Home > Dewasa > Rehabilitasi Pulmonari

Rehabilitasi Pulmonari

Pengenalan

Apakah Rehabilitasi Pulmonari?

Rehabilitasi Pulmonari (RP) adalah suatu program yang membantu kesejahteraan pesakit yang mempunyai masalah pernafasan kronik.

Sebagai contoh RP memberi kesan baik kepada pesakit peparu seperti “chronic obstructive pulmonary disease (COPD)”, “idiopathic pulmonary fibrosis”, “sarcoidosis” atau “cystic fibrosis”.

RP juga boleh membantu pesakit-pesakit yang memerlukan pembedahan peparu samada sebelum atau selepas pembedahan.

Apakah Komponen-Komponen RP?

RP tidak menggantikan rawatan perubatan, tetapi ianya digunakan bersama-sama rawatan lain. Ini termasuklah:

  • Latihan senaman
  • Kaunseling pemakanan
  • Pembelajaran tentang penyakit peparu dan cara rawatannya
  • Teknik-teknik penjimatan tenaga
  • Strategi pernafasan
  • Kaunseling psikologi dan sokongan berkumpulan

RP melibatkan komitmen berpanjangan dari pesakit dan pasukan kesihatan termasuklah pakar respiratori, pakar rehabilitasi, pakar pemakanan, psychologist, jurupulih anggota, jururawat dan pekerja sosial.

RP selalunya dijalankan sebagai pesakit luar di sesebuah hospital atau klinik. Sesetengah pesakit juga boleh melakukan RP di rumah.

Apabila anda memulakan RP, pasukan kesihatan anda akan mengolah suatu pelan yang khas untuk keperluan dan kemampuan anda. Biasanya anda perlu menghadiri setiap minggu. Anda akan diarahkan oleh pasukan kesihatan anda untuk mematuhi semua pelan termasuklah latihan dan perubahan gaya hidup di rumah.

Terdapat banyak manfaat RP. Ia boleh membantu menambah baik fungsi dan kualiti hidup. Walaupun penyakit peparu pada peringkat teruk RP boleh membantu menyenangkan pernafasan anda.

Siapakah Yang Memerlukan Rehabilitasi Pulmonari?

Doktor anda akan mengesyorkan RP jika anda mengalami masalah peparu kronik atau masalah pernafasan yang menghadkan aktiviti-aktiviti harian anda.

Sebagai contoh:

  • “COPD” . Simptom COPD termasuklah batuk, batuk berkahak, perasaan ketat di dalam dada, nafas berbunyi dan sesak nafas.
  • Penyakit “Intertitial” peparu.  Penyakit peparu jenis ini mengakibatkan terjadinya parut dalam tisu peparu, akibatnya batuk dan sesak nafas. Contoh penyakit ini ialah “sarcoidosis” dan “idiopathic pulmonary fibrosis”

Pesakit yang akan menjalani pembedahan peparu untuk penyakit kanser peparu COPD atau pemindahan peparu akan dirujuk untuk menjalani RP sebelum dan sesudah pembedahan untuk membantu pemulihan selepas pembedahan.

RP juga boleh membantu pesakit yang mengalami kekurangan otot pernafasan, sebagai contoh pengidap “muscular dystrophy”.

Walaupun RP membantu pesakit pulmonari peringkat teruk, ia boleh dimulakan semasa penyakit di peringkat pertengahan.

Sebelum RP – Apakah Yang Perlu Anda Tahu?

Terlebih dahulu, tabiat pemakanan akan ditanya, jika perlu diubahsuai. Berat badan dan ketinggian akan diukur untuk mendapatkan BMI (body mass index) yang ideal. Ujian-ujian akan dilakukan oleh pasukan RP untuk mengetahui tahap pernafasan dan latihan yang perlu diberi. Ini termasuklah ujian peparu, mereka juga akan mengukur berapa jauh anda boleh berjalan dalam masa 6 minit, atau anda akan berjalan di atas treadmill dan pada waktu yang sama, paras oksigen, tekanan darah dan kadar pernafasan akan diukur.

Ubat-ubatan akan diperiksa dan akan diubahsuai jika perlu.

Kesihatan mental juga akan dinilai. Jika anda didapati berada di dalam keadaan cemas atau kemurungan, anda akan dirujuk kepada pakar yang merawat keadaan ini.

Semasa RP – Apakah Yang Perlu Anda Tahu?

Terdapat beberapa bahagian dalam RP seperti:

  • Latihan fizikal
  • Kaunseling pemakanan
  • Pengajian tentang penyakit anda
  • Teknik-teknik menjimatkan tenaga
  • Strategi pernafasan
  • Kaunseling psaikologi secara persendirian atau berkumpulan
    • Latihan fizikal
      Anda akan diajar untuk menggunakan kedua-dua tangan dan kaki. Ini boleh dilakukan menggunakan treadmill, basikal, atau mengangkat “dumbells” berukuran 1-2 kg. Ini dilakukan dalam jangkamasa yang pendek jika anda tidak mampu melakukannya dalam masa yang panjang dan kadar oksigen diperiksa melalui alat yang dilekatkan dijari anda.
      Latihan ini perlu dijalankan sekurang-kurangnya 3 kali seminggu.

 

    • Kaunseling pemakanan
      Anda akan di kategori samada kurang atau lebih berat badan, kerana kedua-duanya boleh menyusahkan pernafasan. Nasihat akan diberikan kepada kedua-dua kategori supaya berat badan ideal disasar dan dikekalkan.

 

    • Pengajian tentang penyakit anda
      Pengajaran tentang penyakit anda dan bagaimana ia dirawat akan diberi. Penyakit akan bertambah teruk jika anda mendapat jangkitan kuman pada peparu, atau menyedut udara yang meransang peparu seperti habuk persekitaran atau habuk rokok. Tanda-tanda jangkitan peparu akan diberitahu.
      Kepentingan mendapat pengajian ditekankan dan jika anda merokok, bantuan untuk berhenti merokok akan diberikan.
      Kaedah pengambilan pengubatan melalui sedutan akan diperiksa dan diperbetulkan, jika anda menggunakan oksigen di rumah, penggunaan yang betul akan ditunjuk.

 

    • Teknik-teknik menjimatkan tenaga
      Ini merangkumi tip-tip bagaimana untuk menghindarkan diri dari cuba mencapai, mengangkat dan membongkok kerana perbuatan-perbuatan ini menggunakan tenaga dan mengetatkan otot-otot abdomen seterusnya mengakibatkan lebih susah untuk bernafas.
      Teknik-teknik relaksasi dan cara-cara untuk mengelakkan stress juga ditunjuk ajar kerana stress menyebabkan penggunaan tenaga yang banyak dan sesak nafas.

 

    • Strategi pernafasan
      Anda akan diajar bagaimana untuk bernafas lebih panjang dan lebih dalam dalam. Ini dipanggil “pursed lip breathing”, di mana anda bernafas melalui hidung, kemudian secara perlahana-lahan menghembus nafas keluar melalui bibir yang tidak dibuka sepenuhnya seolah-olah cuba untuk memadam lilin. Anda boleh menghembus nafas keluar 2 hingga 3 kali lebih dari menarik nafas ke dalam.
      Otot-otot abdomen juga boleh digunakan untuk bernafas terutama sekali untuk menghembus angin keluar.
      Cara-cara untuk mengeluarkan kahak dengan betul juga akan dipelajari.

 

  • Kaunseling psaikologi secara persendirian atau berkumpulan
    Pesakit-pesakit kronik peparu lebih mudah mendapat rasa cemas, kemurungan dan situasi emosi yang lain. Oleh itu, banyak progam RP menyediakan khidmat kaunseling dan kumpulan sokongan.

Selepas RP – Apakah Yang Anda Perlu Tahu?

Kebanyakan progam RP berlangsung selama beberapa bulan. Pada akhir program, anda akan melalui beberapa ujian dan menjawab beberapa soalan.

Data yang di dapati pada akhir progam akan menunjukkan sama ada simptom, tahap aktiviti fizikal dan kualiti hidup akan telah bertambah baik. Jika semuanya telah bertambah baik, pasukan kesihatan akan menggalakkan anda untuk meneruskan program yang telah dijalankan samada di tempat yang sama atau di rumah.

Walaubagaimanapun, jika hanya sedikit atau tiada perubahan, anda akan dirujuk semula kepada doktor dan rawatan pengubatan perlu di ubahsuai, atau ada lagi ujian yang boleh disyorkan untuk mengenalpasti jika terdapat penyakit sampingan lain yang boleh dirawat untuk menambah baik pernafasan.

 

Semakan Akhir : 19 September 2013
Penulis : Dr. Norhaya bt. Mohd Razali