A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Radioterapi & Lukisan Kulit

Rawatan radiasi pancaran eksternal biasanya dijalankan dalam pecahan selama beberapa minggu

Rawatan radiasi pancaran eksternal biasanya dijalankan dalam pecahan selama beberapa minggu. Setiap pecahan rawatan mengguna parameter teknikal dan dos radiasi yang sama. Yang penting sekali posisi rawatan seseorang individu mesti sama untuk setiap sesi rawatan.

Posisi rawatan untuk setiap individu ditentukan semasa prosedur simulasi. Posisi yang sama boleh dihasilkan semula dalam bilik rawatan dengan mengikut arahan bertulis, mengguna alat aksesori rawatan yang serupa dan lukisan di permukaan kulit.

Apa Itu Pelukisan Kulit?                                                                                                                                                                                                          

Selepas penetapan posisi rawatan dilakukan, beberapa lukisan akan diletak di permukaan kulit. Penandaan ini dilukis dengan merujuk kepada struktur tulang dan ciri-ciri anatomi seseorang. Tanda ini perlu dapat dihasil semula dengan senang.

Sesetengah lukisan kulit (gambar A) diguna sebagai tanda rujukan untuk memposisi seseorang atas meja rawatan. Ada penandaan (gambar B) diguna untuk menunjukkan kawasan rawatan.

 

Bagaimana Lukisan Kulit Dihasilkan?

Lukisan kulit boleh dihasilkan dengan mengguna pen penanda ATAU titisan dakwat.

Lukisan Mengguna Pen Penanda

Ini merupakan satu prosedur yang mudah dan tanda dilukis di permukaan kulit dengan menggunakan pen penanda. Tanda ini tidak kekal sebab ia boleh menjadi pudar apabila seseorang berpeluh, mandi atau tanda itu dipindah ke pakaian. Maka tanda perlu dilukis semula setiap kali ia menjadi pudar.

Tanda di permukaan badan melengkung sukar dihasil semula. Seseorang mungkin dinasihatkan tidak mencuci kawasan rawatan setiap hari supaya mengelak kehilangan tanda.

Penandaan Menggunakan Titisan Dakwat

Prosedur ini menggunakan jarum steril atau dispenser dakwat (Steritatt CIVCO) untuk meletakkan titisan kecil dakwat yang tidak toksik di bawah lapisan atas kulit. Cucukan jarum mungkin menyebabkan sedikit kesakitan seakan gigitan nyamuk.

 A. Penandaan jarum steril    B. Dispenser dakwat  C. Titikan dakwat

Lebih kurang 5 hingga 7 titikan dakwat berukuran 1 – 2 mm akan diletak di tempat yang dikenalpasti atas badan. Tanda ini lebih bersih dan tidak mengotorkan pakaian dibanding dengan pen penanda. Titikan dakwat boleh tahan lebih lama dan mungkin menjadi kekal. Kaedah ini akan membenarkan seseorang itu mencuci kawasan rawatan setiap hari tanpa bimbang kehilangan tanda dakwat ini.

Walau bagaimana pun, sila maklum kepada ahli terapi sinaran sekiranya anda mempunyai kulit yang sangat sensitif atau alahan kulit supaya mereka boleh menggunakan cara penandaan yang lain.

Adakah Kaedah Titisan Dakwat Ini Selamat?

Kaedah meletakkan titisan dakwat di bawah permukaan kulit merupakan satu prosedur yang selamat yang dilakukan dengan mengguna teknik prosedur bersih. Prosedur penandaan ini dan bahan yang diguna telah dibentangkan kepada Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia. Majlis telah meluluskan prosedur itu dilakukan untuk muslimin / muslimah. Untuk maklumat terperinci berkaitan hukum ini, sila rujuk kepada http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/hukum-penggunaan-penandaan-berdakwat-pesakit-kanser.

Rujukan

  1. Rathod S., Munshi A. & Agarwal J. Skin marking methods and guidelines:A reality in image guidance radiotherapy era.South Asian J Cancer. 2012 Jul-Sep; 1(1): 27–29. doi: 10.4103/2278-330X.96502
  2. www.e-fatwa.gov.my
  3. Imej c daripadaSkin marking methods and guidelines:A reality in image guidance radiotherapy era.South Asian J Cancer. 2012 Jul-Sep; 1(1): 27–29
  4. Imej daripada pembentangan slaid ke Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia
  5. Imej daripada pembentangan slaid Rubiah M P. Medical use of x-ray in Radiotherapy

 

Semakan Akhir : 26 Mei 2017
Penulis : Sarah Lee Abdullah
Akreditor : Dr. Ros Suzana binti Ahmad Bustamam

Artikel Berkaitan

ANGIOGRAFI

Pengenalan Angiografi adalah salah satu dari prosedur radiologi untuk mengkaji

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 222,182,201

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-25 14:19:35
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia