A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

RADIOTERAPI SECARA AM

Radioterapi ialah satu modaliti atau kaedah rawatan yang digunakan dalam pengurusan rawatan penyakit kanser. Kaedah ini menggunakan radiasi mengion bertenaga tinggi untuk membunuh sel-sel kanser dengan memusnahkan DNA sel-sel tersebut.

Jika anda menghidap penyakit kanser anda mungkin dirujuk ke pusat radioterapi untuk mendapatkan rawatan.

Apa Itu Radioterapi?

Radioterapi (RT) ialah satu modaliti atau kaedah rawatan yang digunakan dalam pengurusan rawatan penyakit kanser. Kaedah ini menggunakan radiasi mengion bertenaga tinggi untuk membunuh sel-sel kanser. Pemberian dos tinggi ditujukan kepada sasaran (ketumbuhan) untuk menyembuh, mengawal atau menggurangkan simptom-simptom yang dialami. Walau bagaimanapun, kawasan yang berdekatan juga akan menerima sebahagian daripada dos radiasi yang boleh mengakibatkan kesan-kesan sampingan.

Dalam pengurusan penyakit kanser, RT boleh diberi secara bersendirian atau digabungkan dengan modaliti lain seperti berikut:

  • Pembedahan
  • Kemoterapi
  • Terapi Hormon

 

Bagaimanakah Pemberian Radioterapi?

Radioterapi boleh diberi dengan dua cara iaitu:

  • Teleterapi (RT Bim Luaran)
  • Brakiterapi (RT Bim Dalaman)

Teleterapi

Dalam penyampaian cara rawatan ini, radiasi yang dihasilkan oleh mesin yang dikenali sebagai Pemecut Linear (atau peralatan yang seumpama dengannya), akan ditujukan kepada bahagian badan yang dirawat.

Pemecut Linear (Mesin Teleterapi) Pesakit menjalani Teleterapi    

Semasa rawatan, pesakit akan dibaringkan di atas couch (katil khas) dan beberapa bim atau alur radiasi akan ditujukan kepada bahagian badan dari pelbagai sudut kerana pemecut linear ini boleh berpusing mengelilingi pesakit.

Radioterapi diberi dalam beberapa sesi rawatan mengikut preskripsi dan arahan doktor. Sebagai contoh, dos radiasi bagi rawatan kanser payudara boleh diberi sebanyak 5000cGy untuk 25 kali dalam jangka masa lima (5) minggu. Preskripsi rawatan adalah berbeza bagi pelbagai kanser dan bergantung juga pada tahap penyakit, keadaan pesakit dan sama ada RT digabungkan dengan modaliti lain.

Pesakit boleh memilih untuk berulang dari rumah atau tinggal di wad semasa menjalani radioterapi bim luaran.

Brakiterapi

Brakiterapi melibatkan penggunaan sumber radioaktif semula jadi. Rawatan diberi dengan menempatkan sumber asli yang mengeluarkan radiasi, di dalam kaviti, lumen, tisu atau di permukaan kulit, bahagian badan pesakit yang dirawat.

Mesin Brakiterapi High Dose Rate Pesakit menjalani rawatan brakiterapi  

Sumber radiasi akan disalurkan melalui tiub penyambung yang menghubungkan mesin dengan aplikator (alat) yang ditempatkan dalam kaviti, lumen atau tisu. Bagi applikasi permukaan kulit acuan khas akan dibina daripada lilin atau seumpamanya untuk menempatkan aplikator bagi tujuan rawatan.

Kebiasaannya, rawatan ini diberi dalam beberapa sesi di antara 2 – 4 sesi untuk mencapai dos yang diperlukan. Ianya diberi sekali atau dua kali seminggu mengikut preskripsi doktor. Brakiterapi lazimnya digunakan dalam rawatan kanser serviks, rahim dan nasofarinks dan ianya digabungkan dengan RT bim luaran.

 

Apakah Matlamat Radioterapi?

Apa jua cara yang digunakan, sama ada Teleterapi atau Brakiterapi, RT diberi untuk membunuh sel-sel kanser dengan memusnahkan DNA (deoxyribonucleic acid) sel-sel tersebut untuk mencapai matlamat-matlamat rawatan berikut:

  • Kuratif (penyembuhan)
  • Paliatif (mengawal penyakit dan simptom)

 

Kesan Sampingan Radioterapi

Seperti lain-lain rawatan, RT juga mungkin memberi kesan sampingan kepada pesakit. Ini adalah kerana sel-sel normal yang terdapat di kawasan rawatan juga akan menerima radiasi. Kesan sampingan  yang mungkin dialami bergantung kepada faktor-faktor berikut:

  • Bahagian badan yang dirawat.
  • Isipadu (Volume) tisu yang dirawat.
  • Jumlah dos yang diberi.
  • Gabungan RT dengan modaliti lain seperti kemoterapi.

Sila dapatkan keterangan lanjut mengenai kesan sampingan RT.

 

Pasukan Radioterapi

Pasukan Radioterapi terdiri daripada anggota pelbagai disiplin yang bertanggungjawab di atas pengurusan, rawatan dan penjagaan pesakit-pesakit kanser.

  • Pakar Onkologi Klinikal dan Pegawai Perubatan

– Bertanggungjawab secara menyeluruh di atas pengurusan, rawatan dan penjagaan pesakit kanser.

  • Pegawai Sains Fizik

– Bertanggungjawab di atas aktiviti penjaminan mutu dan perlindungan radiasi.

– Penjanaan pelan-pelan rawatan dan pengiraan dos rawatan (Dosimetri).

  • Juru X-ray Terapi

– Bertanggungjawab dalam perancangan (simulasi) dan pemberian rawatan radioterapi kepada pesakit-pesakit.

– Penyediaan peralatan dan aktiviti penjaminan mutu harian peralatan.

  • Jururawat

– Bertanggungjawab di atas pengurusan kejururawatan dan penjagaan pesakit di klinik, wad dan bilik prosedur brakiterapi.

 

Pusat Rawatan Radioterapi

Kementerian Kesihatan Malaysia menyediakan perkhidmatan radioterapi di pusat radioterapi berikut:

Institut Kanser Negara, Putrajaya

No 4, Jalan P7, Presint 7, 62250 Putrajaya

No. Tel.: 03-8892 5555

 

Jabatan Radioterapi dan Onkologi, Hospital Kuala Lumpur

Jalan Pahang, 50586 Kuala Lumpur

No. Tel.: 03-2615 5555

 

Pusat Rawatan Radioterapi dan Onkologi, Hospital Sultan Ismail

Jalan Persiaran Mutiara Emas Utama, Taman Mount Austin, 81100 Johor Bharu, Johor

No. Tel.: 07-356 5000

 

Jabatan Radioterapi dan Onkologi, Hospital Umum Sarawak

Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce, 93586 Kuching, Sarawak

No. Tel.:082-276 662

 

Jabatan Radioterapi dan Onkologi, Hospital Wanita dan Kanak-kanak, Likas

Karung Berkunci 187, 88996 Kota Kinabalu, Sabah

No. Tel.: 088-522 600

 

Kementerian Pelajaran juga menyediakan perkhidmatan radioterapi di pusat-pusat berikut:

  • Pusat Perubatan Universiti Malaya, Petaling Jaya, Selangor
  • Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Cheras, Kuala Lumpur
  • Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan

Terdapat beberapa pusat radioterapi swasta di seluruh Negara. Sila layari website Malaysian Oncological Society (MOS) untuk mendapatkan maklumat lanjut.

 

Rujukan

  1. Griffiths, S. & Short, C. (1994). Radiotherapy: Principles to Practice, Churchill Livingstone
  2. http://en.wikipedia.org/wiki/Ionozing_radiation
  3. http://www.mos

 

 

Semakan Akhir : 23 Mac 2017
Penulis : Rubiah binti Mohd Pakeh
Akreditor : Nafisah binti Hamid

Artikel Berkaitan

PROSEDUR MAMOGRAFI- STEREOTAKTIK BIOPSI PAYUDARA

Prosedur Mamografi- Stereotaktik Biopsi Payudara merupakan prosedur intervensional bagi mengeluarkan sebahagian kecil tisu payudara untuk menentukan keabnormalannya apabila imej mamogram menunjukkan pertumbuhan kecil atau kehadiran mikrokalsifikasi yang dikesan menggunakan mesin mamografi.

CT ABDOMEN

Apakah itu CT Abdomen? CT Scan Abdomen merupakan satu pemeriksaan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,094,267

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-05 09:12:40
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia