A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Reflek Gag / Reflek Muntah

Pengenalan

Adakah anda mempunyai masalah mudah muntah apabila jari atau objek tertentu dimasukkan ke dalam rongga mulut walaupun ianya tidak menyentuh anak tekak anda? Ataupun perasaan hendak muntah dirasai apabila hendak mendapatkan rawatan pergigian, sebagai contoh ketika pengambilan acuan rahang gigi dilakukan dalam proses pembuatan gigi palsu atau pengambilan x-ray gigi. Kadang-kadang tindakan meletakkan jangka suhu ke dalam mulut untuk memeriksa suhu badan juga boleh merangsang tindak balas untuk muntah.

Tindak balas ini sebenarnya ialah tindak balas normal badan bagi melindungi salur pernafasan serta saluran perut anda daripada dimasuki oleh benda asing. Otot-otot di sekeliling kawasan ini akan mengecut dengan tiba-tiba dan memuntahkan semula benda asing tersebut dari kawasan ini. Kebiasaannya tindak balas ini tidak diikuti dengan muntah tetapi ianya boleh berlaku jika tindak balas tersebut tidak dapat dikawal oleh anda.

Walau bagaimanapun, sesetengah daripada anda boleh juga mendapat reflek gag ini tanpa kehadiran sebarang rangsangan atau objek di dalam mulut. Ini boleh berlaku hanya dengan keadaan anda melihat, mendengar atau terhidu sesuatu yang spesifik dan terus merangsang anda untuk mendapat reflek gag. Antara contoh-contohnya adalah seperti:

  1. Melihat peralatan doktor pergigian sewaktu mendapatkan rawatan pergigian.
  2. Melihat seseorang yang muntah.
  3. Terhidu asap rokok atau minyak wangi.
  4. Memikirkan sesuatu yang tidak enak.
  5. Melihat darah.

Dalam kes kanak-kanak, perkara ini boleh berlaku sebagai satu helah oleh pesakit untuk mengelakkan diri daripada diberi rawatan tertentu di dalam mulut.

Sebaliknya , ketiadaan reflek gag iaitu apabila tiada dorongan untuk muntah walaupun objek bergerak melintasi lelangit lembut mungkin disebabkan oleh ketiadaan sensasi pharyngeal akibat kerosakan saraf atau mekanisme penghantaran isyarat saraf. Kebiasaannya kondisi ini mungkin disebabkan oleh kerosakan saraf glossopharyngeal atau saraf vagus, kematian otak, atau kerosakan lain kepada saraf atau pemancar saraf yang terlibat dalam proses induksi reflek gag ini.

Zon Rangsangan

Terdapat 6 kawasan yang dikenalpasti sebagai zon ransangan reflek gag (Rujuk Gambar). Sekiranya kawasan-kawasan ini disentuh, ianya boleh merangsang reflek muntah. Zon tersebut adalah:

  1. Lipatan Palatoglossal dan Palatofaringeal
  2. Dasar lidah
  3. Anak tekak
  4. Lelangit
  5. Dinding kerongkong.
  6. Kelenjar tonsil

Tanda & Gejala

Apabila reflek gag ini berlaku, kebiasaannya boleh diikuti dengan keadaan seperti di bawah:

  1. Penghasilan air liur yang banyak.
  2. Penghasilan air mata yang berlebihan
  3. Perpeluhan yang banyak.
  4. Peningkatan kadar denyutan jantung.
  5. Pengsan/pitam (jika tindakbalas yang berlaku agak teruk)

Faktor-Faktor Penyebab

Antara perkara yang boleh menyebabkan terjadinya reflek gag ialah:

  1. Faktor setempat dan sistemik.
    1. Mempunyai masalah resdung
    2. Hidung tersumbat
    3. Pembengkakan dalam hidung (Nasal Polyp)
    4. Mulut amat kering
    5. Pengambilan ubat tertentu
    6. Kencing manis yang tidak terkawal
    7. Masalah pedih perut (Gastrik)
    8. Permasalahan pada salur pernafasan.
    9. Pengambilan minuman keras berlebihan.
    10. Perokok tegar.
  2. Faktor fizikal
    1. Saiz lidah yang besar.
    2. Saiz kelenjar tonsil yang besar.
    3. Saiz anak tekak yang panjang.
    4. Lelangit keras dan lembut yang terlalu sensitif dari biasa.
  3. Faktor iatrogenic
    1. Sewaktu proses mengambil acuan rahang untuk membuat gigi palsu, bahan yang digunakan atau acuan tersebut masuk terlalu dalam ke bahagian kerongkong.
    2. Salur penyedut air liur yang diletakkan ke dalam mulut sewaktu rawatan gigi diletakkan terlalu ke belakang.

Implikasi

Akibat daripada masalah ini, sesetengah individu akan mengelak daripada mendapatkan rawatan pergigian apabila terdapat masalah pergigian. Ini akhirnya akan membawa kepada masalah yang lebih besar di mana gigi yang terlibat mungkin tidak dapat lagi diselamatkan tetapi perlu dicabut. Disebabkan reflek gag ini juga, individu tersebut mungkin terpaksa menjalani rawatan pergigian yang asalnya mudah di dewan bedah di bawah bius am.

Rawatan

Untuk merawat seseorang individu yang mengalami masalah reflek gag adalah sangat mencabar. Disebabkan oleh keadaan tersebut, beliau mungkin juga akan merasa malu serta tertekan apabila perkara ini berlaku. Oleh itu, adalah amat penting anda faham bahawa reflek gag ini bukanlah satu penyakit tetapi lebih kepada tindakbalas normal badan. Dan tindakbalas ini bergantung pada tahap kepekaan individu itu, yang mana ianya berbeza antara satu individu dengan individu yang lain.

Jadi perkara yang boleh dilakukan ialah:

  1. Pesakit perlu menyiapkan diri untuk menjalani rawatan serta bertenang sebelum rawatan dijalankan.
  2. Sekiranya reflek gag ini disebabkan oleh masalah gigi palsu maka berjumpalah semula dengan doktor pergigian anda supaya dapat diperiksa semula gigi palsu tersebut. Bergantung pada keperluan, mungkin sedikit modifikasi pada gigi palsu atau mungkin pembuatan gigi palsu baharu diperlukan. Kebiasaannya ia disebabkan oleh gigi palsu yang terlalu panjang sehingga bersentuhan dengan zon rangsangan (lelangit).
  3. Jika pemberian suntikan bius setempat dalam keadaan mulut terbuka membawa kepada reflek gag, maka pemberian suntikan boleh dilakukan dalam keadaan gigi atas dan bawah dirapatkan dengan teknik khas (Teknik Akinosi).
  4. Sebarang proses pengambilan acuan rahang untuk membuat gigi palsu atau korona gigi dilakukan dalam keadaan postur pesakit duduk tegak. Hal ini dapat mengurangkan rangsangan reflek.
  5. Cubaan untuk mengalihkan perhatian boleh dilakukan sewaktu rawatan pergigian dibuat seperti menggerak-gerakkan hujung kaki atau memikirkan sesuatu perkara yang menyenangkan.
  6. Membuat sedutan dan hembusan nafas berulang ulang boleh dilakukan untuk mengalih perhatian dan menghalang reflek gag daripada terjadi.
  7. Penggunaan semburan bius setempat pada bahagian dalam mulut terutama bahagian yang menjadi fokus iritasi muntah boleh dilakukan. Contoh semburan adalah seperti yang berasaskan lignocaine atau benzydamine hydrochloride sebelum menjalankan rawatan atau pemeriksaan dalam mulut. Selain itu, ubat kumur yang mengandungi bahan bius setempat juga boleh digunakan. Langkah pencegahan yang sama juga patut dilakukan sewaktu proses pengambilan x-ray di dalam mulut.

Terdapat pelbagai cara yang boleh dilakukan untuk mengadaptasikan keadaan reflek ini supaya tidak berlaku. Anda digalakkan berjumpa dan berbincang dengan doktor bagi kaedah-kaedah yang terkini.

Rujukan

  1. C.R Means, I.E Flenniken: Gagging – a problem in prosthetic dentistry.  J.Prost.Dent. Vol.23(6), 1970.
  2. http://www.powershow.com/view/ff7b9NDljN/The_Assessment_and_Management_of_Patients_with Pronounced_Gag_Reflexes_powerpoint_ppt_presentation
  3. The Etiology & Management of Gagging: A Review of Literature. J.Prost.Dent.-G.S Bassi,G.M. Humphris, L.P. Longman (May 2004)

 

Semakan Akhir : 28 September 2016
Penulis / Penterjemah : Dr. Rithuan bin Awang
Akreditor : Dr. Sharifah Tahirah bt. Syed Alwi Al-Junid

Artikel Berkaitan

Cabutan Gigi Untuk Pendakap

Rawatan ortodontik untuk susunan gigi yang sesak biasanya melibatkan pemakaian pendakap dan sering termasuk cabutan gigi.

Masalah Berkaitan Pertumbuhan Gigi

Pertumbuhan gigi merupakan salah satu proses dalam perkembangan kegigian.Manusia mempunyai 2 jenis gigi, iaitu gigi susu dan gigi kekal.Gigi susu, yang terdiri dari 20 batang akan mula tumbuh pada umur lebih kurang 6 bulan.Gigi kekal, berjumlah 32 batang akan mula tumbuh ketika kanak-kanak berumur lebih kurang 6 tahun.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 222,206,356

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-25 14:19:35
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia