A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Umum
  4. /
  5. Forensik
  6. /
  7. Rantaian Bukti Forensik

Rantaian Bukti Forensik

Rantaian bukti merujuk kepada urutan dokumentasi yang menunjukkan perlindungan, kawalan, pemindahan kedudukan, analisa dan pelupusan sesuatu bahan bukti.

 

Definisi Rantaian Bukti (COC)

Rantaian bukti (COC) adalah istilah undang-undang yang merujuk kepada keupayaan untuk memastikan integriti sesuatu bahan bukti terjamin dari masa ianya diambil sehinggalah keputusannya dilaporkan dan dibentangkan di mahkamah. Rantaian bukti juga merujuk kepada urutan dokumentasi yang menunjukkan perlindungan, kawalan, pemindahan kedudukan, analisa dan pelupusan sesuatu bahan bukti. Pematuhan terhadap undang-undang COC bagi spesimen yang diperolehi adalah wajib untuk memastikan kebolehpercayaan dan integriti analisa yang dijalankan ke atasnya. Spesimen yang mudah dicam, dihantar, dianalisa dan disimpan dengan cara yang betul telah keputusannya mudah diterima dan disahkan melalui keterangan pakar di mahkamah dari segi undang-undang (Lyle 2004). Di bawah Akta Keterangan 1950, COC juga ditakrifkan sebagai rekod bertulis yang disaksi oleh semua individu yang terlibat dalam mengekalkan rantaian yang tidak terputus ke atas bahan bukti berkenaan.


Sumber : imgarcade.com
Integriti Rantaian Bukti Forensik

Spesimen-spesimen pengamalan perubatan forensik di Institut Perubatan Forensik Malaysia biasanya terdiri daripada spesimen patologi forensik iaitu spesimen-spesimen bedahsiasat dan bahan bukti yang dikutip oleh doktor bertugas dan juga spesimen-spesimen perubatan forensik klinikal termasuklah spesimen daripada mangsa, suspek atau orang yang ditahan serta spesimen DNA yang dikutip untuk isu pertikaian keluarga mengenai pertalian darah. Spesimen ini perlu dihantar untuk analisis seperti toksikologi, alkohol, DNA dan serologi, entomologi, kesan tanda senjata atau peralatan, balistik, bukti fizikal halus, histopatologi, ujian mikrobiologi dan virologi. Tujuan spesimen tersebut diambil dan direkodkan adalah untuk mengetahui diagnosis supaya dapat menyokong penemuan bedah siasat ke atas mangsa atau penjenayah, bagi menentukan mekanisma atau punca kematian serta dijadikan sebagai bukti untuk mensabitkan suspek dalam sesuatu jenayah. 


Sumber: practicalhomicide.com


Sumber: mass.gov

Bagaimana Mengekalkan COC

Kronologi Dokumentasi

Dokumentasi bermula daripada penerimaan panggilan di balai polis dan akan berterusan sehingga siasatan selesai dan kes itu ditutup. Dokumentasi adalah langkah yang paling penting dan pegawai penyiasat perlu menjadi lebih sistematik dan teratur dalam merekod dan memelihara hubungan antara bukti fizikal dengan keadaan tempat kejadian atau mayat yang dijumpai supaya penilaian semula terhadap tempat kejadian dapat dijalankan dan dikaitkan dengan bukti fizikal yang ditemui. Terdapat lima kaedah dokumentasi iaitu termasuk penulisan nota, fotografi, lakaran, rakaman video dan juga audio. Catatan nota adalah salah satu komponen rekod bertulis tentang kegiatan, lokasi bukti fizikal, penerangan mengenai orang di tempat kejadian, keadaan tempat kejadian dan penemuan bedah siasat. Rakaman video dan audio juga merupakan satu lagi bentuk rekod nota yang penting. Lakaran dan fotografi adalah saling melengkapi untuk merakamkan gambaran keseluruhan tempat kejadian atau kecederaan pada mangsa dengan lebih jitu. Bak kata pepatah ‘satu gambar bernilai seribu perkataan’. Gambar-gambar ini dapat membantu dalam menyegarkan lagi ingatan saksi dan pegawai penyiasat, menunjukkan hubungan antara bahan bukti di tempat kejadian serta menyampaikan imej keadaan sekeliling jenayah kepada juri. Demi memastikan supaya bukti gambar boleh diterima di mahkamah, pegawai penyiasat mesti berupaya memberi keterangan dengan tepat dan membuktikan bahawa gambar itu adalah jelas menunjukkan kawasan tempat kejadian sebenar itu (PDRM 2009).

Pergerakan dan Lokasi Bahan Bukti

Bahan bukti perlu ditandatangani oleh sesiapa yang menjumpainya untuk pengenalan seterusnya tanpa merosakkan atau mengubah ciri-cirinya yang spesifik. Ini adalah untuk memastikan pegawai penyiasat atau pakar patologi boleh mengecam bahan bukti dengan tepatnya seperti mana yang mereka jumpai di tempat kejadian atau pada mayat itu. Walau bagaimanapun, tidak semua bahan bukti boleh ditandakan secara langsung seperti peluru atau selongsongnya, maka ia boleh diletakkan ke dalam beg bahan bukti yang ditandatangani oleh nama pegawai yang menemuinya serta ditanda dengan maklumat termasuklah nomber kes, nama dan penerangan item, nama saksi kepada penemuan, tarikh, masa dan juga lokasi. Sesetengah bahan bukti memerlukan pembungkusan khas sebelum diletakkan dalam beg bahan bukti. Sebagai contoh, sampel darah perlu diambil oleh pakar patologi dengan menggunakan swab berkapas lembap. Selepas kering, swab itu diletakkan ke dalam tiub kaca tertutup dan tiub itu kemudiannya ditandatangani oleh pegawai bertanggungjawab dan tarikh kutipan. Tiub itu kemudiannya diletakkan ke dalam beg bahan bukti yang juga telah ditanda menggunakan cara yang sama (Lyle 2004).

Pegawai dan Agensi Terlibat

Setiap pegawai yang menerima bahan bukti perlu menandatangani serta menulis tarikh pada beg bahan bukti dan kemudiannya akan bertanggungjawab untuk mengekalkan integritinya sehingga ia diserah kepada pegawai seterusnya atau melalui rantaian bukti itu. Sebagai contoh, seorang pegawai polis menjumpai selongsong peluru di tempat jenayah berlaku; dia akan mengutip, menandakan, menyimpankannya ke dalam beg bahan bukti yang telah ditanda dan kemudian tandatangan padanya sewaktu penyerahan kepada pegawai penyiasat di tempat kejadian. Pegawai penyiasat menghantar bahan bukti tersebut ke makmal dan tandatangan padanya semasa diserahkan kepada pegawai sains forensik (FSO) dan COC akan terus dikekalkan di makmal yang mana mungkin lebih banyak eksibit akan terjana berbanding apa yang telah diterima. FSO membungkus setiap eksibit tersebut secara berasingan dan memberikan tanda pengenalan tersendiri padanya bersama-sama dengan penerangan yang teliti mengenai sampel tersebut melalui catatan pada buku nota atau lembaran kerja supaya senang dicam dengan adanya tandatangan pada label. Selepas barangan bukti diuji dan dinilai, FSO menandatangani bahan bukti itu sewaktu menyerahkannya kepada pihak polis yang mana melibatkan pegawai yang bertanggungjawab di kawasan penyimpanan bahan bukti yang bercagar dan selamat di balai polis. Pegawai itu akan menyimpan bahan bukti tersebut dengan selamatnya sehingga ia diperlukan lagi. Dari situ, ia boleh ditandatangani dan diserahkan kepada peguam pendakwa raya untuk dipersembahkan di mahkamah (Lyle 2004). Prosedur ini adalah sama bagi spesimen yang dikumpul di jabatan perubatan forensik oleh pakar patologi atau pegawai perubatan forensik.


Sumber: shopevident.com


Sumber: Tritechforensic.com


Sumber: mantakit.co.za


Sumber:salesleadmgmtassn.com

 
Sumber: crimefictioncollective.com

 
Sumber: crimefictioncollective.com

Kronologi dokumentasi dan pergerakan bahan bukti

 

Apakah Kepentingan COC Dalam Undang-Undang Mahkamah

Menurut Kamus Inggeris Oxford, eksibit merupakan apa jua dokumen atau objek yang ditampilkan di mahkamah dan telah dirujuk kepada atau dikenal pasti sebagai bahan bukti. Bahan bukti juga boleh ditakrifkan sebagai suatu bentuk undang-undang yang memerlukan keterangan saksi untuk membuktikan atau menolak kebenaran sesuatu subjek yang tertakluk di bawah pemeriksaan kehakiman. Kesinambungan bahan bukti melibatkan dokumentasi bahan bukti bermula dari suatu lokus atau seseorang dalam bentuk siri pergerakan tertentu dan kadang-kadang juga ahli-ahli sains dikehendaki untuk hadir ke mahkamah mengikut keperluan undang-undang bagi tujuan perbicaraan. Tanpa adanya rekod berterusan yang menunjukkan bahawa bahan bukti itu telah disimpan dengan selamat iaitu dari tempat kejadian atau bilik mayat ke makmal dan akhirnya ke mahkamah, maka bahan bukti tersebut adalah tidak boleh diterima di mahkamah. Setiap peguam bela akan sentiasa mempersoalkan kesahihan dan integriti setiap bahan bukti bahawa sebarang pencemaran oleh unsur luar adalah sukar dielakkan. Itulah sebabnya setiap orang yang mengendalikan bahan bukti mesti mengambil kira dan direkodkan sebagai rantaian yang tidak terputus dalam COC iaitu dari tempat kejadian sehingga ke mahkamah perbicaraan. Jika COC tetap utuh, setiap saksi iaitu dari pegawai yang menjumpai bahan bukti kepada penjaga bahan bukti boleh memberi keterangan bahawa bahan bukti yang dikemukakan di mahkamah memang serupa dengan bahan bukti yang dikutip di tempat kejadian atau bilik mayat dan telah diuji di makmal dengan tepatnya (Lyle 2004). Adalah penting bahawa penyiasatan kes jenayah telah diuruskan dengan teliti untuk memastikan semua eksibit yang dikemukakan kepada mahkamah adalah boleh diterima. Pengecaman, pengumpulan dan pemeliharaan bahan bukti di tempat kejadian juga adalah penting untuk menghasilkan keputusan analisa yang berkualiti melalui ujian di lapangan (Almog 2006).


Sumber: amazon.com
Kronologi rantaian bukti forensik

Justerunya, pemeliharaan bahan bukti adalah sangat penting dalam COC di mahkamah dari segi undang-undang. Ini adalah untuk mengelakkan sebarang perubahan daripada keadaan asalnya atau gangguan terhadapnya melalui penambahan, penghapusan, pemindahan, kemusnahan atau pencemaran bersilang ke atas bahan bukti di tempat kejadian. Beberapa kaedah pemeliharaan termasuklah sentiasa memakai sarung tangan dan topeng muka apabila memasuki tempat kejadian atau bilik mayat, penggunaan peralatan dan kelengkapan yang bersih, bungkus dan meterai eksibit dengan betul, memeriksa mangsa dan suspek di tapak tertentu yang jauh dari tempat kejadian jenayah sahaja seperti bilik mayat atau jabatan perubatan forensik. Pemeliharaan bermula dari prosedur rekod yang betul di tempat kejadian iaitu termasuklah dokumentasi, penandaan, meterai dan label, nota, lakaran, fotografi atau rakaman video. Manakala pemulihan pula adalah melibatkan pengumpulan dan pembungkusan bukti fizikal dengan cara yang boleh mengelak sebarang perubahan daripada berlaku iaitu di antara masa ia dikeluarkan dari tempat kejadian dengan masa ia diterima di makmal forensik (Saferstein 2007). Penandaan dan label bukti fizikal yang betul adalah penting untuk menambah kredibiliti dan kawalan ke atas keupayaan untuk mengenal pasti semula barangan bukti tersebut pada suatu masa nanti. Selalunya seseorang itu tidak memahami kepentingan perkara kecil yang mereka lakukan sehingga mereka telah melakukannya. Ini adalah perkara kecil yang menjadi seseorang itu menonjol. Tidak hanya pandai bercakap untuk kerjanya, tetapi sebaliknya patut membenarkan kerja untuk bercakap bagi seseorang itu (PDRM 2009).


Sumber: mlive.com
Pemeriksaan eksibit di makmal

Impak COC Terhadap Nilai Bahan Bukti Dan Hasil Perbicaraan

Seperti yang telah ditulis bawah Seksyen 60(3) Akta Keterangan 1950, jika keterangan lisan merujuk kepada kewujudan atau keadaan apa-apa benda material termasuk sesuatu dokumen, maka mahkamah boleh, jika difikirkannya patut, menghendaki supaya benda material atau dokumen itu dikemukakan untuk pemeriksaannya. Nilai sesuatu bahan bukti perlu sentiasa diingati oleh seseorang pegawai penyiasat atau pakar patologi apabila mejalankan penyiasatan tempat kejadian jenayah atau bedah siasat. Sains forensik tidak bermula dalam makmal tetapi di tempat kejadian dan mayat yang dijumpai (Almog 2006). Semua bukti fizikal harus dibungkus dan ditandakan dengan berhati-hati di tempat kejadian. Ketelitian boleh mengelakkan supaya tidak memusnahkan nilai sesuatu bahan bukti atau mengehadkan bilangan pemeriksaan yang mungkin boleh dilakukan. Nama dan tandatangan pengutip spesimen dan tarikhnya perlu ditulis pada bungkusan bersama-sama dengan penerangan bahan bukti tersebut dan tempat asal spesimen dikutip. Perpindahan bahan bukti antara individu yang terlibat mesti direkodkan dalam nota dan borang yang sesuai. Setiap individu yang memiliki bahan bukti itu mesti mengekalkan setiap rekod bertulis mengenai pemerolehan dan pelupusannya. Kegagalan untuk menyokong COC bahan bukti itu akan membawa kepada persoalan serius mengenai kesahihan dan integriti bahan bukti dan keputusan pemeriksaan ke atasnya. Integriti bagi sesuatu eksibit adalah jaminan untuk memastikan bahan bukti tidak pernah diganggu atau diubah dari keadaan asalnya. Integriti yang dikekalkan melalui cara pembungkusan, pelabelan dan tandatangan yang betul boleh memastikan supaya tiada kelemahan wujud dalam kesinambungan bahan bukti dan tidak terjejas oleh pencemaran bersilang. Kesinambungan COC dan identiti unik bagi bahan bukti boleh dipelihara melalui bungkusan, label dan meterai yang betul atau melalui pemerhatian formaliti dari segi undang-undang. Dokumentasi bahan bukti hendaklah diambil kira dari masa pemulihannya di tempat kejadian ke masa penampilannya di mahkamah (PDRM 2009).


Keterangan Lisan

Sebagai contoh, kejayaan analisa DNA ke atas bahan bukti biologi yang dikutip dari tempat kejadian atau mayat adalah banyak bergantung kepada jenis spesimen yang telah dikutip dan bagaimana mereka telah dipelihara. Jika ia tidak dikutip dengan betul, kualiti biologinya mungkin hilang. Jika ia tidak dibungkus dengan sewajarnya, pencemaran bersilang mungkin telah berlaku. Jika bukti DNA tidak dipelihara dengan betul, penguraian dan pelupusan mungkin telah berlaku. Kesan ini akan menjejaskan hasil analisa DNA dan seterusnya mempengaruhi sesuatu perbicaraan. Pengendalian sampel darah yang tidak memuaskan telah menyebabkan banyak kelemahan pada bahan bukti itu. Oleh itu, tertuduh kadang-kadang tidak boleh dihukum disebabkan oleh kurangnya kesungguhan dalam penyiasatan polis serta dalam prosedur pendakwaan dan kemudiannya tertuduh pula berhak mendapat manfaat daripada keraguan tersebut (lihat Pang Chee Meng v Pendakwa Raya [1992] 1 MLJ 137 di p 142). Jika pihak pendakwa ingin bergantung kepada bukti DNA untuk menghubungkait antara sampel darah dengan tertuduh dalam kes tertentu, pihak pendakwa raya harus sekurang-kurangnya memperkenalkan fakta asas untuk menunjukkan siapa yang mengutip sampel darah itu, maklumat seperti dari siapa, bagaimana dan bila sehinggalah keterangan itu dikemukakan oleh pendakwa raya (Hisyam Abullah 2008).

Secara ringkasnya oleh sebab bahan bukti boleh digunakan di mahkamah untuk mensabitkan seseorang penjenayah, ia mestilah dikendalikan dengan cara yang cermat dan berhati-hati supaya mengelakkan daripada sebarang tuduhan palsu berlaku atau mengelakkan salah laku yang boleh menjejaskan kes pendakwaan dan seterusnya menyebabkan penjenayah dibebaskan atau mengelakkan keputusan bersalah oleh mahkamah sebelumnya telah berjaya diterbalikkan melalui rayuan (Lyle 2004).

 

Rujukan

  1. Almog J. 2006. The Concept of Diagnostic Field Tests. Journal of Forensic Science. S1(6) 1228 – 1234.
  2. Evidence Act 1950. Law of Malaysia: Incorporating all amendments up to 1 January 2006.
  3. Hisyam Abdullah @ Teh Poh Teik. 2008. Criminal Trial Advocacy For The Defence. 1st Ed. Pg. 221 – 233. Selangor Bar’s Secretariat.
  4. Lyle, D.P. 2004. Working the scene: Evidence Collection and Protection. 1st Ed. Forensic for Dummies  pg. 29 – 46. Indiana: Wiley Publishing Inc.
  5. PDRM Forensic Laboratory. 2009. Chain of Custody. National University of Malaysia NX 3014 Crime Scne Investigation.
  6. PDRM Forensic Laboratory. 2009. Contamination & Preservation of Evidence. National University of Malaysia NX 3014 Crime Scne Investigation.
  7. Saferstein R. 2005. Criminalistics: An Introduction to Forensic Science. 8th Ed. Prentice Hall.

 

Semakan Akhir : 23 Ogos 2019
Penulis / Penterjemah : Lai Poh Soon
Akreditor : Dr. Siew Shueue Feng
Penyemak : Dr. Khoo Lay See

 

Artikel Berkaitan

Siapakah Audiologis?

Pengenalan Audiologis adalah individu yang berkelayakan dari segi akademik sekurang-kurangnya

Rabun Jauh

Pengenalan Rabun jauh merupakan sebahagian masalah kesihatan awam bagi seluruh

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 219,236,026

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-19 14:25:57
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia