A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Umum
  4. /
  5. Radioterapi
  6. /
  7. Kesan Sampingan Rawatan
  8. /
  9. Radioterapi Lengan Atau Kaki:...

Radioterapi Lengan Atau Kaki: Kesan Sampingan & Jagaan

Radioterapi untuk lengan atau kaki mungkin diberi ke seluruh lengan atau kaki; ia juga boleh diberi ke sebahagian lengan atau kaki.

Radioterapi untuk lengan atau kaki mungkin diberi ke seluruh lengan atau kaki; ia juga boleh diberi ke sebahagian lengan atau kaki. Tisu normal yang termasuk dalam kawasan rawatan ialah otot, tulang dan kulit.

Apakah Kesan Sampingan Awal?

Kesan sampingan awal merupakan perubahan atau reaksi tisu normal yang berlaku semasa rawatan radiasi. Kesan awal radioterapi lengan atau kaki ialah reaksi kulit.

Reaksi Kulit

Kulit di kawasan rawatan mula menjadi merah selepas 2 minggu rawatan radiasi. Kulit mungkin menjadi kering, gatal, tegang, panas dan sedikit bengkak. Pada penghujung rawatan kulit mungkin menjadi gelap, lembap dan berkelupas. Untuk maklumat berkenaan kesan kulit dan jagaan, sila rujuk kepada Radioterapi: Reaksi Kulit & Jagaan.

Bagaimana Menjaga Kulit Dan Mengurangkan Reaksi?

  • Sentiasa jaga kebersihan kawasan rawatan dengan menggunakan air suamdan sabun bayi dan mengelap kulit dengan tuala lembut.
  • Sapu krim pelembab yang dipreskripsikan oleh pakar onkologi.
  • Lindungi kulit daripada luka, kecederaan, gigitan serangga dan sinaran matahari:

           – Pakai pakaian berlengan panjang dan seluar panjang yang longgar          

           – Pakai sarung tangan lembut semasa melakukan kerja rumah atau berkebun

           – Pakai sarung kaki lembut dan kasut tertutup yang berpadanan dengan kaki

  • Kuku jari tangan disimpan pendek supaya tidak mencalar kulit.
  • Jangan sapu di kawasan rawatan apa pun losyen, krim, bedak yang tidak dipreskripsikan oleh pakar onkologi.
  • Jangan guna pad panas atau beg ais di kawasan rawatan.
  • Jangan guna pita perekat di kawasan kulit berkenaan (pembalut luka).

Adakah Apa-apa Kesan Sampingan Lewat?

Kesan sampingan lewat merupakan reaksi tisu normal yang berlaku berbulan-bulan atau bertahun selepas rawatan radiasi berhenti. Beberapa kesan lewat radioterapi lengan atau kaki yang mungkin berlaku adalah kebengkakan tisu lembut (limfedema), tisu menjadi tebal (fibrosis) dan tambahan risiko retakan tulang lengan atau kaki yang berkenaan.

Limfedema

Limfedema ialah pengumpulan cecair yang tidak normal dalam tisu lembut disebabkan pengaliran sistem limfa yang tidak lancar. Ia lebih biasa berlaku untuk radioterapi ke seluruh lengan atau kaki. Tanda awal limfedema adalah seperti ditunjuk dalam grafik.

 

Cara-cara Menurunkan Risiko Dan Mengurangkan Kebengkakan

  • Kekal berat badan yang sihat.
  • Jaga kulit bersih dan kering.
  • Lindungi kulit daripada luka dan kecederaan untuk mengelak jangkitan.
  • Letak lengan atau kaki berkenaan berehat atas bantal semasa baring.
  • Lakukan senaman yang mudah seperti gerakkan jari tangan atau kaki, bengkok dan luruskan lengan atau kaki untuk merangsang pengedaran cecair dan mengurangkan tegangan.
  • Dapat nasihat daripada pakar terapi tentang senaman, pengurutan dan kegunaan pakaian pemampatan untuk mencegah kebengkakan selanjutnya.
  • Jangan letak lengan tergantung ke bawah sepanjang masa.
  • Jangan berdiri atau duduk dalam posisi sama untuk masa yang lama.
  • Jangan bersilang kaki apabila duduk tetapi menopang kaki berkenaan dengan tempat rehat kaki.
  • Jangan mandi air panas atau mandi wap.
  • Jangan angkat beg atau komputer riba (barang berat) dengan lengan berkenaan.
  • Jangan pakai pakaian yang berlengan dan / atau barang hiasan ketat di sebelah tangan berkenaan yang menghadkan pengedaran cecair badan.
  • Jangan benarkan pengambilan darah dan tekanan darah serta suntikan di lengan yang berkenaan.

Kebengkakan anggota berkaitan berlaku secara beransur-ansur. Kebengkakan awal boleh dikurangkan dan dicegah daripada bertambah teruk tetapi anggota yang bengkak dengan kulit yang mengeras (peringkat lewat) adalah susah dirawat serta mudah terkena jangkitan.

Sentiasa memberi perhatian kepada apa-apa perubahan anggota berkaitan (saiz dan sensasi) yang mungkin berlaku selepas rawatan tamat. Bandingkan kedua-dua belah tangan atau kaki dan melapor segala perubahan kepada pakar onkologi secepat mungkin supaya rawatan boleh dijalankan untuk mencegah kebengkakan menjadi semakin teruk.

Penambahan risiko retak tulang disebabkan oleh penurunan densiti tulang yang mungkin dapat diperbaiki dengan diet dan senaman.

Radioterapi dirancang khusus untuk setiap individu, mengambil kira kesan radiasi atas tisu normal dalam kawasan rawatan. Namun, setiap orang adalah unik dan mungkin bertindak balas secara berlainan terhadap rawatan.

Dapatkan maklumat berkaitan kesan sampingan spesifik yang mungkin berlaku dengan rawatan anda dari pakar onkologi radiasi dan ahli terapi sinaran sebelum rawatan bermula. Sentiasa maklum kepada mereka apa yang anda sedang alami dan bagaimana anda merasai supaya mereka boleh membantu anda meminimumkan simptom, mengurangkan kebimbangan dan menangani dengan lebih baik.

Rujukan

  1. http://www.cancer.net/navigating-cancer-care/side-effects/lymphedema
  2. American Cancer Society.2013.Understanding of lymphedema.
  3. Images from slide presentation. Rubiah M P. Medical application for X-ray
  4. www.openclipart.com
Last Review : 26 May 2017
Writer : Sarah Lee Abdullah
Accreditor : Dr. Ros Suzana binti Ahmad Bustamam

Artikel Berkaitan

Terbakar dan Melecur

Tahap Satu – Kecederaan yang hanya melibatkan lapisan luar kulit sahaja. Ia tidak menyebabkan penembusan lapisan kulit
Tahap Dua – Kecederaan yang menyebabkan penembusan lapisan kulit, menyebabkan lapisan bawah kulit mengalami kerosakan
Tahap Tiga – Kecederaan yang menyebabkan kerosakan kepada semua lapisan kulit, juga melibatkan kerosakan pada lapisan otot, ataupun tulang.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 222,224,730

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-25 14:19:35
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia