Rahang Tersekat

Pengenalan

Rahang tersekat (lockjaw) atau trismus merujuk kepada keadaan di mana seseorang kurang berupaya membuka mulut. Seseorang yang mengalami rahang tersekat jenis sementara (dalam sesetengah kes, jenis kekal), tidak boleh membuka dan menutup mulut. Dalam sesetengah kes, kejadian rahang tersekat ini amat menyakitkan dan tidak selesa. Jika dibiarkan tanpa rawatan, kejadian rahang tersekat ini boleh menjejaskan fungsi motor rahang, terutama fungsi mengunyah dan bercakap. Sendi rahang memainkan peranan yang amat penting untuk pergerakan rahang. Sendi rahang adalah tempat lekatan rahang bawah kepada tengkorak, terdapat di kedua-dua belah muka, terletak betul-betul di hadapan telinga. Sendi rahang disokong oleh beberapa ligamen, tendon dan otot-otot yang berperanan untuk pelbagai jenis gerakan rahang. Pergerakan rahang akan terjejas jika salah satu struktur tersebut cedera.

Faktor Penyebab

Rahang tersekat (lockjaw) boleh berlaku akibat dari beberapa sebab:-

  • Antara punca yang lazim ialah jangkitan tetanus. Tetanus menyebabkan kontraksi berpanjangan fiber-fiber otot rangka yang mengakibatkan sakit dan kekejangan otot serius. Salah satu tanda awal jangkitan tetanus adalah kejadian rahang tersekat.
  • Dislokasi rahang – Ini berlaku apabila sendi rahang bergerak terlalu jauh ke hadapan dan terperangkap di kawasan bonjolan tulang. Otot-otot sekitar kawasan itu biasanya mengalami kekejangan (spasm) dan ini menjadikan sendi berada di dalam kedudukan terganjak (dislocated).
  • Keradangan / inflamasi otot dan tisu lembut sekitar kawasan sendi juga merupakan punca utama rahang tersekat. Kehadiran gigi geraham bongsu terimpak / terperangkap boleh menyebabkan kawasan sekelilingnya mengalami keradangan. Jangkitan kuman dari gigi bawah posterior (belakang) juga boleh menyebabkan keradangan tisu sekitar dan pembentukan nanah. Ini akan menjejaskan fungsi otot yang membuka / menggerakkan rahang (kekejangan otot).
  • Faktor-faktor dalaman sendi seperti ankilosis tulang (pembentukan tulang di dalam sendi), ankilosis berfiber, inflamasi sendi (arthritis), jangkitan kuman dan kecederaan (trauma) juga boleh membataskan bukaan mulut.
  • Kesan sampingan dari sesetengah jenis ubat, terutamanya ubat-ubat penyakit psikiatri dan gangguan mental.
  • Penyebab iatrogenik seperti komplikasi dari suntikan (anesthesia setempat yang tidak sengaja disuntik ke dalam otot sendi) dan juga cabutan gigi geraham ketiga / bongsu (yang mana otot pengunyahan mungkin tercedera / terkoyak, atau sendi menjadi ‘hiperextended’)

Tanda dan Gejala

Ini termasuk:-

  • Kesukaran membuka mulut
  • Episod berkala kejadian rahang ‘tersekat’
  • Bukaan mulut menjadi semakin kecil
  • Kesukaran mengunyah dan menelan
  • Sakit pada sendi apabila rahang bergerak

Komplikasi

Beberapa komplikasi boleh berlaku sekiranya masalah ini tidak dirawat. Antaranya:-

Kesukaran semasa makan

  • Ini boleh mengakibatkan kekurangan nutrisi. Hanya jumlah kecil makanan sahaja boleh diambil pada satu-satu masa. Pesakit akan mengalami penurunan berat badan yang ketara, dan masalah kekurangan / defisit nutrisi yang ketara.
  • Bukaan mulut yang terhad akan menyukarkan pengunyahan makanan yang sempurna (masalah semasa menelan makanan) Kebersihan mulut yang teruk
  • Bukaan mulut yang terhad akan menjejaskan kebersihan mulut. Ini mengakibatkan kejadian karies (gigi berlubang) dan penyakit gusi yang boleh membawa kepada jangkitan kuman.

Kesukaran bertutur

  • Pertuturan adalah terhad kerana mulut tidak boleh dibuka dengan mencukupi untuk menyebut bunyi yang normal Kelumpuhan (Immobilisasi) Sendi
  • Apabila sendi tidak bergerak, perubahan kemusnahan (degenerative changes) mula berlaku di dalam sendi. Ini akan mengakibatkan keradangan, sakit dan cantuman (fusion) sendi yang digelar ankilosis.

Rawatan – Bergantung kepada faktor penyebab sendi tersekat.

Jenis-jenis rawatan yang boleh diperolehi bagi masalah rahang tersekat adalah:-

Tuaman suam

  • Bagi kes ringan ke sederhana, tuaman suam boleh mengurangkan stres dan sakit.

Pembedahan

  • Rahang tersekat berpunca dari gigi geraham bongsu terimpak boleh dihindarkan dan dirawat dengan mengeluarkan gigi tersebut
  • Rahang tersekat akibat cantuman (fusion) sendi boleh diperbetulkan secara pembedahan
  • Dislokasi rahang pula boleh dibetulkan dengan cara reduksi manual (manual reduction). Manakala kes-kes kronik mungkin memerlukan pembedahan.

Pengambilan Ubat

  • Mengambil ubat ‘muscle relaxant’ dalam dos terkawal boleh membantu mengendurkan otot yang tegang walaupun otot-otot telah lama tidak berfungsi

Ubat Anti-inflamatori

  • Rahang tersekat yang berpunca dari jangkitan kuman atau keradangan (seperti tetanus atau jangkitan dari gigi) boleh dirawat dengan antibiotik dan ubat anti-inflamatori.

Fisioterapi

Langkah-langkah Mencegah Rahang Tersekat

    • Vaksinasi tetanus
      • Gejala awal tetanus adalah rahang tersekat. Vaksinasi boleh meminimakan risiko mendapat tetanus.
    • Mengelakkan kesan sampingan ubat, terutama ubat bagi penyakit psikiatrik dan masalah mental. Semak pada risalah ubat bagi mengetahui sama ada ketidakupayaan mengerakkan rahang (immobile jaw) adalah tersenarai sebagai salah satu kesan sampingan ubat.
    • Pemeriksaan pergigian berkala bagi mencegah kejadian jangkitan kuman yang berpunca dari gigi.

Langkah-langkah Pemulihan (Rehabilitasi) Rahang Tersekat

  • Rehabilisasi pergigian
    • Melakukan penilaian oklusi gigi akan mengurangkan trauma kepada sendi rahang
  • Rehabilisasi fisioterapi
    • Pemulihan otot-otot sendi kepada fungsi normal
    • Pemulihan pergerakan sendi rahang

Organization:

  1. Persatuan Pakar Bedah Mulut dan Maksilofasial Malaysia.
  2. Majlis Pergigian Malaysia.
  3. Persatuan Doktor Pergigian Malaysia.
Semakan Akhir : 20 April 2012
Penulis : Dr. Marzuki b. Zainal Abidin