A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Dewasa
  4. /
  5. Penyakit
  6. /
  7. Dermatologi
  8. /
  9. Rawatan Vitiligo (Sopak)

Rawatan Vitiligo (Sopak)

Vitiligo atau sopak adalah penyakit kulit yang dihidapi oleh 0.5 hingga 2 peratus penduduk dunia. Ia merupakan masalah pigmentasi kulit yang menyebabkan tompok-tompok putih di bahagian badan dengan sebaran secara simetri pada kulit manusia.

Apakah Vitiligo?

Vitiligo atau sopak adalah penyakit kulit yang dihidapi oleh 0.5 hingga 2 peratus penduduk dunia. Ia merupakan masalah pigmentasi kulit yang menyebabkan tompok-tompok putih di bahagian badan dengan sebaran secara simetri pada kulit manusia.

Satu per dua (1/2) pesakit menghidapi penyakit ini sebelum berumur 20 tahun dan satu pertiga (1/3) pesakit mempunyai sejarah keluarga yang positif. Vitiligo dikaitkan dengan penyakit autoimun seperti diabetes mellitus, tiroid, pernicious anemia dan penyakit Addison.

Terdapat lima (5) jenis vitiligo:

  • Umum (Generalized)
  • Setempat (Local)
  • Bersegmen (Segmental)
  • Acrofacial
  • Umum (Universal)

Vitiligo umum atau vitiligo vulgaris adalah jenis vitiligo yang paling kerap berlaku. Diagnosa penyakit kebiasaannya dibuat secara klinikal. Namun begitu, biopsi kulit (pemeriksaan cebisan kulit) boleh membantu dalam sesetengah kes untuk mendapatkan kepastian.


Gambarajah 1: Vitiligo pada kedua-dua kaki dengan sebaran secara simetri.


Gambarajah 2: Vitiligo pada lengan kanan.

Rawatan vitiligo

Penyakit ini tidak dapat sembuh sepenuhnya. Rawatan yang diberi bertujuan untuk menghasilkan semula pigmentasi dan menstabilkan proses kehilangan pigmentasi.

Rawatan boleh dibahagikan kepada:

  • Rawatan umum
  • Rawatan topikal
  • Fototerapi
  • Rawatan pembedahan

Rawatan topikal sesuai untuk pesakit vitiligo setempat, fototerapi sesuai untuk pesakit vitiligo umum dan rawatan pembedahan diberikan kepada pesakit vitiligo bersegmen.

Rawatan umum

  • Pelindung matahari disyorkan untuk melindungi kulit vitiligo daripada terbakar dan luka.
  • Menggunakan kosmetik dan pewarna kulit untuk menutupi kawasan yang terlibat bagi mengurangkan tekanan perasaan.

Rawatan topikal

  • Topikal kortikosteroid
    Rawatan ini paling berguna untuk vitiligo setempat yang baru terjadi. Ia adalah rawatan tahap pertama untuk kanak-kanak. Kortikosteroid topikal mempunyai kadar kejayaan paling tinggi.  Selepas 3 bulan, jika rawatan tidak berkesan dapatkan rawatan lain.
  • Topikal tacrolimus
    Sesuai untuk pesakit yang berusia lebih muda dan bagi kawasan kulit yang sensitif seperti kelopak mata kerana rawatan tidak menyebabkan kulit menjadi nipis dan kesan negatif lain yang disebabkan oleh steroid.
  • Pelunturan pigmentasi
    Melibatkan pelunturan kulit secara kekal kepada bahagian kulit normal (tiada vitiligo). Ia hanya dipertimbangkan apabila kaedah rawatan lain tidak berkesan. 20% Monobenzylether hydroquinone digunakan pada kulit sehingga warna kulit luntur dan kelihatan sekata dengan bahagian kulit vitiligo.

Fototerapi

  • NBUVB (Narrow band UVB)
    Kajian telah menunjukkan bahawa NBUVB lebih berkesan dari PUVA oral atau topikal bagi pemulihan pigmentasi dan kurang kesan sampingan. Rawatan diberikan 2 hingga 3 kali seminggu. Rawatan ini selamat digunakan untuk wanita hamil dan kanak-kanak.
  • Topikal PUVA (psoralen + UVA)
    0.1% 8-methoxypsoralen (MOP) disapu pada kulit dan didedahkan kepada UVA selepas 30 minit. Rawatan diberikan 2 hingga3 kali seminggu. Rawatan perlu ditangguhkan sementara waktu jika berlaku tindak balas negatif. Antaranya adalah kemerahan yang berlebihan, kulit melepuh, edema dan gatal yang teruk. Rawatan 8-MOP topikal dengan pendedahan cahaya matahari boleh diberikan kepada pesakit yang sukar mendapatkan fototerapi UVA.
  • PUVA (psoralen + UVA) oral
    Kaedah rawatan ini digunakan jika rawatan PUVA topikal tidak berkesan. Tidak sesuai untuk wanita hamil dan menyusu, kanak-kanak berusia bawah 12 tahun, individu yang fotosensitif, dan mempunyai sejarah kanser kulit atau katarak. 8-MOP oral diberi 2 jam sebelum pendedahan kepada UVA. Rawatan diberikan 2 hingga 3 kali seminggu. Kesan sampingan termasuk loya, muntah dan reaksi fototoksid.
  • Laser eksimer
    Rawatan ini telah terbukti meningkatkan pencapaian klinikal dan boleh merawat tompokan vitiligo tanpa menjejaskan bahagian yang tidak terlibat.
Semakan Akhir : 23 Ogos 2019
Penulis : Dr. Azura Mohd Affandi
Penterjemah : Noorhayati bt. Kassim
Akreditor : Datin Dr. Asmah Johar
Penyemak : Dr. Nazatul Shima bt. Abd Rahim

Artikel Berkaitan

Ketuat – Dewasa

Ketuat disebabkan oleh jangkitan virus, human papillomavirus (HPV). Ia boleh melibatkan bahagian kulit dan mukosa seperti di bahagian alat kelamin lelaki dan perempuan.

Kelemumur

Kelemumur lazimnya dikenali sebagai dandruff

Kurap

Kurap atau tinea corporis adalah sejenis penyakit kulit yang disebabkan oleh jangkitan sejenis kulat (fungi) yang dipanggil dermatophyte.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 222,234,152

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-25 14:19:35
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia