Home > Kesihatan Pergigian > Rawatan Fluorida Topikal

Rawatan Fluorida Topikal

Pencegahan Karies Gigi Melalui Rawatan Fluorida Topikal

Pengenalan

Rawatan bagi karies atau kerosakan gigi adalah mahal dan boleh memberi kesan yang signifikan kepada beban ekonomi kerana penyakit ini berlaku secara meluas. Para penyelidik dan pihak berkuasa kesihatan telah memperkenalkan pelbagai kaedah bagi menangani karies gigi dengan  mencegah ia dari berlaku dan mengurangkan impak terhadap kualiti kehidupan individu-individu dan masyarakat.

Dalam pencegahan karies gigi, fluorida, selain daripada makanan, telah lama dikenal pasti sebagai faktor utama dalam mengurangkan tahap karies di kalangan kanak-kanak dan orang dewasa sejak lebih daripada 60 tahun yang lalu. Fluorida menguatkan permukaan gigi dan menjadikan ia lebih rentan terhadap tindakan asid yang menyebabkan pereputan gigi. Hasilnya, ia mengawal dan mencegah kejadian karies gigi.

Penggunaan fluorida dalam pencegahan karies boleh dibahagikan kepada tiga kategori iaitu komuniti, individu dan profesional. Dalam ketiga-tiga kategori ini, fluorida memberi kesannya apabila ia menyentuh permukaan gigi.

Pencegahan Karies Secara Fluorida Topikal

Pencegahan karies secara fluorida topikal melibatkan sapuan produk yang mengandungi fluorida pada permukaan gigi oleh anggota pergigian terlatih.

Varnis Berfluorida

Varnis berfluorida mula diperkenalkan pada tahun 1960-an dan seterusnya sapuan topikal fluorida secara profesional digunakan dengan sangat meluas di negara Eropah. Kegunaannya di Asia masih terhad kepada negara yang berpendapatan sederhana atas  dan berpendapatan tinggi seperti Singapura, Korea Selatan, Hong Kong, Brunei dan Malaysia (Lo, Tenuta & Fox, 2012). Varnis berfluorida kebanyakannya mengandungi lapisan lakuer (lacquers) yang terdiri daripada 5% fluorida dalam resin. Resin mengeras serta-merta setelah disapu membenarkan fluorida berkepekatan tinggi (22,500 bpj) bersentuhan pada permukaan gigi untuk jangka masa yang lebih panjang berbanding melalui kaedah aplikasi yang lain. Kepekatan varnis berfluorida yang tinggi (22,500 bpj) mengurangkan kehilangan mineral dari permukaan gigi dan bertindak menyimpan fluorida di dalam rongga mulut. Fluorida berkepekatan yang lebih tinggi di dalam rongga mulut akan merencat dan menghalang proses pembentukan lubang pada gigi.

Sapuan varnis berfluorida sesuai untuk individu yang mempunyai bilangan gigi berkaries yang tinggi, kurang pendedahan kepada air berfluorida, masalah perubatan dan individu kurang upaya. Varnis berfluorida telah disahkan oleh banyak kajian antarabangsa sebagai kaedah efektif untuk mencegah karies (Marinho, 2009). Kajian-kajian ini menganggarkan 45%-48% penurunan karies apabila varnis berfluorida disapu 2 kali setahun. Jadi adalah disarankan sapuan 2 kali setahun bagi individu-individu berisiko sederhana mendapat karies dan sapuan sekali setiap 3 bulan bagi individu-individu berisiko tinggi mendapat karies.

Varnis berfluorida adalah efektif pada gigi kekal dan gigi susu walaupun kesannya adalah lebih ketara pada gigi kekal. Varnis berfluorida turut digunakan untuk merawat  karies pada akar gigi di kalangan warga emas (Raghoonandan, Cobban, Compton, 2011). Sapuan varnis berfluorida boleh dijalankan oleh mana-mana anggota pergigian terlatih, tidak memakan masa yang lama dan tidak melibatkan kos peralatan tambahan yang mahal. Varnis ini mudah digunakan dan melekat pada permukaan gigi walaupun dengan kehadiran air liur menjadikan ia pilihan paling sesuai untuk kanak-kanak. Cuma harga bahan ini adalah lebih mahal. Namun begitu, ia boleh disapu pada permukaan gigi yang khusus dan tempat serta amaun yang digunakan boleh dikawal.


Varnis berfluorida disapu pada permukaaan gigi

Gel Berfluorida

Gel berfluorida kerap digunakan di USA dan Kanada. Gel yang paling kerap digunakan adalah Fluorida Fosfat Berasid (APF) dengan kepekatan fluorida 1.23% atau 12,300 bpj. Kegunaan gel berfluorida ini hampir sama dengan varnis berfluorida di mana ia biasanya digunakan apabila pesakit memakai pendakap gigi dan apabila varnis tidak boleh disapu secara terus pada permukaan gigi. Terdapat dua jenis gel berfluorida. Jenis yang pertama disapu oleh anggota pergigian profesional terlatih di dalam klinik gigi dan mengandungi kandungan fluorida yang lebih tinggi. Jenis kedua adalah untuk kegunaan di rumah dengan fluorida yang berkepakatan lebih rendah.

Keberkesanan sapuan gel berfluorida secara profesional telah didokumenkan. Frekuensi sapuan yang disyorkan adalah sekurang-kurangnya 2 kali setahun bergantung kepada tahap risiko karies. Gel berfluorida boleh diterima pada kebanyakkan pesakit terutamanya orang dewasa. Sesetengah kanak-kanak sukar memberikan kerjasama apabila ceper Styrofoam dimasukkan ke dalam mulut dan mungkin boleh muntah.

Ubat Kumur Berfluorida

Ubat kumur berfluorida selalunya digunakan sebagai kaedah tambahan kepada pemberusan gigi di mana tidak terdapat pemfluoridaan bekalan air awam. Ubat kumur berfluorida tidak sepatutnya diberikan kepada kanak-kanak berumur enam tahun ke bawah. Ia tidak disyorkan jika terdapat kaedah penyampaian fluorida yang lain.

Cecair yang selalu digunakan adalah stannous fluorida dengan fluorida berkepekatan lebih rendah (1,500-3,000 bpj) berbanding dengan gel dan varnis. Kadang-kala ubat kumur berfluorida diberi di klinik melalui preskripsi doktor gigi, dan sesetengahnya dengan kepekatan fluorida yang rendah dijual di kaunter dan kerap digunakan di rumah. Seorang penyelidik bernama Marinho (2008) memaklumkan ubat kumur berfluorida berkesan dalam mencegah berlakunya karies khususnya apabila penggunaannya dipantau.  Beliau juga mencadangkan kombinasi penggunaan ubat kumur berfluorida dan ubat gigi menghasilkan kesan pencegahan karies yang lebih baik berbanding dengan hanya menggunakan ubat gigi sahaja. Kajian di Malaysia oleh Chen dan rakan-rakan (2010) menunjukkan status karies yang lebih baik di kalangan murid sekolah rendah yang terlibat dengan program berkumur-kumur dan mencadangkan agar program berkumur-kumur dengan ubat kumur berfluorida dijalankan setiap minggu di kalangan murid sekolah rendah di kawasan pedalaman dan kawasan-kawasan yang tidak berfluorida.

Kesimpulan

Penggunaan fluorida topikal bukanlah prosedur rutin dalam amalan pergigian. Ia digunakan untuk individu-individu yang berisiko tinggi mendapat karies. Produk fluorida topikal membantu dalam mencegah karies gigi khususnya di kawasan yang tiada pemfluoridaan bekalan air, komuniti dengan penggunaan gula yang banyak dan juga masyarakat terpinggir di mana tidak terdapat ubat gigi berfluorida.  Peranannya dalam pencegahan karies di peringkat komuniti masih terhad berbanding dengan kaedah pencegahan yang meluas seperti pemfluoridaan bekalan air, ubat gigi berfluorida dan pendidikan kesihatan pergigian.

Rujukan

  1. Chen CJ-A, Ling KS, Esa R, Chia JC, Eddy A, Yaw SL (2010). A School-based Fluoride Mouth Rinsing Programme in Sarawak: A 3-year Field Study. Community Dent Oral Epidemiol, 38:310-314.
  2. Lo, E.C.M., Tenuta, L.M.A.&  Fox,C.H.(2012) Use of Professionally Administered Topical Fluoride In Asia. Adv Dent Res, 24(1), 11-15.
  3. Marinho, V.C.C. (2008). Evidence-based Effectiveness of Topical Fluorides. Adv Dent Res, 20,3-7
  4. Marinho, V.C.C. (2009). Cochrane Reviews Of Randomized Trials Of Fluoride Therapies for Preventing Dental Caries. European Archives of Paediatric Dentistry, 10 (3), 183-191.
  5. Raghoonandan, P., Cobban, S.J. & Compton, S.M. (2011) Scoping Review Of The Use Of Fluoride Varnish In Elderly People Living In Long Term Care Facilities. Can J Dent Hygiene, 45, No. 4, 217-222.
Semakan Akhir : 25 April 2014
Penulis : Dr. Aminuddin b. Mohd Natar
Penterjemah : Dr. Mustaffa b. Jaapar
Akreditor : Dr. Tan Ee Hong
Penyemak : Dr. Sharol Lail b. Sujak