persekolahan sangat membosankan.

Ketagihan di kalangan remaja

Jika dulu anak remaja sibuk dengan basikal dan bola. Anak remaja zaman sekarang sibuk dengan gajetnya. Remaja merupakan golongan yang serba tahu di dalam penggunaan gajet dan internet berbanding golongan dewasa. Mungkin kerana minat, tumpuan dan masa mereka banyak dihabiskan dengan gajet dan internet. Kebanyakan remaja bermula dengan mengunakan internet sebagai sistem perhubungan dan berakhir dengan gejala tingkahlaku yang serius. Ketagihan internet di kalangan remaja adalah bukan sahaja keinginan untuk sentiasa ’online’ (aktif di dalam talian), malah ia sehingga melibatkan pertaruhan dan perjudian. Beberapa individu yang membuat kajian di dalam bidang ketagihan telah mengenalpasti bahawa ketagihan internet dikalangan remaja adalah satu isu yang amat perlu dititikberatkan. Ini kerana ketagihan internet yang teruk akan memberi kesan yang tidak baik kepada diri seseorang dan masyarakat.

Punca Ketagihan Internet

Diantara punca ketagihan internet adalah apabila remaja tersebut menghabiskan kebanyakan masanya melayari internet serta merasa seronok daripada hasil aktiviti tersebut. Selain itu, suasana persekitaran dan pengaruh rakan sebaya juga menjadi punca kepada gejala ini.

Remaja yang mempunyai maslah kemurungan, ADHD (Attention Deficit Hyperactivity Disorder), penyakit kerisauan, low self-image dan rendah harga diri dikatakan mempunyai hubungan yang tinggi dengan ketagihan internet.

Rasa keinginan dan keperluan untuk berada dalam talian akan menjadi penyebab untuk mengeluarkan hormon endorphine (hormon kepuasan dan keseronokan) sepertimana terjadi kepada mereka yang ketagihan alkohol, dadah ataupun judi.

Tanda – Tanda ketagihan Internet

  • Tolerence – rasa bekeperluan untuk bermain dan bermain untuk merasai perasaan puas.
  • Obsession – banyak menghabiskan masa berfikir tentang apa yang berlaku ketika sedang dalam talian dan berfikir apa seterusnya yang ingin dilakukan.
  • Rasa kecewa, serabut dan marah ketika tidak dapat melayari internet.
  • Meninggalkan hobi lain semata-mata untuk fokus kepada aktiviti internet.
  • Berterusan menghabiskan masa dengan melayari internet walaupun telah mengalami perasaan dan perkara negatif seperti; masalah di sekolah, masalah hubungan interpersonal mahupun masalah kesihatan.

Antara tanda tanda lain yang mungkin memberi isyarat ketagihan internet adalah:

  • Kebanyakan masa lapang dihabiskan dengan melayari internet.
  • Mengantuk di sekolah.
  • Tidak melakukan kerja sekolah.
  • Prestasi pelajaran menurun.
  • Menipu ibu bapa tentang aktiviti melayari internet.
  • Memilih untuk melayari internet berbanding berjumpa dengan rakan
  • Tidak melibatkan diri di dalam aktiviti sekolah dan ko-kurikulum
  • Masalah mata kering dan masalah penglihatan

Kesan dan Akibat

Kimberly. Young ( 1996) di dalam kajiannya Internet Addiction: The Emergence of a new clinical disorder; menyatakan kesan dan akibat ketagihan internet adalah seperti berikut;

  • Kegagalan di dalam akademik.
  • Prestasi pekerjaan menurun.
  • Akan menghadapi masalah rumahtangga apabila sudah berkahwin.
  • Menghadapi masalah berat badan berkurangan atau bertambah

Rawatan Ketagihan Internet

Rawatan  Ketagihan Internet bergantung kepada beberapa aspek seperti tahap ketagihan seseorang remaja tersebut. Mungkin terdapat remaja yang memerlukan kemasukan ke wad sekiranya ketagihan internet mengganggu fungsi seharian dan membahayakan. Sesetengah remaja akan mendapat faedah daripada sesi terapi tingkahlaku dan kaunseling yang konsisten. Namun, setiap terapi akan berbeza-beza mengikut keperluan seseorang remaja tersebut.

Antara terapi yang boleh membantu mengawal ketagihan internet adalah;

  • Jadual yang berstruktur dan dipantau secara dekat tentang penggunaan internet
  • Terapi individu, terapi berkumpulan dan terapi keluarga
  • Modifikasi tingkahlaku
  • Cognitive Behavior Therapy( CBT)
  • Dialectical Behavior Therapy ( DBT)
  • Equine Therapy
  • Espressive Art Therapy
  • Recreational Therapy

Kaedah Pencegahan

  • Mengawasi tempoh masa anak apabila mereka perlu melayari internet (tujuan pembelajaran).
  • Mengehadkan masa melayari internet.
  • Tidak memberi telefon pintar kepada anak untuk dimiliki.
  • Berbual dan beraktiviti bersama anak- anak ketika masa lapang.
  • Menjalankan aktiviti bersama di luar rumah.
  • Mencipta hobi bersama anak.
  • Membawa anak ke majlis ilmu.

Rujukan

  1. Young, K.S (1996) .Internet Addiction :The Emergence of A New Clinical Disorder. Cyber Psychology and Behavior, Vol 1 No.3, pages 237-244.Retrieved July 2015, from http://www.who.int/maternal_child_adolescent/topics/adolescence/dev/en/
Semakan Akhir : 23 Januari 2017
Penulis : Nur Arifah binti Idris
Akreditor : Hashimah binti Abdul Razak